top of page
Writer's pictureNorman Abdullah

Penyatuan Hutang: 3 Cara Terbaik Kurangkan Komitmen Bulanan


Ramai yang tak perasan dengan komitmen akan datang semasa buat pinjaman, terutamanya bila ada keperluan kecemasan. Sebagai contoh, ada yang memohon pinjaman dengan kadar faedah agak tinggi untuk perolehi wang yang selamat dan lebih cepat. Lain lagi jika ada yang memiliki kad kredit, semestinya ianya akan digunakan untuk bantu masalah kecemasan. Namun. ada juga beberapa individu yang bijak dalam menguruskan pinjaman seperti memohon pinjaman peribadi dengan kadar rendah dan lebih mampu milik. Biasanya, apabila jumlah tunggakan pinjaman semakin banyak, ia akan membentuk komitmen bulanan yang amat berat. Lazimnya, situasi seperti ini dalam diselesaikan dengan penyatuan hutang.

Jadi, apa itu penyatuan hutang? Bagaimana ianya dapat membantu anda untuk meringankan beban komitmen bulanan serta mencantikkan rekod kredit anda? Seperti sedia maklum, penyatuan hutang salah satu teknik popular untuk mengurakan ansuran bulanan. Ada juga yang lebih biasa menggelar teknik ini sebagai overlap pinjaman peribadi di mana pemohon akan menyatukan semua hutang dalam satu pinjaman yang sama dengan kadar lebih rendah.

Jom kita ketahui semua tentang penyatuan hutang dan cara untuk mohon pinjaman peribadi bagi meringankan beban ansuran bulanan anda.


Apa Itu Penyatuan Hutang?



Penyatuan hutang bukannya teknik penghapus hutang, ia adalah satu cara untuk mengumpul pelbagai hutang anda ke dalam satu pinjaman peribadi baru. Cara penyatuan hutang dengan pinjaman peribadi ini sesuai untuk individu yang terbeban dengan amaun pinjaman yang banyak dan ansuran bulanan yang mahal. Oleh itu, institusi kewangan akan menyatukan kesemua hutang anda ke dalam satu akaun (pinjaman peribadi baru).

Penyatuan hutang dan pengstrukturan semula hutang mungkin nampak lebih kurang sam, tetapi kedua-dua pilihan pembiayaan ini adalah berbeza. Apabila anda memilih untuk menyatukan hutang, anda akan menandatangani dokumen pinjaman baru dan memperoleh akaun baru. Jumlah kesemua pinjaman terdahulu akan menjadi jumlah utama bagi pinjaman yang baru dengan kadar faedah yang sama.

Dalam terma yang lebih mudah, ini bermaksud bahawa anda menggunakan wang dari pinjaman peribadi baru anda bagi menyelesaikan hutang sedia ada. Untuk memastikan bayaran balik pinjaman bulanan berada dalam had kemampuan anda, kadar faedah bagi pinjaman yang disatukan sekurang-kurangnya mestilah lebih rendah daripada kadar purata pinjaman yang anda ada. Oleh itu, pastikan anda memilih pemberi pinjaman yang menawarkan kadar mampu milik untuk menyatukan hutang. Jika anda adalah seorang penjawat awam, anda boleh memohon penyatuan hutang dengan kadar serendah 2.31% daripada pinjaman bank dan koperasi terpilih.


Bilakah Anda Patut Buat Penyatuan Hutang?


Berikut adalah tanda-tanda yang menunjukkan anda perlu untuk mempertimbangkan teknik penyatuan hutang:

  • Anda mula terlepas membayar ansuran bulanan serta tidak mampu menangani beban hutang semasa anda. Lewat membayar ansuran bulanan juga akan menyebabkan baki pinjaman anda bertambah akibat dikenakan caj lambat bayar.

  • Anda rasa susah menguruskan pembayaran untuk pinjaman daripada beberapa bank berlainan dan ingin fokus hanya kepada satu pembayaran sahaja.

  • Anda ingin berjimat dengan mengurangkan jumlah ansuran bulanan

  • Anda mempunyai tabiat membuat pembayaran minima untuk kad kredit. Dalam jangka masa panjang, anda akan membayar lebih banyak untuk faedah bil kad kredit tersebut.

Penyatuan hutang adalah cara untuk melindungi dan mengekalkan skor kredit yang baik. Anda diberi peluang untuk mencantikkan semula skor kredit jika anda boleh membuat bayaran tepat pada masanya. Jika anda menghadapi tanda-tanda di atas tetapi tidak pasti jika anda benar-benar memerlukan penyatuan hutang, baca sebab-sebab berikut untuk membantu anda untuk membuat keputusan.

Kenapa Kena Buat Penyatuan Hutang?


