Pelepasan cukai adalah sistem yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LDHN) yang mana pembayar cukai dibenarkan memotong sejumlah wang daripada hutang cukai mereka. Beberapa jenis bantuan termasuk insurans hayat, perbelanjaan perubatan untuk ibu bapa, yuran pendidikan individu, pembelian komputer riba atau telefon pintar. Pelepasan cukai membolehkan anda mengurangkan pendapatan bercukai yang akan mempengaruhi kadar cukai dikenakan.
Sekiranya anda berjaya menguruskannya dengan baik, ia dapat menjimatkan sejumlah besar wang sekaligus membantu pengurusan kewangan peribadi anda. Sama ada baru bekerja ataupun ingin penyegaran semula, ini panduan lengkap membantu anda isi e-filing buat pertama kali melalui portal MyTax dan senarai pelepasan cukai pendapatan tahun taksiran 2022 yang boleh dituntut.
Adakah Anda Layak Dikenakan Cukai Pendapatan?
Siapakah yang perlu membayar cukai pendapatan?
Pada setiap bulan pastinya anda akan menerima slip gaji sekiranya sudah bekerja. Jika gaji bulanan anda lebih kurang RM2,833.33 (atau lebih daripada RM34,000 setahun) selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), anda perlu membayar cukai.
Jika anda bekerja secara bebas atau freelancer yang menerima pendapatan dari syarikat Malaysia ataupun mempunyai perniagaan sendiri, anda juga perlu membayar cukai jika pendapatan anda mencecah RM34,000 setahun. Ada juga beberapa syarikat yang membuat potongan cukai daripada gaji anda.
Harap maklum, pengiraan ambang jumlah pendapatan individu yang TIDAK DIKENAKAN CUKAI adalah mengambil kira pendapatan kasar tahunan ditolak dengan pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak. Jadual menunjukkan ambang jumlah pendapatan individu TIDAK DIKENAKAN CUKAI mengikut jenis taksiran.
Nota:
Jumlah pelepasan individu dan saudara tanggungan adalah RM9,000
Jumlah pelepasan anak di bawah umur 18 tahun adalah RM2,000/anak
Jumlah kelayakan rebat (diri sendiri dan suami / isteri) terhad kepada pendapatan bercukai individu sehingga RM35,000
Kenapa perlu membayar cukai pendapatan?
Cukai-cukai yang anda bayar tersebut akan digunakan oleh kerajaan untuk pembangunan negara seperti membayar pegawai kerajaan, membina infrastruktur, biasiswa, kemudahan seperti taman rekreasi awam, institusi pendidikan, inisiatif kesihatan, sekuriti, pertahanan, pencen termasuk kajian sains dan perubatan.
Sehubungan itu, cukai pendapatan bukan sahaja amalan berkongsi rezeki, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan tahunan.
Akibat tidak membayar cukai pendapatan
1. Dikenakan penalti 10%
Jika anda tidak membayar cukai, anda boleh dikenakan penalti 10% daripada pendapatan bercukai anda. Kemudian, anda boleh dikenakan lagi penalti 5% selepas sebulan anda tak bayar. Ini boleh menjadi punca hutang tertunggak jadi lebih baik anda selesaikan bayaran cukai secepat mungkin. Kesalahan penuh tak bayar cukai boleh dirujuk di laman web LHDN.
2. Tindakan mahkamah
Jika anda masih tak membayar hutang cukai setelah sekian lama, tindakan mahkamah boleh dikenakan. Harta benda dan barang peribadi anda akan disita oleh pihak kerajaan seperti seorang yang digelar muflis. Anda juga boleh dipenjarakan jika hutang cukai tersebut masih tidak diselesaikan walaupun setelah disita harta benda.
3. Tidak dibenarkan keluar negara
Sebagai seorang yang berhutang, sekatan perjalanan keluar negara boleh dikenakan. Perkara ini boleh berlaku jika anda seorang pengarah syarikat Malaysia yang tidak menyatakan dan membayar cukai pendapatan. Hal ini akan mengimpak perniagaan serta menjejaskan kualiti hidup anda.
