top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

6 JENIS MATLAMAT KEWANGAN YANG ANDA HARUS MEMBINA SEKARANG

6 JENIS MATLAMAT KEWANGAN YANG ANDA HARUS MEMBINA SEKARANG


Melabur dan merancang kewangan adalah perkara yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan seseorang bagi memastikan anda dapat membina kehidupan sejahtera.


Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa tertentu. Selain itu, ia juga sebagai panduan untuk membantu anda mencapai sesuatu matlamat pada masa hadapan.

Oleh itu, menetapkan matlamat kewangan adalah sangat penting dalam perancangan kewangan anda. Ini kerana anda perlu mempunyai matlamat kewangan yang perlu dicapai sebagai dorongan untuk menggalakkan anda berjaya melaksanakan pelan perancangan kewangan.


Antara kaedah menetapkan matlamat kewangan adalah dengan cara berikut:


1. TETAPKAN MATLAMAT SPESIFIK


Untuk menetapkan kedudukan kewangan yang kukuh, anda perlu mempunyai matlamat kewangan yang spesifik. Dengan cara ini, anda akan mendapat gambaran atau visualisasi masa depan sekaligus minda anda akan fokus untuk mencapai matlamat itu. Anda perlu  bertanggungjawab, komited, berdisiplin dalam merancang kewangan anda untuk setiap peringkat hidup. Buat perancangan hidup dan kewangan dengan teliti untuk menentukan secara terperinci matlamat kewangan yang perlu diperolehi. Sebagai contoh, anda mungkin mahukan sebuah rumah sendiri apabila anda berusia 30 tahun. 


Dengan tetapkan matlamat spesifik, anda akan mendapat gambaran atau visualisasi masa depan sekaligus minda anda akan fokus untuk mencapai matlamat itu.


2. UKUR


Matlamat kewangan mesti boleh diukur. Apabila anda sudah menetapkan matlamat spesifik seperti mahukan rumah sendiri, anda perlu mempunyai kayu pengukur untuk memantau kemajuan anda dalam mencapai matlamat itu. Contohnya, anda mungkin mahu mengumpul 10 peratus daripada harga rumah idaman anda untuk bayaran muka depan dan kayu pengukur anda dalam hal ini adalah supaya jumlah tersebut terdapat dalam akaun bank anda.


3. MEMAHAMI KEMAMPUAN DIRI


Matlamat kewangan anda mesti boleh dicapai selagi ianya berada dalam kemampuan. Selain mempunyai idea jelas mengenai perancangan kewangan kukuh, anda harus sedar mengenai kedudukan kewangan anda pada setiap masa. Ini boleh dilakukan dengan memeriksa secara berterusan setiap komponen kedudukan anda seperti pinjaman yang perlu dibayar, baki kad kredit serta pendapatan dan perbelanjaan bulanan. Ketahui nilai bersih anda dengan mengetahui apa aset dan liabiliti yang anda miliki. Ini boleh membantu anda membuat keputusan pelaburan yang bijak.



4. FAKTOR MASA


Masa memainkan peranan penting dalam setiap pelaburan dan juga matlamat kewangan anda. Jadi anda perlu memahami konsep masa dan tempoh matang dalam setiap langkah anda mencartakan perjalanan kewangan untuk kehidupan yang selesa. Matlamat anda boleh dibahagi dua iaitu matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang. 

MATLAMAT KEWANGAN JANGKA PENDEK:


1. TABUNG PERKAHWINAN


Urusan perkahwinan bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan. Hakikatnya, tanpa perancangan kewangan yang betul, hari bahagia yang dinanti-nanti bakal bertukar menjadi beban sekiranya kedudukan kewangan tidak kukuh.


Sediakan bajet bulanan supaya perbelanjaan anda tidak tersasar dengan pembelian yang tidak penting. Anda harus menyimpan lebih daripada biasa jika anda mahukan sejumlah wang yang boleh digunakan untuk hari perkahwinan. 


2. DANA KECEMASAN


Mendidik diri untuk menyimpan sememangnya bukan perkara mudah. Ini kerana masyarakat sekarang lebih gemar berbelanja mengikut kemahuan berbanding keperluan. Wujudkan tabung kecemasan yang tersedia wang di dalamnya sekiranya anda memerlukan wang dengan segera. Sebaik-baiknya anda mempunyai enam kali jumlah gaji bulanan anda di dalam simpanan. Ini dapat membantu jika anda kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba atau berlaku keperluan yang mendesak seperti kematian atau kemalangan.


Wujudkan tabung kecemasan yang tersedia wang di dalamnya sekiranya anda memerlukan wang dengan segera. 


3. TABUNG PELABURAN


Sediakan dua akaun berbeza untuk akaun simpanan dan pelaburan. Akaun simpanan untuk kegunaan harian, manakala akaun pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera adalah untuk jangka panjang


MATLAMAT KEWANGAN JANGKA PANJANG:


1. TABUNG PEMBELIAN RUMAH


Pupuk tabiat menabung seawal mungkin selain perlu konsisten dalam membuat tabungan untuk impian membeli rumah.


Mulakan dengan mengumpul bayaran deposit. Mula menyimpan wang walaupun masih bujang. Ini adalah tempoh terbaik untuk membuat tabungan kerana anda masih belum mempunyai komitmen terhadap pasangan dan anak. 


2. TABUNG MENUNAIKAN HAJI


Setiap orang Islam yang berkemampuan dinasihatkan tidak melengahkan masa untuk membuat persiapan seperti menyimpan wang secukupnya dengan mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji bagi membolehkan mereka menunaikan rukun Islam kelima.


Disebabkan kekangan ekonomi, ramai yang mencapai tahap kemampuan menunaikan haji pada usia tua selepas berusaha berpuluhan tahun menyimpan wang untuk mencukupkan perbelanjaan menunaikan ibadat haji. Oleh itu, tetapkan hasrat dan mulakan simpanan haji dari muda. 


3. TABUNG PENDIDIKAN ANAK-ANAK


Ibu bapa yang bijak akan membuat perancangan masa depan anak dengan mempunyai simpanan dari awal supaya anak tidak terikat dengan bebanan hutang apabila tamat pengajian.


Langkah pertama perlu diambil ibu bapa dalam perancangan matlamat ialah berinteraksi dan berkomunikasi dengan anak. Komunikasi amat penting untuk mengetahui apa yang diimpikan anak anda. Berbekalkan pengetahuan inilah baru anda dapat membantu impian anak menjadi kenyataan. Biasanya kanak-kanak kurang jelas dalam membentuk sesuatu matlamat dan di sinilah timbulnya peranan anda selaku ibu bapa. Berbincanglah dengan mereka – tanyalah mereka soalan yang dapat membantu anak membentuk matlamat mereka dengan sendirinya.


Luangkan masa untuk duduk dan berbincang dengan pasangan atau luangkan masa untuk diri sendiri bagi memahami kehendak dan cita-cita anda dalam hidup. 

Merancang hal kewangan seharusnya perkara yang dititikberatkan agar anda tidak terlepas pandang dalam hal ini. Luangkan masa untuk duduk dan berbincang dengan pasangan atau luangkan masa untuk diri sendiri bagi memahami kehendak dan cita-cita anda dalam hidup. Dengan perancangan yang baik, anda boleh membina kehidupan yang selesa di masa hadapan. 

2 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page