top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

6 Langkah Mudah Untuk Bina Tabung Dana Kecemasan

(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 6 Februari 2018 dan dikemas kini pada 28 Mei 2020).

Pernah tak anda terfikir, apa akan berlaku sekiranya anda tiba-tiba jatuh sakit dan perlu melakukan pembedahan yang memerlukan belanja RM40,000? Sedangkan gaji anda pun tidak sampai RM3,000, bagaimana anda hendak tampung kos pembedahan tersebut? Sebab itu anda perlu ada tabung dana kecemasan. Tabung ini yang akan membantu anda sewaktu kesusahan.

Terutamanya dengan pandemik COVID-19, ramai telah kehilangan pekerjaan atau potongan gaji. Berdasarkan statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, seramai 52.6% responden berkata mereka merasai impak dari segi kewangan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tambahan pula, seramai 28.6% responden kata simpanan mereka hanya boleh tahan selama kurang daripada sebulan. Dengan statistik tersebut, ia menunjukkan bahawa adalah penting untuk kita mula bina ‘jaring keselamatan’ kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi kemudian hari.


Menguji Kematangan Kewangan


Kekangan yang dihadapi oleh kebanyakkan daripada kita untuk menubuhkan tabung dana kecemasan adalah perbelanjaan berulang, seperti pembayaran semula pinjaman bank dan perbelanjaan keperluan asas. Jumlah dana kecemasan yang disyorkan adalah 3 sehingga 6 bulan perbelanjaan bulanan. Bagaimanapun, kita seharusnya berfikiran matang dalam mengatur kewangan dengan ‘menyediakan payung sebelum hujan’ agar tidak susah sewaktu masa yang akan datang.


1. Lakar Sebuah Pelan Tindakan



Bagi memastikan anda boleh menubuhkan tabung dana kecemasan berjalan dengan jayanya, anda perlu terlebih dahulu mempunyai pelan perancangan yang rapi. Pelan perancangan ini akan menjadi panduan untuk anda mencapai matlamat kewangan anda. Pelan perancangan yang terbaik mempunyai sasaran kewangan yang jelas. Anda boleh pastikan kewangan anda teratur dengan kegunaan aplikasi kewangan yang percuma ini.


2. Menyemai Benih Kewangan


Apabila anda sudah ada pelan kewangan, pastikan anda ikut pelan tersebut tanpa kompromi. Jangan sekali tersasar daripada matlamat. Pertama sekali, anda perlu nilai pendapatan bersih anda. Memisahkan jumlah perbelanjaan keperluan asas serta perbelanjaan berulang daripada pendapatan bersih.


Melalui jumlah baki pendapatan anda, ambil kira-kira 10% untuk dijadikan ‘benih’ dana kecemasan. Pastikan anda semai ‘benih’ 10% ini setiap bulan untuk memastikan dana kecemasan anda tumbuh dengan mekar.


3. Rancang & Kawal Perbelanjaan


Bagi memastikan perancangan kewangan anda dalam keadaan lancar, anda perlu berfikiran seperti ahli perniagaan. Semua perbelanjaan harus diambil kira. Contohnya, anda boleh membawa bekal makanan ke tempat kerja, elak membeli snek, berhenti merokok dan sebagainya.


Anda juga boleh jimat wang apabila anda memilih untuk mengurangkan perbelanjaan kehendak anda seperti batalkan keahlian Netflix anda tetapi tonton melalui landasan yang percuma. Pastikan anda tidak terlebih belanja dengan membeli barangan bukan keperluan keutamaan atau berbelanja mengikut nafsu. Sekiranya anda tidak tahu cara untuk bajet, anda boleh aplikasikan peraturan belanjawan 50/30/20 untuk bantu anda rancang kewangan dengan lebih bijak.


4. Jangan Berhenti Separuh Jalan


Antara cabaran sewaktu menjayakan tabung dana kecemasan adalah keazaman yang berterusan. Misi menyimpan untuk dana kecemasan selalunya akan terhenti selepas 6 atau 8 bulan. Perkara sebegini harus dielakkan. Sebaliknya, anda harus kekalkan momentum menyimpan. Jangan sesekali menggunakan dana kecemasan untuk perkara yang tidak penting.


5. Jana Sumber Pendapatan Alternatif


Bagi individu yang mempunyai pendapatan di bawah paras sederhana, adalah lebih baik jika anda mencari sumber pendapatan alternatif. Ini akan sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan beban pendapatan serta boleh menambahkan wang simpanan, terutamanya untuk kecemasan.


Antara contoh sumber pendapatan alternatif yang anda boleh lakukan secara atas talian adalah penulis blog, pereka grafik, pereka laman web, dan sebagainya. Ataupun, anda boleh dapatkan kerja separuh masa di restoran atau sebarang premis perniagaan.


6. Elak Pinjam Wang untuk Perkara Tidak Penting


‘Ukur baju di badan sendiri’, jika tidak mampu, janganlah beli. Kebanyakkan daripada kita meminjam wang untuk perkara yang tidak penting seperti membeli telefon bimbit ataupun untuk melancong ke luar negara. Ini menyebabkan sumber pendapatan bulanan menjadi kurang kerana terbeban oleh hutang. Melainkan anda mohon pinjaman untuk membuat penyatuan hutang kerana ini boleh bantu mengurangkan kadar faedah bulanan pinjaman anda.


Jika anda benar-benar perlu meminjam, pastikan anda meminjam dengan wajar. Jangan pinjam jumlah yang anda tidak mampu bayar, ini akan memburukkan rekod CCRIS anda serta boleh menyebabkan tekanan hidup. Sebab itulah penting ada tabung dana kecemasan. Fungsi adanya dana kecemasan ini adalah untuk mengelakkan anda daripada perlu meminjam ketika dalam kesusahan.


Jaring Keselamatan


Langit tidak selalunya cerah. Ada hari anda senang, ada hari anda susah. Ada yang susah sampai perlu jual harta benda untuk menyelesaikan masalah. Janganlah jadi begitu. Ubah sekarang. Wujudkan tabung dana keselamatan anda sendiri kerana kita tidak tahu apa akan terjadi kemudian hari. Jangan sudah jatuh, baru mengeluh.

26 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page