Bila Boleh Isi e-Filing 2022?
Borang e-Filing untuk tahun taksiran 2021 akan dibuka bermula 1 Mac 2023. Oleh itu, sila pastikan anda sudah pun mempunyai akaun MyTax LHDN bagi memudahkan proses mengisi e-Filing.
Cara Daftar Cukai MyTax LHDN e-Filing 2023
Langkah 1: Dapatkan no cukai pendapatan
Jika anda baru pertama kali membuat pembayaran cukai, sebelum anda menggunakan e-Filing anda kena dapatkan nombor cukai pendapatan dulu. Ada 2 kaedah untuk dapatkan nombor cukai pendapatan, melalui online (e-Daftar) atau secara manual dengan isi borang di kaunter cawangan LHDN.
Isi Borang Di Cawangan LHDN
Anda kena dapatkan dulu nombor cukai pendapatan secara manual di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) yang berdekatan. Dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan adalah:
Borang CP600 (boleh dimuat turun daripada Borang > Muat Turun > Pendaftaran)
Kad pengenalan (kad pengenalan baharu, tentera, polis atau pasport)
Sijil Pendaftaran Perniagaan (bagi individu menjalankan perniagaan)
Penyata pendapatan/slip gaji
Daftar Online (e-Daftar) di Portal MyTax LHDN
Portal MyTax ini adalah satu platform yang menjadi akses utama kepada perkhidmatan ezHASiL secara online yang melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Portal MyTax ini menjadi laman web rasmi untuk anda menggunakan perkhidmatan e-Filing LDHN, e-Daftar LHDN, ByrHasil untuk bayar cukai pendapatan, e-Janji Temu untuk permohonan janji temu (appointment) untuk Percukaian, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dan Duti Setem dan banyak lagi. Portal ini diperkenalkan untuk memudahkan para pembayar cukai untuk membayar cukai tepat pada masanya tanpa perlu hadir ke cawangan LHDN. Antara dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti berikut: pasport bagi BUKAN warganegara Malaysia dan sijil Pendaftaran Perniagaan (bagi individu menjalankan perniagaan).
Langkah 2: Dapatkan no pin MyTax LHDN
Jika anda sudah dapat nombor cukai pendapatan, anda perlu dapatkan no PIN untuk mengaktifkan akaun di portal MyTax LHDN.
Cara Log Masuk di MyTax (Pengguna Berdaftar Tapi Tiada Sijil Digital)
e-CP55D – Borang permohonan no pin bagi log masuk kali pertama secara online
Klik butang e-CP55D dan anda akan terus ke halaman pengesahan maklumat
Klik butang YA, pastikan maklumat e-mel yang berdaftar adalah betul
Kik butang TIDAK, jika maklumat e-mel adalah salah
Makluman Pendaftaran Berjaya akan dipaparkan apabila pengguna berjaya log masuk kali pertama
Pautan pengaktifan akan dihantar ke e-mel yang berdaftar dengan LHDN
Bagi mengaktifkan Sijil Digital, pengguna perlu klik pautan (URL Pengaktifan) yang dihantar melalui e-mel
Tempoh sah pautan selama 2 hari sahaja bermula tarikh e-mel diterima
Selepas klik pada pautan yang dihantar ke e-mel, anda boleh teruskan proses untuk daftar sijil digital.
