top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

5 Panduan Untuk Berjimat Hari Raya ini


Hari raya yang disambut setahun sekali akan menjelang tiba lagi setelah sebulan berpuasa. Isu perbelanjaan yang besar sering menjadi isu terutamanya bagi mereka yang ingin menyambut perayaan ini dengan meriah. Perayaan yang meriah tidak semestinya memerlukan perbelanjaan yang besar. Kali ini, Direct Lending akan kongsikan kepada anda tips untuk berjimat hari raya ini tetapi masih lagi penuh dengan kemeriahan!


1.Sediakan bajet raya


Perkara ini merupakan perkara asas bagi setiap perancangan kewangan namun sangat penting bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diingini. Senaraikan setiap perbelanjaan yang diperlukan bagi menyambut perayaan seperti baju raya, kos balik kampung dan sebagainya. Apabila anda membuat bajet sebelum berbelanja, anda dapat membezakan perbelanjaan yang mengikut kehendak atau keperluan anda.


Pastikan setiap perbelanjaan yang dibuat adalah mengikut kemampuan kewangan masing-masing kerana kemeriahan raya bukan bergantung kepada jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi yang penting adalah masa dan kasih sayang dari keluarga tercinta di hari raya ini.


2. Pakai semula pakaian yang masih elok dan baru


Tidak menjadi satu kemestian sebenarnya untuk anda memiliki baju baru di hari raya, asalkan pakain itu masih elok dan cantik, anda masih lagi kelihatan segak dan cantik di hari raya! Jika anda seorang yang kreatif, anda masih boleh menggunakan pakaian lama anda dengan sedikit kelainan dengan menggunakan kaedah mix and match pakaian anda.


Bagi wanita, anda boleh padankan baju kurung atau kebaya anda bersama corak atau warna tudung yang berbeza dari sebelum ini. Bagi lelaki pula, cuba tukar corak sampin anda atau gayakan dengan simpulan kain sampin yang berbeza pada tahun ini. Hari raya yang disambut pastinya meriah dengan kreativiti dan kelainan anda memperagakan busana raya anda pada tahun ini.


3. Manfaatkan jualan murah dan diskaun bagi musim perayaan


Pada musim perayaan ini, sudah menjadi kebiasaan bagi pusat membeli-belah membuat jualan murah dan diskaun perayaan secara besar-besaran. Manfaatkan jualan murah dan diskaun yang ditawarkan bagi musim ini, tetapi pastikan mengikut perbelanjaan yang ditetapkan.


Kebiasannya, ramai dalam kalangan kita mudah menjadi rambang mata dengan harga murah yang tidak masuk akal dan boleh mendorong kita berbelanja sesuatu yang bukan keperluan diri sendiri. Tidak salah berbelanja dan memanfaatkan tawaran menarik yang ada, namun disiplin kewangan yang ketat perlu ada bagi membezakan keperluan dan kehendak sewaktu berbelanja bagi musim perayaan ini. Apabila anda mengikut perbelanjaan yang ditetapkan dan masih memanfaatkan jualan murah dan diskaun yang ditawarkan, anda mungkin masih mempunyai baki belanja yang boleh disimpan pada masa akan datang ataupun membeli sedikit ganjaran kecil untuk diri anda sendiri kerana berdisiplin dalam kewangan.


Jualan murah dan diskaun ini bukan terhad kepada pembelian di pusat membeli-belah sahaja. Banyak syarikat perniagaan online turut menawarkan pelbagai diskaun dan tawaran yang sangat menarik. Antara syarikat yang menawarkan promosi dan tawaran adalah Lazada dan Shopee.


4. Guna projek DIY untuk hias rumah anda di hari raya


Menjelang hari raya ini, pasti ramai anak saudara yang akan berkunjung ke rumah anda. Hiasan rumah yang menarik dan kemas tidak semestinya harus serba baru, tetapi anda perlu bijak menggunakan kreativiti yang ada. Sebagai contoh mudah, kad raya yang terpakai boleh ditampal untuk dijadikan hiasan rumah yang bukan sahaja kreatif, tetapi penuh makna.  Rujuki pautan ini untuk 10 tips projek DIY hiasan Raya ini.

5. Masak sendiri hidangan dan sajian hidangan di hari raya

Memang mudah jika kita hanya membuat tempahan bagi kuih raya dan sajian hidangan di hari raya ini. Namun dengan jumlah wang yang sama, jika masakan ini dimasak bersama-sama secara gotong royong bersama keluarga pastinya penjimatan yang lebih banyak dapat dilakukan. Keletihan sewaktu memasak tidak akan dirasai jika dilakukan bersama-sama keluarga dan secara tidak langsung hubungan sillaturrahim dapat bertaut kembali dan membentuk ikatan kekeluargaan yang lebih kukuh.

1 view0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page