Sebelum membuat keputusan untuk menyatukan hutang, anda perlu ketahui dan pertimbangkan beberapa faktor penting. Pastikan anda lakukan penilaian bagi memastikan pinjaman peribadi akan mengukuhkan kedudukan kewangan anda. Penilaian ini penting bagi memastikan situasi kewangan anda akan bertambah baik, bukan sebaliknya.

1. Menilai status kewangan anda


Tidak dapat dinafikan bahawa anda akan merasa cemas apabila berdepan dengan situasi sebegini. Namun begitu, anda perlu cuba bertenang dan berikan tumpuan sepenuhnya. Sudahkah anda nilai situasi kewangan dengan jelas dan cuba segala cara untuk menyelesaikannya? Ambil masa untuk mengkaji aliran tunai yang betul sebelum membuat keputusan untuk menyatukan hutang.

Ada masanya, apa yang anda perlu lakukan hanyalah baiki perancangan kewangan. Ubah ataupun lakukan pembaharuan perancangan kewangan dengan menyenaraikan kesemua aliran keluar masuk wang anda. Hapus atau kurangkan perbelanjaan anda terhadap beberapa perkara dan peruntukkan lebihan wang tersebut untuk membuat bayaran pinjaman.

Selepas menjalankan penilaian menyeluruh dan anda masih mendapati tiada ruang untuk memperoleh peruntukan untuk membayar pinjaman, barulah anda boleh beralih kepada penyatuan hutang.

2. Mencari kadar faedah pinjaman yang lebih mampu milik


Andaikan Adam mempunyai dua pinjaman yang masih belum selesai dan memerlukan penyatuan hutang. Sebagai contoh, Adam mempunyai pinjaman wang berlesen jangka pendek yang tidak bercagar dengan kadar faedah tahunan sebanyak 8% setahun. Kemudian, dia juga memiliki kad kredit yang mempunyai kadar faedah sebanyak 18% setahun. Jadi, purata kadar faedah bagi kedua-dua pinjaman tersebut adalah 13%.

Oleh itu, Adam perlu mencari pinjaman baru yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah daripada purata 13% tersebut supaya Adam boleh mengurangkan kadar faedah yang dia perlu bayar kepada pihak bank.

Kadar tetap pinjaman peribadi adalah penting bagi tujuan perancangan dan pemantauan. Anda akan mengetahui kadar tepat yang perlu diketepikan bagi membuat bayaran ansuran bulanan yang lebih murah pada tarikh yang ditetapkan. Kadar faedah yang lebih rendah adalah faktor utama dalam memilih kaedah penyatuan hutang.

Jika anda tidak boleh memperoleh kadar yang rendah, ubah perancangan anda kerana ia bertentangan dengan tujuan utama penyatuan hutang. Anda akan mencipta lebih banyak hutang berbanding menyelesaikan masalah. Pada masa yang sama, tingkatkan tabiat pembayaran sehingga anda menemui pemberi pinjaman peribadi yang sesuai.


3. Kenal pasti kos pemprosesan, yuran & caj tersembunyi


Hati-hati dengan pemberi pinjaman yang menjanjikan kadar faedah rendah dengan tempoh bayaran mudah. Ketahui butiran berkenaan pinjaman peribadi dulu seperti kos pemprosesan dan sebagainya, lebih-lebih lagi caj tersembunyi.

Semak juga jika terdapat apa-apa caj tersembunyi. Jika tawaran daripada pemberi pinjaman nampak terlalu baik untuk ia menjadi kenyataan seperti kadar faedah 0% atau 100% kelulusan pinjaman terjamin, maka berkemungkinan besar anda berurusan dengan penipu. Lindungi diri anda dengan mengetahui tanda-tanda amaran penipuan pinjaman peribadi.

Tambahan pula, anda juga perlu ketahui bahawa tempoh bayaran panjang bererti kos faedah tinggi. Jadi, tetapkan tempoh pinjaman agar selari dengan keupayaan anda untuk membuat bayaran. Lebih cepat anda langsaikan pinjaman, lebih pantas anda memperoleh ketenangan.


Kebaikan Penyatuan Hutang



Berikut terdapat dua kebaikan yang jelas kenapa anda patut mempertimbangkan untuk menyatukan hutang.

1. Fokus membayar hanya satu ansuran pinjaman sahaja


Ia terasa seperti satu perkara yang rumit untuk mengawasi dan membayar semua pinjaman yang ada di beberapa bank berlainan. Terutamanya apabila anda terjebak dengan sesuatu sehingga menyebabkan anda terlepas dari membuat pembayaran bulanan anda. Di sinilah apabila penyatuan hutang bertindak sebagai penyelesaian untuk membantu menggabungkan semua pinjaman anda ke dalam satu jumlah ansuran. Dengan cara ini memudahkan anda untuk memberi tumpuan membayar satu ansuran dan menguruskan tarikh akhir pembayaran anda dengan lebih berkesan.

