top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

4 Petua Penjimatan Mudah Untuk Rakyat Malaysia


Salah satu keresahan utama rakyat Malaysia adalah peningkatan kos sara hidup. Banyak barangan keperluan seperti barang dapur, pakaian, buku, dan juga hartanah mengalami peningkatan harga.


Namun begitu, harus diingatkan bahawa setiap kesusahan pasti ada penyelesaian. Walaupun kos hidup kian meningkat, masih ada cara untuk rakyat Malaysia berjimat.


1.Penjimatan sehingga RM180 sebulan dengan menggunakan pas perjalanan tanpa had 30 hari


Pas perjalanan tanpa had 30 hari RM100 dan RM50 bagi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL telah diperkenalkan secara rasmi sewaktu Belanjawan 2019. Tujuan pas ini diperkenalkan adalah untuk mengurangkan beban pengguna kerap pengangkutan awam. Keistimewaan pas ini adalah ia memberi perkhidmatan tanpa had selama 30 hari bagi mereka yang menggunakan MRT, LRT, monorel, bas Rapid KL, bas Rapid Transit, dan bas MRT.


Pas ini khas untuk kegunaan rakyat Malaysia dan cuma boleh berfungsi menggunakan MyKad, MyTentera, dan MyKid.


Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, “Perjalanan menggunakan rel serta bas dari Kajang ke tempat kerja di KLCC menelan belanja sebanyak RM280 sebulan atau RM6.40 sehala. Jika mereka melanggan pas ini, mereka dapat berjimat sehingga RM180 sebulan”

Untuk memperoleh pas ini, anda cuma perlu pergi ke mana-mana stesen MRT atau LRT yang berdekatan. Selain itu, pas ini juga boleh diperolehi di stesen bas Bandar Shah Alam, Greenwood (Gombak), Sri Nilam (Ampang), dan Terminal Kajang.



2.Nikmati potongan harga hebat dengan program ahli

Ramai yang memperlekehkan program ahli. Kebanyakan daripada kita tidak mahu mendaftar untuk program ahli kerana gagal melihat faedah dan kebaikannya, walaupun kita sering berbelanja di kedai yang sama.

Sebenarnya, terdapat banyak faedah jika anda menyertai progam ahli. Antara faedah yang anda akan dapat adalah potongan harga, tawaran baik, dan barangan percuma. Contohnya, restoran Sushi King menawarkan potongan harga 10% kepada kesemua ahlinyaBagi mereka yang mendaftar sebagai ahli VIP Watsons, mereka dapat menikmati potongan harga sehingga 15%, pelbagai barangan percuma, serta hadiah tebusan. Pasaraya AEON Big turut mempunyai program ahli yang menarik dimana ahli dapat menebus wang tunai.

Jika dilihat dengan teliti, kita akan nampak dengan jelas bahawa progam ahli mempunyai banyak manfaat dari segi kewangan, terutamanya untuk jangka masa panjang.

3.RMT memberikan makanan percuma untuk murid kurang berkemampuan

RMT adalah Rancangan Makanan Tambahan, satu program kerajaan Malaysia dimana makanan percuma akan diberikan pada waktu rehat kepada murid sekolah rendah yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Program ini khas untuk rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) Nasional.

Jadual ini menunjukkan kelayakkan RMT.

Tujuan RMT diperkenalkan adalah untuk membantu rakyat berpendapatan rendah serta mengelakkan tumbesaran terbantut dan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan murid sekolah rendah. Permohonan RMT boleh dilakukan di sekolah rendah murid tersebut. Untuk tahun 2019, sebanyak RM289 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk program ini, dimana RM250 juta akan digunakan untuk membekalkan makanan bernilai RM2.50 sehari bagi setiap murid di Semenanjung manakala RM3 sehari bagi setiap murid di Sabah, Sarawak dan Labuan selama 190 hari iaitu jumlah hari minimum sesi persekolahan.

4.Lebih jimat dengan menggunakan Dompet Maya (E-Wallet)


Dapatkan lebih keuntungan dan penjimatan apabila anda membuat pembayaran menggunakan dompet maya. Terdapat pelbagai dompet maya atau e-wallet yang selamat dan boleh dipercayai di Malaysia. Antaranya adalah GrabPayBoost, dan FavePay.


Penggunaan dompet maya kian mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia kerana sifatnya yang mesra pengguna, kepelbagaian kedai, serta potongan harga istimewa.


Sebagai contoh, pada tarikh tulis artikel ini, pengguna GrabPay dapat menikmati potongan harga di beberapa perniagaan dan perkhidmatan. Antaranya adalah potongan harga sebanyak RM10 untuk tiket KLIA Ekspress. Manakala pengguna Boost pula berpeluang mendapat 100% rebat tunai sekiranya menambah minima RM30 pada mana-mana telko.

Terdapat banyak potongan harga dan rebat tunai yang ditawarkan oleh pengeluar dompet mata. Untuk memperoleh maklumat mengenainya, anda cuma perlu layari laman web atau laman media sosial mereka.


Penggunaan dompet maya memberi kita peluang untuk menikmati sedikit kemewahan dan memperoleh penjimatan pada masa yang sama.


Tidak dapat dinafikan bahawa keadaan di Malaysia amat merunsingkan disebabkan masalah kewangan. Golongan berpendapatan sederhana dan rendah adalah golongan yang paling terasa peritnya. Sungguhpun begitu, masih ada harapan untuk golongan ini memperoleh kewangan yang kukuh dengan menggunakan bantuan kerajaan, program ahli, serta tawaran hebat dengan sebaiknya.

3 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page