Kita semua pernah dengar cerita yang menakutkan tentang orang yang mengambil pinjaman daripada syarikat yang mereka mula-mula agak sah, tetapi sebenarnya merupakan Ah Long, Ceti, atau kaki ugut. Cara-cara syarikat yang tidak berlesen ini memang boleh dikatakan kejam, dengan mengenakan caj-caj tinggi, kadar bunga yang berkali ganda, dan kaedah mengutip hutang yang kurang berperikemanusiaan.
Jika anda sedang cari syarikat peminjam sah dan boleh dipercayai, bagaimanakah anda dapat selidik supaya anda boleh yakin bahawa syarikat itu sah dan mematuhi undang-undang? Di bawah adalah 3 soalan yang anda boleh tanya untuk dapatkan jawapan anda.
Adakah syarikat itu memegang lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan?
Syarikat peminjam yang berlesen merupakan syarikat yang memiliki permit untuk memberi pinjaman wang peribadi secara sah dan tertakluk di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400). Status berlesen ini amat penting bila memilih syarikat peminjam kerana syarikat yang berlesen terikat kepada undang-undang yang dicipta untuk melindungi hak-hak pemohon. Untuk semak status lesen sesuatu syarikat peminjam, masukkan nombor syarikat mereka (SSM) ke dalam laman web KPKT ini.
Tawaran pinjaman peribadi yang diberi oleh syarikat peminjam yang berlesen biasanya mengenakan kadar bunga yang lebih rendah berbanding tawaran daripada Ah Long atau Ceti. Kerana syarikat-syarikat berlesen terpaksa mematuhi undang-undang untuk mengekalkan status berlesen mereka, kepentingan anda sebagai pengguna juga lebih terjamin.
Adakah syarikat itu mempunyai alamat pejabat dengan papan tanda yang dipamerkan dengan jelas?
Semasa semak status lesen syarikat peminjam, maklumat syarikat yang mempunyai lesen yang sah akan timbul di laman web termasuk alamat rasmi syarikat tersebut. Jika anda ada masa, anda boleh melawati alamat tersebut untuk memastikan pejabat syarikat itu memang berada di alamat yang diberi.
Pejabat syarikat itu juga sepatutnya lengkap dengan papan tanda yang dipamerkan dengan jelas. Syarikat yang mempunyai pejabat dan papan tanda yang rasmi lebih mungkin merupakan syarikat yang sah berbanding dengan peminjam yang hanya bertemu dengan pengguna di tempat awam atau melalui telefon sahaja.
Adakah pemohon lain berkongsi pengalaman positif atau negatif berkaitan dengan syarikat tersebut?
Dengan teknologi hari ini, memang senang untuk cari dan berkongsi informasi melalui Internet. Terutamanya sekali, pengguna-pengguna boleh berkongsi pengalaman mereka dengan sesuatu produk atau servis. Kalau sesuatu syarikat itu tidak mengendalikan khidmat pelanggan mereka dengan betul, akan pasti muncul dalam Internet ramai komen atau review yang mendedahkan praktis-praktis syarikat tersebut yang kurang memuaskan.
Oleh itu, sebelum memohon pinjaman anda, bacalah dulu review dan komen pengguna lain berkaitan dengan sesuatu syarikat. Kalau pengguna-pengguna amat berpuas hati dengan syarikat itu, kemungkinan lebih besar bahawa syarikat itu merupakan syarikat yang sah dan boleh dipercayai!
Comentários