top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

7 Ciri Lelaki Yang Bijak Menguruskan Kewangan


Saban hari, dada-dada akhbar kita dipenuhi dengan kes keganasan rumah tangga yang berpunca daripada masalah kewangan. Tahun ini saja, terdapat banyak kejadian menyayat hati apabila suami tekad membunuh isteri kerana isu tersebut.


Jadi, tidak keterlaluan jika kami katakan yang setiap wanita hendaklah berwaspada dalam memilih pasangan hidup. Memanglah kita tidak tahu apa yang akan jadi esok. Tetapi sekurang-kurangnya, pilihlah lelaki yang bijak menguruskan kewangannya.


Tiada idea bagaimana untuk bermula? Ikuti perkongsian kami tentang 7 ciri lelaki yang bijak menguruskan kewangan yang patut anda cari.


1. Mula menyimpan seawal mungkin


Pertama, lelaki yang bijak urus kewangan mempunyai kesedaran untuk menyimpan dari muda sebagai persediaan waktu kecemasan dan persaraan. Tidak seperti kebanyakan orang, mereka tidak akan menunggu sehingga bergaji besar untuk mula menyimpan.


Ini kerana mereka tahu yang secara amnya, semakin tinggi pendapatan, semakin banyak komitmen bulanan. Jadi, sampai bila pun tidak akan ada ‘wang lebih’ untuk disimpan.

Selain itu, mereka juga tidak hanya bergantung kepada wang pencen atau simpanan KWSP kerana mereka faham wang pencen atau simpanan KWSP memang tidak mencukupi untuk menampung kehidupan sepanjang tempoh persaraan.

 

2. Menyimpan sebelum berbelanja


Seperti yang dikatakan oleh Warren Buffet, “Jangan menyimpan apa yang tinggal setelah berbelanja, tetapi belanjalah apa yang tinggal setelah menyimpan.” Lelaki yang bijak menguruskan kewangan akan sentiasa berpegang kepada amalan ini.


Mereka akan mengasingkan sejumlah simpanan terlebih dahulu sebelum membeli apa-apa barangan lain. Namun, ianya tidaklah sampai menjejaskan kelangsungan hidup dan membebankan diri sendiri pula.


Sudah tentu mereka akan menetapkan belanjawan bulanan bergantung kepada situasi masing-masing. Paling mudah, mereka akan merujuk kepada Peraturan Belanjawan 50/30/20 di mana 50% diasingkan kepada keperluan asas, 30% untuk kehendak, kemewahan atau keinginan dan 20% untuk simpanan atau bayaran balik.


3. Tahu bezakan keperluan dan kehendak


Ketiga, lelaki yang celik kewangan tahu menetapkan prioriti dalam berbelanja dan mampu kawal kehendaknya. Mereka tahu membezakan antara keperluan dan kehendak, serta tidak terikut-ikut trend semasa untuk memiliki barangan mewah, apatah lagi jika sekadar untuk ditayangkan di media sosial. 


Mereka membeli bukannya untuk menunjuk tetapi untuk keperluan masing-masing. Sebagai contoh adalah seperti pembelian kereta. Mereka akan utamakan ciri dan spesifikasi kereta yang betul-betul diperlukan dan sesuaikan dengan bajet yang telah peruntukkan sebelum membuat pembelian kereta.


Contohnya, lelaki yang masih bujang atau mempunyai keluarga yang kecil, memadailah jika membeli kereta sedan yang lebih murah seperti Perodua Axia atau Myvi. Janji ruang tempat duduk belakang boleh memuatkan ‘car seat’ anak. Jadi, tujuan mereka beli kereta adalah untuk keperluan tetapi bukannya kehendak.


4. Tidak berbelanja melebihi kemampuan


Ciri keempat yang dipupuk oleh lelaki yang bijak urus kewangan adalah berbelanja mengikut kemampuan diri. Ukur baju di badan sendiri. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup orang lain yang kelihatan lebih mewah. Tetapi mereka jenis yang bersederhana dan tidak suka menunjuk.


Mereka akan memberikan fokus kepada pelan bajet perbelanjaan. Mereka menjadikan perangkaan bajet bulanan sebagai satu kebiasaan dan mengambil tahu setiap aliran wang keluar masuk.


