(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 19 Julai 2019 dan dikemas kini pada 4 Ogos 2020).
Masalah yang paling perlu dijauhi adalah hutang keliling pinggang. Apabila anda terlepas membuat satu bayaran, maka keadaan kewangan anda akan menjadi rumit. Kelewatan membayar hutang adalah petanda yang jelas mengenai kesilapan dalam penilaian sewaktu mengambil pinjaman. Kesilapan ini selalunya akan disedari oleh peminjam pada mereka dalam kesusahan. Bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Oleh itu, anda perlu berhati-hati agar tidak tersilap mengambil pinjaman yang menyebabkan hutang buruk.
Apakah itu hutang buruk?
Hutang buruk atau dikenali sebagai hutang lapuk digambarkan sebagai perbelanjaan yang tidak membuahkan hasil pada pendapatan. Antara contoh hutang lapuk adalah kereta, perbelanjaan yang tidak praktikal (seperti pakaian, barangan elektronik, kosmetik, dll.), kad kredit dan sebagainya. Semua contoh ini adalah tidak baik untuk anda sekiranya anda berbelanja melebihi kemampuan anda. Secara ringkasnya, apabila anda berada di posisi tidak mampu membayar hutang anda, ia bererti anda mempunyai hutang yang buruk.
Tetapi anda harus ingat, tidak semua hutang itu adalah hutang buruk. Sebilangan hutang itu sebenarnya adalah hutang yang baik. Baca artikel kami di mana kami membandingkan perbezaan antara hutang baik dengan hutang buruk.
Nasihat ini biasa diberikan kepada peminjam tetapi ia selalu diambil mudah. Walaupun anda boleh meminjam, tidak semestinya anda perlu meminjam. Persepsi itu perlu dijauhi kerana ia akan menjurus kepada malapetaka kewangan. Sebaik-baiknya, anda perlu lebih mengenalpasti ciri-ciri hutang buruk. Ini kerana menyelesaikan hutang yang menggunung adalah penderitaan yang anda tidak mahu lalui.
Cara elak terjerumus ke dalam hutang buruk
1. Lakukan perancangan kewangan
Perancangan adalah aspek penting dalam kewangan. Pertama sekali, anda perlu memahami objektif perancangan kewangan tersebut. Pastikan perancangan anda menggambarkan situasi sebenar kemampuan anda. Jika pendapatan anda adalah terhad, maka adalah tidak wajar untuk anda meminjam kerana anda akan menghadapi masalah untuk membuat bayaran balik. Anda boleh cuba rancang belanjawan anda dengan peraturan 50/30/20 ini.
2. Bina tabung dana kecemasan
Asingkan sedikit jumlah daripada pendapatan anda untuk bina dana kecemasan. Apabila anda mempunyai dana kecemasan, anda tidak lagi cenderung untuk meminjam. Dana kecemasan ini akan menjadi pelindung daripada hutang buruk.
3. Kawal nafsu berbelanja
Laksanakan perancangan kewangan anda dengan berdisiplin. Tanpa disiplin, anda akan berbelanja melebihi perancangan. Mengawal keinginan untuk berbelanja adalah sukar pada permulaan tetapi apabila anda sudah biasa, ia akan menjauhkan diri anda daripada terjebak dengan hutang buruk.
4. Dahulukan keperluan, bukan kehendak
Dengan keinginan berbelanja yang terkawal, anda boleh membezakan keperluan dan keinginan anda dengan lebih baik. Cara berfikir anda akan berubah dengan menjadi lebih peka dengan keadaan kewangan. Secara tidak langsung, anda akan mendahulukan keperluan daripada kehendak.
5. Elakkan membuat pembelian dalam bentuk kredit
Jangan jadikan pembelian secara kredit atau pendahuluan tunai sebagai kebiasaan kerana ia merupakan ciri-ciri individu yang kurang berpengetahuan mengenai kewangan. Gunakan kad kredit anda untuk pembelian yang berbaloi dan benar-benar perlu sahaja. Memohon kad kredit tambahan bukanlah penyelesaian yang wajar malah akan lebih memburukkan keadaan.
6. Jangan selesaikan hutang buruk dengan hutang buruk yang lain
Pemikiran individu yang banyak berhutang adalah mengelirukan. Daripada berusaha untuk mengurangkan hutang, mereka lebih cenderung untuk menggunakan kad kredit sehingga hampir mencapai tahap maksima. Keadaan akan menjadi buruk apabila hutang menggunung akibat tunggakan. Penyelesaian bagi hutang tertunggak bukanlah dengan membuat pinjaman baru. Tindakan itu hanya akan menambahkan hutang lapuk.
7. Pilihlah hutang yang baik
Jika anda memerlukan duit lebih untuk membuat bayaran atau melabur dalam sesuatu yang berharga seperti rumah, pendidikan, atau perniagaan, maka pinjaman adalah wajar. Hutang yang baik adalah pinjaman peribadi yang menawarkan kadar faedah yang paling rendah dah tempoh pembayaran yang fleksibel. Berhati-hati ketika menggunakan kad kredit kerana ia mempunyai kadar faedah yang amat tinggi.
Sebelum membuat pinjaman peribadi, pastikan anda telah menilai pendapatan dan kemampuan anda untuk membuat pembayaran. Selalu pilih hutang yang baik seperti penyatuan hutang. Jangan salahguna kemampuan anda untuk meminjam dengan membuat hutang lapuk yang akhirnya akan membinasakan anda.
8. Jangan meminjam untuk bergaya macam orang lain
Meminjam untuk menunjuk hanya akan membawa padah. Tidak ada faedah langsung untuk anda meminjam semata-mata untuk bergaya. Sebaliknya, ia hanya akan membuat anda susah dan papa kedana di kemudian hari.
9. Jangan benarkan orang lain menggunakan kredit anda
Membenarkan individu lain menggunakan kredit anda adalah kesalahan yang besar. Jika individu tersebut tidak boleh membuat bayaran, maka anda perlu menanggung kesemuanya. Elakkan juga daripada menjadi penjamin. Jika pinjaman tidak dijelaskan, maka anda yang perlu susah. Buat baik berpada-pada, jangan sampai susahkan diri anda.
10. Fikirkan kesan sampingan hutang buruk
Penghalang utama hutang buruk adalah kesedaran. Melindungi keadaan kewangan anda sepatutnya menjadi matlamat utama selaku peminjam yang bertanggungjawab. Hutang lapuk akan mendedahkan anda kepada menjadi peminjam berisiko tinggi.
Dengan sejarah kredit yang buruk, anda akan mengalami kesukaran untuk membuat pinjaman di masa hadapan. Barangkali, anda juga akan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana majikan akan menyemak status kredit anda. Anda akan terus dihantui badan pengutip hutang. Kesan hutang buruk adalah merbahayakan. Oleh itu, pastikan anda membuat penilaian yang teliti sebelum membuat sebarang pinjaman.
Dalami ilmu kewangan
Dengan mendalami ilmu kewangan, anda boleh mengawal keadaan kewangan dan memperoleh hidup yang lebih stabil dan gembira. Terdapat pelbagai cara yang seperti dinyatakan untuk menjauhi anda daripada terjerumus dalam kesusahan hutang buruk. Oleh itu, jangan sesekali terlibat dalam hutang buruk. Hidup anda akan susah dan kesusahan itu tidak berbaloi sama sekali.
Comments