(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 11 Disember 2017 dan dikemas kini pada 20 November 2019.)
Kami telah menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan kami tentang bagaimana mereka boleh membersihkan rekod negatif CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat atau Central Credit Reference Information System) mereka. Ramai orang menyebut rekod negatif CCRIS sebagai ‘blacklist’ atau senarai hitam kerana rekod negatif ini boleh menghalang seseorang itu daripada memperoleh kelulusan pinjaman bank yang dimohon. Secara asasnya, rekod negatif CCRIS termasuklah memiliki:
Pinjaman sedia ada yang tertunggak selama 3 bulan dan keatas
Akaun di bawah pemerhatian khas atau ‘Special Attention Account’ dalam CCRIS (bagi hutang yang telah dihapuskan oleh bank)
Tindakan undang-undang yang diambil oleh bank ke atas individu akibat pinjaman yang tidak berbayar
Dalam artikel yang lepas, kami ada berkongsi tentang apakah CCRIS dan CTOS. Hari ini, kami ingin berkongsi tentang 7 panduan yang boleh anda gunakan untuk membantu membersihkan rekod negatif CCRIS.
1. Gabungkan Hutang anda dan Lakukan Pembayaran Ansuran Bulanan secara Automatik
Pertama sekali, semak dan buat penyatuan hutang. Ini membuatkan anda lebih mudah untuk memantau bayaran balik pinjaman anda. Lewat membayar ansuran bulanan pinjaman anda secara berterusan akan menjejaskan rekod CCRIS anda secara negatif. Jika anda seorang pelupa, tetapkan pembayaran secara autodebit atau arahan tetap (standing instruction) dan jadualkan tarikh bayaran balik sejurus selepas tarikh gaji bulanan anda. Dengan cara ini, anda tidak akan terlepas tarikh bayaran yang telah dijadualkan.
2. Utamakan Jumlah Pinjaman yang Tertunggak. Kurangkan Perbelanjaan yang Tidak Perlu
Gunakan pendapatan anda untuk menyelesaikan sebarang pinjaman tertunggak yang anda miliki dan bukannya membelanjakan untuk makan di luar, membeli pakaian atau alatan baru. Walaupun anda mempunyai jumlah tertunggak yang agak besar, mengamalkan sikap berjimat-cermat untuk satu tempoh akan membolehkan anda menyelesaikan bayaran tertunggak pada kesudahannya.
Jika anda menerima apa-apa bonus atau insentif khas daripada majikan anda, gunakannya untuk membayar jumlah tertunggak atau mengurangkan komitmen hutang anda sebelum berbelanja untuk perkara-perkara lain.
3. Peroleh Pendapatan Tambahan untuk Membayar Tunggakan Pinjaman
Dengan teknologi dan internet, anda boleh memperoleh pendapatan tambahan sambil mempunyai pekerjaan tetap dengan mudah. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan kemahiran anda sebagai jurugambar, penulis, penyimpan kira-kira atau pereka bentuk untuk memperoleh pendapatan tambahan sebagai pekerja bebas sambilan di laman web seperti Upwork atau Fiverr . Terdapat banyak tugasan berkontrak yang ditawarkan dan dibayar dalam dolar AS.
Sekiranya, pekerjaan tambahan di hadapan komputer tidak menarik bagi anda, anda boleh manfaatkan kenderaan anda sepenuhnya dan jadi pemandu Grab pada hujung minggu atau selepas waktu kerja.
Di samping itu, jika anda mempunyai barang yang anda tidak mahu lagi tetapi masih boleh digunakan di rumah anda, contohnya barangan bayi atau kanak-kanak, pakaian, buku malahan perabot. Anda hanya perlu tangkap gambar barang tersebut dan iklankan di Carousell, Lelong atau Mudah. Ini juga dapat membantu anda memperoleh tunai tambahan selain mengosongkan ruang di rumah anda.