Ini kerana perbelanjaan yang dianggap kecil boleh saja menyebabkan mereka tersasar daripada bajet yang ditetapkan. Apa pun, mereka sama sekali tidak akan membina hutang untuk bermewah terutamanya hutang buruk seperti kad kredit dan perbelanjaan yang tidak praktikal.


5. Melabur dengan bijak


Pengurusan kewangan tidak hanya tertumpu kepada amalan menyimpan. Warren Buffet turut menyarankan agar tidak hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan dan membuat pelaburan.


Sehubungan dengan itu, lelaki yang bijak menguruskan kewangan akan turut memperuntukkan sejumlah simpanan untuk pelaburan. Sekiranya ia dibuat dengan teliti, mereka berpotensi untuk mendapatkan pulangan yang berlipat ganda. 


Dengan cara ini, mereka pasti akan mencapai matlamat kewangan seperti memiliki hartanahmembeli keretamembiayai pendidikan anak-anak dan juga bercuti ke luar negara dengan lebih cepat.


Mereka juga tidak terburu-buru apabila membuat pelaburan semata untuk dapat keuntungan dengan cepat. Tetapi mereka pandai untuk membahagikan risiko pelaburan mereka.


6. Memaksimumkan pulangan cukai pendapatan


Ciri keenam berkait rapat dengan pelepasan cukai pendapatan. Secara amnya, ia bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan mereka yang mempunyai tanggungan iaitu ibu bapa yang sudah uzur dan anak-anak yang masih bersekolah.


Walau bagaimanapun, ramai tidak tahu bahawa mereka boleh mendapatkan pulangan cukai yang maksimum dengan merancang pelaburan. Hanya lelaki yang bijak menguruskan kewangan sahaja tidak akan terlepas pandang perkara ini. 


Antara pelaburan yang diberikan pelepasan cukai terhad adalah pemeriksaan kesihatan penuh, perbelanjaan untuk gaya hidup, premium insurans nyawa, caruman KWSP, Skim Persaraan Swasta (PRS) serta insurans pendidikan dan perubatan.


Bagi yang beragama Islam, rebat cukai boleh dimohon untuk mengeluarkan zakat. Berlainan dengan pelepasan cukai yang mempunyai had maksimum, rebat cukai ini akan diberikan sebanyak mana anda berzakat. 


7. Merancang pembahagian harta ketika hidup



Ciri terakhir yang tidak boleh diketepikan adalah membuat persediaan ‘exit strategy’. Ini kerana setiap individu yang hidup pasti akan merasai mati. Jadi, lelaki celik kewangan ini akan memastikan semua harta yang dikumpul mempunyai penama.


Perancangan pembahagian harta boleh juga dilakukan melalui alternatif lain seperti wasiat, hibah, wakaf, pengisytiharan harta sepencarian dan pelantikan pemegang amanah. Persediaan ini termasuklah pengurusan hutang yang masih berbaki.


Pokoknya, mereka akan menguruskan segalanya ketika masih hidup supaya tidak menyusahkan waris-waris kelak, terutamanya yang mempunyai anak angkat, anak luar nikah, anak susuan, lebih daripada satu isteri dan tiada anak lelaki.


Oleh itu, mereka memberikan keutamaan kepada perkara ini. Lelaki yang celik kewangan tidak akan membiarkan orang yang mereka sayangi jatuh miskin dan menderita apabila harta mereka dibekukan akibat kelalaian sendiri.


Celik kewangan bantu bina masa depan


Jangan risau jika bakal suami atau bakal kesayangan anda baru saja bermula dan masih belum memiliki kesemua 7 ciri lelaki yang bijak menguruskan kewangan ini. Yang pentingnya, mereka mempunyai kesedaran untuk merancang masa depan dengan lebih baik. 


Namun, anda perlu faham bahawa setiap individu mempunyai keutamaan yang berbeza. Jadi, berbincanglah dengan mereka untuk membuat perancangan yang betul dan bersesuaian dengan situasi anda. Tidak mengapa jika bermula dengan perkara yang kecil dahulu. 


Ianya lebih baik daripada mereka yang awal-awal lagi meletakkan sasaran yang terlalu tinggi, tetapi akhirnya ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja!

12 views0 comments

Recent Posts

See All

Kommentare


bottom of page