2. Bantu mengurangkan komitmen bulanan anda


Sebab kedua yang nyata kenapa anda patut menyatukan hutang adalah untuk mengurangkan bayaran ansuran bulanan anda. Apabila anda menyatukan semua pinjaman sedia ada anda yang berkadar faedah tinggi dan menyatukannya dengan pinjaman peribadi dengan kadar faedah lebih rendah, ansuran bulanan anda akan berkurangan. Dalam jangka masa panjang, anda akan membayar kurang dan berjimat ke atas kadar faedah.


Kelemahan Penyatuan Hutang



Penyatuan hutang adalah kaedah berkesan untuk mengeluarkan peminjam daripada tersepit dalam hutang yang menimbun. Tetapi, kaedah penyatuan hutang menggunakan pinjaman peribadi turut mempunyai kelemahan yang tersendiri.

1. Tempoh bayaran panjang dengan kadar faedah rendah


Bagi mereka yang mempunyai hutang yang banyak, kadar faedah rendah dan lanjutan tempoh bayaran sahaja yang akan meringan bebanan terhadap komitmen pinjaman. Anda akan berdepan dengan hutang dalam tempoh yang lebih panjang dan membayar kos faedah lebih tinggi sehingga tamat. Kesannya, lanjutan tempoh bayaran sedikit sebanyak menghapuskan kelebihan kadar faedah rendah.

2. Kemungkinan permohonan ditolak


Jika anda mempunyai nilai kredit yang rendah sewaktu membuat permohonan penyatuan hutang, kemungkinan untuk permohonan pinjaman peribadi anda ditolak adalah tinggi. Faktor ini dipengaruhi oleh komitmen terdahulu. Oleh ini, anda mungkin akan disyorkan untuk mengambil pinjaman yang kurang memuaskan berbanding dengan mereka yang mempunyai nilai kredit yang baik.

3. Tidak akan menghapuskan hutang


Penyatuan hutang dapat memudahkan atau memusnahkan kedudukan kredit anda. Harus diingatkan bahawa pinjaman yang baru tidak akan membebaskan anda daripada tanggungjawab untuk membuat bayaran tepat pada masanya. Hutang tersebut tetap akan dituntut sehingga bakinya mencecah angka 0.

Sesetengah peminjam tidak belajar daripada kesilapan. Melainkan anda bertekad untuk mengubah tabiat berbelanja dan mengamalkan disiplin kewangan bagi memenangi kepercayaan pemiutang, anda tidak akan mencapai impian untuk memperoleh kebebasan kewangan.

Infografik penjelasan ringkas tentang penyatuan hutang.



Cara Mohon Penyatuan Hutang


1. Senaraikan semua hutang sedia ada anda


Senaraikan semua hutang terkini yang anda ada. Pilih hutang yang anda ingin satukan. Semak kadar faedah, tempoh pinjaman dan baki tertunggak. Rujuk dengan pemberi pinjaman jika anda tidak pasti bagaimana untuk mendapatkan maklumat tersebut.


2. Mohon dengan pemberi pinjaman yang boleh dipercayai


Jika anda telah membuat keputusan untuk menggunakan pinjaman peribadi bagi membayar hutang kad kredit atau lain-lain komitmen pinjaman, tetapi anda tidak tahu pinjaman peribadi yang mana satu yang sesuai dengan anda; semak dengan Ekin Consultant Agency –Platform digital yang membantu anda untuk cari, membuat perbandingan dan memohon pinjaman peribadi yang paling murah dan sesuai untuk anda. Sistem semakan kelayakan pintar kami boleh mencadangan pinjaman peribadi selamat dan patuh syariah daripada bank dan koperasi yang terbaik untuk anda.

Kesimpulan


Walaupun penyatuan hutang adalah satu alat yang berguna apabila digunakan dengan betul, namun jika anda tidak mengubah tabiat perbelanjaan; anda tetap tidak akan dapat menyelesaikan hutang. Anda hanya memohon untuk menyatukan hutang apabila anda mempunyai komitmen pinjaman yang tidak terurus. Jika hutang anda dalam jumlah kecil yang boleh dibayar dalam tempoh 6 bulan hingga 1 tahun, anda mungkin tidak perlu merumitkan keadaan, kerana anda hanya akan dapat berjimat sebahagian kecil sahaja dengan penyatuan hutang.


(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 7 Februari 2019 dan dikemas kini pada 23 June 2022).

30 views0 comments

Comments


bottom of page