Langkah 3: Daftar Sijil Digital MyTax
No pin akan dipaparkan
Pilih jenis pengenalan
Klik butang Hantar
Pengesahan maklumat asas akan dipaparkan
Pastikan semua maklumat betul, dan cipta kata laluan anda
Cipta frasa keselamatan
Klik Setuju, dan Hantar
Sekiranya terdapat perubahan, klik Semula
Sistem akan memaparkan maklumat status Berjaya bagi penjanaan sijil digital yang didaftarkan
Seterusnya, klik OK
Selepas itu anda boleh log masuk ke portal MyTax
Langkah 4: Log Masuk di MyTax (Pengguna Berdaftar Yang Ada Sijil Digital)
Sila pilih jenis pengenalan (No Kad Pengenalan, No Passport, No Tentera, No Polis)
Sila pilih jenis pengenalan , masukkan no kad pengenalan, dan hantar
Sila pastikan frasa keselamatan, masukkan kata laluan yang betul, klik butang log masuk
Makluman status berjaya akan dipaparkan jika pembayar cukai berjaya log masuk di halaman utama MyTax
Jika paparan menunjukkan anda tiada sijil digital, anda kena dapatkan dulu no pin baru dapat log masuk ke MyTax dengan sijil digital yang akan dihantar ke e-mel anda.
Cara Isi e-Filing LHDN Untuk Tahun Taksiran 2022
1.Log masuk ke portal MyTax dan klik pada menu Perkhidmatan ezHasil, pilih e-Filing.
2. Paparan akan menunjukkan e-BE Tahun Taksiran 2021, e-Permohonan Pindaan BE, e-Borang dan e-Semakan Pengesahan
3. Klik e-Borang untuk pilih borang e-Filing dan tahun taksiran yang betul untuk status anda. (e-Borang BE tahun takiran 2022 akan mula dibuka mulai 01/03/2023)
Ini senarai borang e-Filing LHDN yang ada di portal MyTax untuk rujukan anda:
Individu Pemastautin
e-BE: Tiada Punca Pendapatan Perniagaan
e-B: Ada Punca Pendapatan Perniagaan
e-BT: Pekerja Berpengetahuan atau Bukan Warganegara Memegang Jawatan Utama atau Pekerja Berkepakaran (Program Kepulangan Pakar) yang telah diluluskan oleh Menteri – rujuk P.U (A) 344/2010 atau P.U.(A) 151/2012 di Portal Rasmi LHDNM
Borang nyata bagi Individu Bukan Pemastautin
e-M: Borang nyata bagi Individu Bukan Pemastautin
e-MT: Pekerja Berpengetahuan adalah tertakluk kepada kelulusan oleh Menteri – merujuk kepada P.U. (A) 344/2010 dalam Portal Rasmi LHDN
Bukan Individu
e-P: Borang Nyata Perkongsian
e-E: Borang Nyata Oleh Majikan
Maklumat pada borang e-Filing terbahagi kepada 4 bahagian iaitu:
Maklumat Individu
Pendapatan Berkanun, Jumlah Pendapatan Dan Pendapatan Tahun Kebelakangan Yang Belum Dilaporkan
Pelepasan / Rebat / Tolakan Cukai / Pelepasan Cukai
Rumusan
3. Sila isi dengan lengkap kesemua maklumat yang diperlukan untuk memudahkan proses pengiraan cukai pendapatan anda dan pelepasan cukai anda
4. Akhir sekali anda perlu sahkan borang cukai taksiran kemudian hantar kepada pihak LHDN secara online
5. Jika anda sudah berpuas hati dengan borang yang diisikan, sila klik ‘Tandatangan & Hantar’. Apabila anda sudah klik, skrin Tandatangan akan dipaparkan. Masukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang tepat untuk menghantar borang yang telah diisikan.
