Ramai menghadapi kesukaran dengan kesan-selepas pandemik COVID-19. Semasa pandemik berlaku, kerajaan telah mengumumkan moratorium automatik 6 bulan atau dikenali sebagai penangguhan ke atas pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan bermula dari 1 April ke 30 September 2020; di mana ini memberi kelegaan kewangan kepada individu dan perniagaan yang mempunyai masalah kewangan untuk mengharungi tempoh mencabar ini.
Lanjutan moratorium kepada mereka yang terkesan
Moratorium akan berakhir pada 30 September 2020. Bagi mereka yang mempunyai pinjaman peribadi, kereta, atau rumah, anda perlu meneruskan pembayaran bermula dari 1 Oktober 2020.
Sementara majoriti rakyat Malaysia telah kembali bekerja dan banyak perniagaan telah mula beroperasi, lebih daripada 860,000 rakyat Malaysia masih lagi menganggur. Sesetengah daripada mereka telah kehilangan punca pendapatan utama; tidak kira dari segi pekerjaan atau perniagaan. Oleh itu, bagi menangani isu tersebut pada 29 Julai 2020, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa industri perbankan akan menyediakan lanjutan moratorium & bantuan bersasar kepada:
Individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan yang masih mencari akan ditawarkan lanjutan moratorium 3 bulan (iaitu tiada pembayaran balik pinjaman sehingga 31 Disember 2020); atau
Individu yang masih bekerja tetapi menghadapi potongan gaji akibat COVID-19 akan ditawarkan pengurangan ke atas pembayaran balik pinjaman mengikut kadar potongan gaji mereka untuk sekurang-kurang 6 bulan.
Individu yang terlibat boleh mula untuk membuat permohonan dengan bank masing-masing mulai 7 Ogos 2020. Kelonggaran yang diberikan oleh bank tidak akan memberi kesan kepada laporan CCRIS peminjam.
6 tips untuk bantu menguruskan kewangan anda pasca moratorium
Jika pendapatan atau pekerjaan anda terkesan semasa tempoh COVID-19, lanjutan moratorium bersasar sepatutnya memberi kelegaan dari segi kewangan kepada anda. Tetapi, jangan terlalu selesa kerana tempoh moratorium akan tamat nanti. Anda perlu menggunakan masa dengan sebaiknya untuk anda bersedia sepenuhnya dan mampu membiayai komitmen bulanan selepas pinjaman moratorium telah berakhir. Berikut adalah 6 tips yang anda boleh gunakan untuk bantu menguruskan kewangan anda demi masa depan yang lebih baik.
1. Nilai kedudukan kewangan anda dengan jujur
Langkah pertama adalah dengan mengakses kedudukan kewangan semasa anda dari segi simpanan yang sedia ada, pendapatan bulanan semasa yang anda boleh perolehi, adakah pendapatan semasa anda terjamin dan apa-apa komitmen atau hutang yang anda perlu bayar dalam bulan seterusnya. Berlaku jujur tentangnya. Senaraikan perbelanjaan bulanan anda dan komitmen hutang. Ini dapat membantu anda untuk mengenal pasti “jurang” atau “kekurangan” antara pendapatan yang dijangka atau simpanan dengan perbelanjaan yang perlu dibayar dalam masa 6 ke 12 bulan akan datang.
Walaupun anda tidak perlu membayar hutang anda ketika tempoh moratorium, ini tidak bermakna anda perlu berbelanja ke atas barang-barang yang tidak perlu. Anda sepatutnya berjimat untuk membantu mengurangkan “jurang” untuk menjadikan kehidupan anda lebih senang.
2. Kurangkan perbelanjaan ke atas barangan yang tidak perlu
Semak perbelanjaan anda dan kenal pasti cara-cara untuk mengurangkannya. Sebagai contoh, salah satu perbelanjaan utama adalah sewa rumah. Bincang dengan tuan rumah tentang keadaan semasa anda dan cuba untuk dapatkan diskaun ke atas sewa bulanan anda. Untuk perbelanjaan seperti makanan dan pengangkutan, anda boleh membawa bekal dari rumah sebagai ganti makan di luar, menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja atau berkongsi kereta, melakukan aktiviti luar dan elak daripada menyertai keahlian gimnasium dan kurangkan video dan penstriman muzik untuk beberapa ketika sehingga keadaan kewangan anda kembali stabil.
Perubahan-perubahan kecil sebegini dapat membantu anda untuk berjimat dalam perbelanjaan. Bagi membantu untuk menjejaki dan merancang perbelanjaan anda dengan lebih baik, cuba menggunakan aplikasi belanjawan kewangan percuma.
3. Jana pendapatan sampingan sambil bekerja
Sementara pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan tetap hanya mencukupi untuk membiayai perbelanjaan harian sahaja, dan dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu ini kadang kala anda tidak dapat meramalkan bila gaji anda akan dikurangkan atau lebih teruk lagi anda mungkin kehilangan satu-satunya pekerjaan yang anda ada. Oleh itu adalah lebih selamat untuk anda mempunyai pendapatan sampingan sebagai “back-up”. Cuba fikirkan tentang jenis pendapatan sampingan yang anda boleh perolehi sebagai tambahan kepada sumber pendapatan utama anda.