4. Buat Pembiayaan Semula Hutang Kad Kredit dengan Pinjaman Peribadi Berfaedah Rendah
Hutang kad kredit merupakan jenis hutang yang sukar dibayar secara teratur oleh ramai rakyat Malaysia. Jika anda mempunyai hutang kad kredit, anda biasanya akan membayar faedah sebanyak 15-18% setiap tahun. Bagi hutang kad kredit RM10,000 anda akan membayar sekitar RM500 setiap bulan.
Satu cara untuk membantu merendahkan komitmen hutang bulanan anda adalah dengan memilih pinjaman peribadi berfaedah rendah untuk menyelesaikan hutang kad kredit terlebih dahulu. Sebagai contoh, Pinjaman Peribadi Public Islamic Bank mempunyai kadar faedah serendah 4.90% sehingga tempoh 10 tahun (tepat pada waktu menulis). Ini akan mengurangkan komitmen bulanan anda sehingga RM250 setiap bulan. Ini juga membolehkan anda menyalurkan wang tambahan untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman.
5. Mohon Pinjaman Koperasi untuk Menyelesaikan Tunggakan Pinjaman
Jika anda mempunyai jumlah tunggakan pinjaman yang agak besar, anda boleh memohon Pinjaman Koperasi untuk tutup (overlap) atau menyelesaikan tunggakan hutang. Ini akan membolehkan anda menghapuskan hutang senarai hitam ini daripada rekod CCRIS anda. Dalam sesetengah kes, kadar faedah untuk Pinjaman Koperasi adalah lebih rendah daripada pinjaman peribadi yang tidak dijamin oleh bank komersial.
Pinjaman Koperasi mempunyai proses kelulusan yang lebih longgar berbanding bank komersial kerana bayaran balik dibuat menerusi potongan gaji. Pada waktu ini, Pinjaman Koperasi hanya disediakan kepada penjawat awam di Malaysia. Namun, anda harus ingat, komitmen untuk membayar balik tetap ada. Jadi, pastikan anda tidak terlepas bayaran balik anda.
6. Bincang Jadual Alternatif untuk Pembayaran Balik Pinjaman Anda
Jika gaji semasa tidak dapat menampung bayaran balik pinjaman anda secara bulanan, bincang dengan bank anda untuk menjadualkan semula bayaran balik tersebut. Tetapi, pastikan anda mampu mengikut jadual tersebut. Pihak bank mungkin tidak bersetuju, tetapi anda tidak rugi apa-apa untuk bertanya mengenainya, terutamanya jika anda boleh menunjukkan komitmen dan keupayaan anda untuk membuat pembayaran berdasarkan tempoh yang telah dijadualkan semula. Pihak bank juga mempunyai kepentingan untuk menerima jumlah bayaran penuh tanpa perlu mengambil tindakan undang-undang yang memakan masa.
7. Jadi Berdisiplin dari Segi Kewangan Sepanjang Masa
Hanya pinjam jumlah yang anda benar-benar perlukan dan mampu bayar. Bayar pinjaman tepat pada masanya secara konsisten. Selain itu, semak laporan CCRIS anda dari masa ke masa. Anda boleh semak rekod kredit individu secara percuma. Anda hanya perlu lawati portal eCCRIS, mengunakan kios CCRIS di BNMLINK Kuala Lumpur, Pejabat BNM dan cawangan-cawangan AKPK.
Ini membolehkan anda untuk menyemak mana-mana status pinjaman yang tidak dikemas kini dalam CCRIS. Jika tidak dikemaskini, hubungi bank yang berkenaan dan minta pihak bank tersebut untuk mengemas kini status pinjaman.
Mengekalkan rekod CCRIS yang baik adalah sebuah komitmen jangka panjang. Adalah penting bagi anda untuk berbuat demikian supaya anda boleh menikmati fleksibiliti kewangan dan mengejar impian anda untuk membeli rumah idaman keluarga, mengembangkan sayap perniagaan anda, melanjutkan pelajaran dan banyak lagi.
Comments