Senarai Pelepasan Cukai Individu Bagi Tahun Taksiran 2022 LHDN (e-Filing 2023)
(dikemaskini pada 20 Februari 2023)
1. Pelepasan Cukai Individu
Individu dan saudara tanggungan : RM9,000
Individu kurang upaya : RM6,000
Suami atau isteri kurang upaya : RM5,000
Suami / ister / alimoni kepada bekas isteri : RM4,000
Yuran pengajian diri sendiri : RM7,000
Penggunaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik RM2,500
2. Pelepasan Cukai Gaya Hidup, Perubatan & Peralatan Berkaitan
Rawatan perubatan keperluan khas dan Penjagaan ibu bapa : RM8,000
Peralatan alat sokongan khas : RM6,000
Gaya hidup : RM2,500
Pembelian bahan bacaan
Pembelian komputer peribadi
Telefon pintar / internet
Pembelian peralatan sukan, bayaran keahlian gymnasium
Tambahan RM2,500 untuk pembelian komputer peribadi, telefon pintar dan tablet
Tambahan gaya hidup RM500 berkaitan aktiviti sukan
Pembelian peralatan sukan
Sewaan / fi di mana-mana fasiliti sukan
Fi pendaftaran penyertaan pertandingan
Perbelanjaan melancong dalam negara : RM1,000
Penginapan di premis/hotel yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992
Bayaran masuk ke pusat tarikan pelancongan
Pembelian peralatan penyusuan : RM1,000
Pembayar cukai wanita sahaja
Anak berumur kurang 2 tahun sahaja
Tuntutan dibuat sekali setiap 2 tahun
Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius, rawatan kesuburan & pemeriksaan perubatan penuh (Diri sendiri, suami / isteri atau anak) terhad RM8,000 (termasuk rawatan perubatan penuh, pemeriksaan kesihatan mental atau konsultasi ke atas diri sendiri, suami / isteri atau anak, ujian pengesanan COVID19 dan vaksinasi yang dibenarkan terhad RM1,000)
3. Pelepasan Cukai Anak
Anak bawah 18 tahun : RM2,000
Anak 18 tahun ke atas : RM2,000 (belum berkahwin / belajar sepenuh masa)
Anak 18 tahun ke atas : RM8,000 (belum berkahwin / belajar di IPT)
Yuran taman asuhan kanak-kanak / tadika berdaftar : RM3,000
Anak kurang upaya : RM6,000
Tambahan bagi anak kurang upaya RM8000 (belajar di IPT – Diploma / ke atas)
4. Pelepasan Cukai Caruman / Sumbangan
Insurans Nyawa dan KWSP *individu penjawat awam dan berpencen RM7,000 atau
Selain penjawat awam *insuran nyawa / takaful RM3,000
KWSP / Skim yang diluluskan : RM4,000
PERKESO : RM350
Skim persaraan dan anuiti tertunda : RM3,000
Insuran perubatan dan pendidikan (individu / pasangan /anak) : RM3,000
SSPN (tabungan bersih) : RM8,000
Cara Pembayaran Cukai Pendapatan ByrHASIL 2023
Ada 2 cara untuk buat pembayaran cukai: Bayaran FPX Menggunakan No. Pengenalan Cukai atau Bayaran FPX Menggunakan Nombor Bil. Kedua-dua pembayaran cukai pendapatan ini boleh dilakukan melalui FPX, kad kredit, kad debit, kaunter pusat bayaran LHDNM, bank, pejabat pos dan pindahan wang dari luar negara. Untuk pembayaran cukai pendapatan melalui FPX sebagai gateway untuk pembayaran cukai, pengguna perlu mempunyai akaun perbankan internet dengan mana-mana bank yang menyertai FPX.
Bayar Cukai dan Elakkan Hutang
Setelah anda mengisi dan menghantar borang untuk e-Filing cukai, anda perlu membayar jumlah tertera sebagai pendapatan bercukai. Ingat, anda akan dikenakan penalti 10% jika lambat bayar dan seterusnya 5% selepas sebulan masih tak dibayar. Jika anda ingin mengelakkan penalti dan hutang lapuk, lebih baik anda lengkapkan e-Filing dan bayar cukai secepat mungkin. Jadilah seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab supaya kehidupan anda, keluarga, jiran dan rakan-rakan di negara ini terus kekal aman dan selesa. Membayar cukai dapat mengukuhkan lagi pengurusan kewangan keluarga jika anda sudah bekeluarga.
Sumber artikel ini dipetik dari sumber Direct Landing
Comments