top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

5 Peringatan Penting Selaku Penjamin Pinjaman


5 Peringatan Penting Selaku Penjamin Pinjaman


(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 23 November 2018 dan dikemas kini pada 22 Jun 2020).

Pernahkah anda mengalami situasi di mana kawan atau saudara anda meminta anda menjadi penjamin? Perkara ini lazimnya berlaku apabila bakal peminjam memerlukan penjamin sebagai syarat kelulusan pinjaman mereka. Biasanya, anda akan bersetuju untuk menjadi penjamin sebagai tanda sokongan dan untuk menjaga hubungan. Tetapi, sebelum anda menurunkan tanda tangan anda sebagai penjamin, anda perlu mengetahui perkara-perkara penting sebagai seorang penjamin.


Tanggungjawab Penjamin


Pertamanya, penjamin (guarantor) bukanlah peminjam kongsi. Sebagai seorang penjamin bermaksud anda mempunyai tanggungjawab yang seimbang dengan peminjam utama dalam aspek pembayaran balik pinjaman. Ini bermaksud seorang penjamin akan terikat dengan kontrak sah dan akan bertanggungjawab untuk membayar hutang sekiranya peminjam gagal untuk membuat bayaran.


Biasanya, pihak bank atau syarikat kewangan memerlukan penjamin jika jumlah pinjaman yang dimohon melebihi had yang ditetapkan. Oleh itu, seorang individu lain diperlukan untuk menjamin pembayaran balik pinjaman jika peminjam gagal membuat pembayaran. Secara amnya, anda selaku penjamin adalah jalan alternatif untuk peminjam dapatkan kembali wang mereka.


Untuk menjadi seorang penjamin, anda perlu memenuhi keperluan undang-undang seperti:

  • Berumur 18 tahun dan keatas

  • Tidak mempunyai status muflis

  • Berfikiran waras dan mempunyai keupayaan mental untuk memahami dokumen jaminan

  • Sanggup terima syarat untuk jadi seorang penjamin

Selain itu, pihak bank atau syarikat kewangan juga melihat jika penjamin tersebut mempunyai pendapatan yang stabil serta kedudukan kredit yang baik.


Isu berkenaan bankrupsi kini berleluasa di Malaysia. Kebanyakan peminjam yang gagal membuat pembayaran balik pinjaman adalah peminjam yang berusia 40 tahun ke bawah. Kegagalan untuk menyelesaikan pinjaman kenderaan, rumah, dan pinjaman peribadi adalah punca-punca utama bankrupsi. Malangnya, sesetengah daripada nama yang di senarai hitam bukanlah peminjam, tetapi hanya penjamin.


Jadi, anda tidak seharusnya merasa bangga dan wajib bersetuju untuk menjamin. Menjadi penjamin bukanlah perkara yang remah kerana anda perlu menanggung hutang orang lain. Oleh itu, anda perlu membuat penelitian yang mendalam sebelum meletakkan nama anda selaku penjamin. Bantu diri anda sendiri sebelum bantu orang lain. Di sini, kami huraikan 5 perkara yang anda perlu teliti sebelum anda bersetuju untuk menjadi sebagai seorang penjamin.


1. Kenalpasti tujuan pinjaman tersebut dilakukan


Jangan malu untuk bertanya kepada pihak peminjam mengenai tujuan pinjaman tersebut dilakukan. Perkara itu harus jelas agar anda tidak menjamin sesuatu yang sia-sia. Tak usah berasa segan untuk mendapatkan maklumat yang mendalam mengenai sebab mereka memerlukan penjamin. Melalui maklumat tersebut, anda boleh mengenal pasti jika peminjam ini ada kemampuan untuk membayar balik pinjaman ini. Kalau anda merasakan sesuatu yang tidak berkenan, jangan takut untuk bersuara dan menolak permintaan untuk menjadi penjamin.


2. Pertimbangkan kemampuan anda untuk melunaskan pinjaman tersebut jika peminjam gagal menyelesaikannya

Sebelum anda yakin bahawa risiko untuk peminjam culas adalah kecil, adalah lebih baik jika anda lakukan analisis kedudukan kewangan terlebih dahulu. Pastikan ada mampu untuk menyelesaikan pinjaman jika peminjam tersebut gagal melangsaikannya. Anda harus ketahui bahawa selain daripada pinjaman tertunggak, anda selaku penjamin juga perlu menyelesaikan lain-lain kos tambahan.


3. Kaji kontrak dan perjanjian pinjaman


Kesalahan yang sering dilakukan oleh bakal penjamin adalah kegagalan mengkaji dokumen perjanjian. Anda sepatutnya meneliti setiap perkataan yang dikemukakan dalam dokumen tersebut. Dapatkan khidmat nasihat peguam untuk memahami risiko dan hak anda. Jangan turunkan tandatangan anda dengan terburu-buru melainkan anda benar-benar memahami setiap perkara di dalam dokumen perjanjian tersebut.


Sediakan surat ganti rugi yang ditandatangi oleh peminjam sebagai jaringan keselamatan anda. Dengan adanya surat ganti rugi, anda boleh mengambil tindakan mahkamah atas kerugian yang anda hadapi sebagai penjamin. Jika peminjam tidak mahu menandatangi surat ganti rugi, itu bermaksud dia menyimpan niat yang tidak baik.


4. Jangan sesekali tandatangan dokumen pinjaman kosong


Satu lagi kesilapan bakal penjamin yang membawa malapetaka adalah menurunkan tandatangan ke atas dokumen ‘kosong’. Jangan sesekali lakukan perkara ini. Bertegas dengan peminjam supaya dia berikan dokumen yang ‘berisi’.

Dokumen tersebut perlu menyatakan jumlah pinjaman, kadar faedah, dan jangka masa kontrak dengan jelas. Jika anda ambil mudah perkara ini, nanti anda yang akan tanggung akibat buruknya.


5. Ketahui kesannya terhadap rekod CCRIS dan kedudukan kredit anda


Niat hendak membantu memang baik. Tapi jangan sampai makan diri sendiri. Anda perlu fikirkan rekod kredit seperti CCRIS dan CTOS atau kedudukan kredit anda yang akan terkesan dengan tindakan sebagai penjamin.

Apabila anda sudah menandatangani perjanjian itu, maka anda tidak ada jalan keluar lagi. Anda yang perlu bertanggungjawab dan menanggung beban untuk menyelesaikan hutang orang lain jika peminjam itu tidak menjalankan tanggungjawabnya.


Ikut akal, bukannya hati


Keburukkan menjadi penjamin adalah beban yang perlu anda pikul sekiranya peminjam tidak menyelesaikan hutangnya. Ini akan merosakkan kedudukan kredit anda dan menyusahkan anda dari segi kewangan. Risiko untuk kehilangan keistimewaan kredit anda adalah tinggi. Oleh itu, anda perlu berfikir dengan teliti sebelum bersetuju untuk menjadi penjamin. Jangan biarkan masa depan anda rosak gara-gara tindakan orang lain.

12 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page