Kerja sampingan boleh dilakukan dengan mudah dan selesa dari rumah, ataupun selepas waktu bekerja anda. Pada dasarnya ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja anda berada. Gunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang anda ada. Jadikan ia sesuatu yang orang lain akan sanggup membayar untuknya. Terdapat pelbagai pilihan di luar sana, seperti menjadi pekerja bebas, pemandu Grab, pembuat roti, dan sebagainya. Lakukan sesuatu yang kreatif dan mula untuk mendapatkan peluang! Semak artikel ini untuk mendapatkan lebih banyak lagi cara-cara kreatif untuk menjana pendapatan lebihan.
4. Tingkatkan diri anda dengan kepakaran baru dan memperbaiki ‘resume’ anda
Ia dapat difahami dan pada masa sama membimbangkan apabila anda kehilangan pekerjaan atau dikenakan potongan gaji di waktu yang mencabar ini. Gunakan masa lebih yang anda ada untuk untuk mencari pekerjaan baru dan tingkatkan diri anda dengan kemahiran baru yang mempunyai permintaan tinggi pada waktu seperti sekarang ini – sama ada pemasaran digital, pembangunan web, atau reka bentuk grafik.
Terdapat banyak tutorial atas talian percuma dan kursus di YouTube dan Coursera yang menyediakan kemahiran seperti ini. Ini dapat membantu untuk menambah baik CV anda, agar ia menonjol daripada saingan anda dan kemungkinan memberi peluang kepada anda untuk mendapat kerja baru. Sebagai alternatif, kepakaran baru ini juga dapat memberi peluang untuk anda meraih pendapatan sampingan selain daripada pekerjaan tetap anda.
5. Bincang dengan pengurus kewangan untuk penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman anda
Setelah anda menyemak semula kedudukan kewangan anda, mengambil langkah (1) hingga (4) seperti di atas, dan masih ada “kekurangan” untuk menyelesaikan komitmen pinjaman anda, jangan panik. Buat temu janji untuk berbincang dengan pihak bank anda tentang keadaan semasa anda. Jangan menunggu sehingga moratorium berakhir. Kebanyakan bank terbuka untuk membantu peminjam untuk penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka kerana akhirnya ia juga adalah objektif bank untuk memastikan pembayaran balik sepenuhnya di buat.
Antara pilihan yang terdapat untuk membantu peminjam termasuk:
Memanjangkan tempoh pinjaman untuk mengurangkan komitmen bayaran balik bulanan
Hanya perlu menyelesaikan kadar faedah pinjaman untuk tempoh tertentu sebelum pembayaran bulanan sebenar bermula, atau
Membolehkan anda untuk tidak membayar balik pinjaman dalam jangka masa pendek
Jika anda telah melakukan penilaian ke atas kewangan anda seperti yang dibincangkan di atas dan boleh menunjukkan pendapatan berbanding jurang komitmen kepada pengurus bank anda, ia akan membantu mereka untuk lebih memahami situasi anda, dan dengan itu dapat meluluskan skim pembayaran mengikut keperluan anda.
Sebagai alternatif, anda juga boleh memilih untuk membuat penyatuan hutang di mana anda menggabungkan semua pinjaman yang belum dijelaskan ke dalam satu pinjaman baru yang mempunyai kadar faedah yang lebih rendah. Ini boleh menjadi satu langkah bijak di mana BNM telah mengurangkan kadar OPR sebanyak 1.25% sejak awal tahun dan ini telah menyebabkan kos pembiayaan yang lebih rendah. Dengan cara ini anda juga akan dapat mengurangkan ansuran bulanan anda dan menjimatkan wang dalam jangka masa panjang.
6. Berhubung dengan AKPK
Setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Katakan, walaupun bank menolak rayuan untuk menyambung moratorium, jangan sesekali pergi ke ‘ah long’ hanya kerana ia satu cara yang lebih mudah. Anda akan menyesal kerana ia bukanlah laluan yang anda ingin ambil.
Tidak ada yang salah atau memalukan untuk berhubung dengan AKPK. Mereka menawarkan perkhidmatan rundingan percuma. Malahan AKPK mempunyai program yang dipanggil ‘Debt Management Programme (DMP)’ di mana kaunselor membantu individu untuk menyediakan pelan pembayaran balik hutang. Ini dapat membantu individu untuk mengurus masalah kewangan mereka dengan lebih baik.
Sesuatu perubahan sememang sukar pada mulanya
Keadaan sebegini belum pernah berlaku dan telah menukarkan cara hidup kita, sekurang-kurangnya untuk masa sekarang. Jangan berputus asa jika anda kehilangan pekerjaan/pendapatan atau terpaksa menerima gaji lebih rendah. Masih terdapat cara anda boleh menguruskan situasi, walaupun perubahan dalam kehidupan anda perlu diambil. Keadaan sukar ini menjadikan seseorang itu kuat kerana apa yang tidak melemahkan anda sebenarnya akan menjadikan anda lebih kuat.
Mula membuat perubahan terhadap bagaimana anda menguruskan kewangan. Lebih cepat anda mengetahui cara untuk membayar balik komitmen anda, lebih baik.
Comments