Aspek kewangan peribadi yang paling kurang dititikberatkan adalah perhutangan. Skop kewangan peribadi adalah melebihi pengurusan kewangan. Tumpuan banyak diberikan kepada konsep penjimatan, pendapatan, pelaburan, dan perbelanjaan. Daripada empat konsep tersebut, konsep perbelanjaan yang paling banyak diguna pakai. Aktiviti ini juga berkait rapat dengan hutang. Oleh itu, sebagai pengguna bijak, kita perlu tahu membezakan antara hutang baik dan hutang buruk.
Hubung kait hutang dan perbelanjaan
Hutang dan perbelanjaan mempunyai hubung kait yang jelas. Membuat pinjaman adalah perkara lazim di Malaysia dan di serata dunia. Kebanyakkan peminjam membuat pinjaman tanpa ada sebab yang jelas. Oleh itu, adalah perlu untuk kita kenal pasti pencetus keinginan berbelanja untuk mengawal perbelanjaan. Perkara ini perlu dilakukan bagi mengelakkan perbelanjaan bukan keperluan yang boleh meningkatkan hutang.
Perubahan tabiat berbelanja
Strategi pemasaran omnichannel yang digunakan oleh hampir kesemua peruncit telah mengubah tabiat pelanggan dengan drastik. Dalam pasaran hari ini, pelanggan mempunyai kelebihan untuk berbelanja dengan lebih mudah. Kini, pelanggan boleh memilih untuk berbelanja di kedai, secara atas talian, ataupun melalui telefon.
Kemudahan untuk berbelanja melalui pelbagai saluran telah menggalakkan fenomena yang dipanggil ‘pengalaman yang perlu dikongsi’ dan sedikit sebanyak telah mengetepikan kualiti produk yang dipasarkan. Fenomena ini memberikan kesan negatif kerana pelanggan akan berbelanja dengan leka dan membelanjakan wang yang tidak sepatutnya. Maka dengan itu, pelanggan juga akan membuat pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit bagi memenuhi kehendak mereka untuk mendapatkan pengalaman yang perlu dikongsi.
Peningkatan pendapatan boleh guna
Kita semua sukakan peningkatan pendapatan boleh guna. Tidak kira berapa banyak gaji kita sekalipun, jika dapat lebih, pasti kita akan gembira kerana boleh berbelanja untuk bersantai dan bersuka ria. Keutamaan akan diberikan kepada perkara bukan keperluan; itu adalah sifat semulajadi manusia. Kajian daripada Business Monitor International menjangkakan perkara tersebut akan berlaku di Malaysia.
Perkara yang membimbangkan adalah peningkatan jumlah pinjaman. Apabila pinjaman boleh dilakukan dengan mudah dan banyak, maka kehendak untuk meminjam adalah lebih tinggi.
Perbezaan antara hutang baik dan hutang buruk
Hutang, seperti manusia, ada yang baik dan buruk. Semuanya bergantung kepada cara berbelanja dan tujuan pinjaman tersebut dilakukan. Sebaik-baiknya, sebelum melakukan pinjaman, anda perlu lakukan penilaian teliti dan membuat keputusan dengan berhati-hati agar tidak menyesal pada masa kemudian. Pastikan anda mempunyai kemampuan untuk membayar pinjaman anda. Jangan sesekali lakukan pinjaman jika anda tidak mampu bayar semula.
Hutang Baik
Secara amnya, hutang yang baik adalah hutang yang akan membuahkan hasil dalam jangka masa yang panjang. Contohnya hutang yang baik adalah pinjaman perumahan, pinjaman peniagaan, dan pinjaman pelajaran.
Kesemua pinjaman ini mempunyai tujuan yang berpanjangan. Pinjaman perumahan membolehkan anda memiliki rumah sendiri manakala pinjaman perniagaan membuka peluang untuk anda mengembangkan perniagaan anda dan menjana pendapatan yang lebih tinggi. Dengan adanya pinjaman pendidikan, anda boleh memperoleh pelbagai faedah kerana ia merupakan pelaburan masa depan dengan ilmu yang diperolehi. Hutang yang baik adalah hutang yang membawa pulangan yang tinggi. Oleh itu, motivasi untuk membuat bayaran balik wujud setiap masa.
Memiliki kereta sendiri boleh jadi buruk dan baik. Membuat pinjaman untuk memiliki kereta adalah wajar kerana ia mempunyai tujuan yang baik yakni memudahkan pergerakan harian. Namun begitu, membuat pinjaman untuk memiliki kenderaan mewah adalah pinjaman yang buruk kerana kemegahan tersebut akan membuatkan kewangan anda tersepit.
Satu lagi contoh pinjaman yang baik adalah pinjaman peribadi dengan kadar faedah rendah. Pinjaman sebegini boleh memenuhi tujuan yang telah dinyatakan sebelum ini. Selagi pinjaman peribadi ini digunakan untuk tujuan yang sama, pastikan anda mendapat pembekal pinjaman dengan kadar yang paling rendah. Perlu diingatkan bahawa anda tidak seharusnya menggunakan kad kredit anda sehingga mencapai tahap maksima untuk tujuan di atas kerana ia menjurus kepada kadar bayaran yang sangat tinggi.
Hutang Buruk
Perkara yang menyukarkan hidup adalah baki pinjaman yang menggunung disebabkan perbelanjaan tidak terkawal. Hutang yang buruk adalah hutang yang tidak mendatangkan hasil dan membuat hidup anda merana.
Peningkatan penggunaan barangan elektronik, telefon pintar, gadjet, pakaian berjenama, kosmetik, dan pelbagai barangan lain menyumbang kepada perbelanjaan tidak praktikal. Ditambah pula dengan perkara seperti spa, klinik kecantikan, pembedahan kosmetik, dan barangan kecantikan yang lain adalah punca kebanyakan individu melakukan pinjaman.
Tidak salah untuk bergaya, tapi pastikan anda tidak papa. Sebelum mengikut trend semasa, pastikan anda membuat keputusan yang bijak dengan membezakan kehendak dan keperluan. Ini akan menyelamatkan anda daripada membuat perbelanjaan melulu yang akan menyebabkan anda terjerumus dalam kancah hutang yang tinggi. Apabila anda berada di posisi tidak mampu membayar hutan anda, ia bererti anda mempunyai hutang yang buruk.
Jadilah peminjam yang bijaksana
Pengurusan hutang terikat dengan rutin di mana setiap kali anda meminjam, aliran tunai peribadi anda akan meningkat. Walau bagaimanapun, anda perlu kawal hutang anda tanpa mengira jumlah pinjaman yang telah dilakukan. Pastikan pembayaran anda adalah cepat dan tepat. Disiplin dan ketekunan adalah wajib untuk mengelakkan pembentukan hutang baru.
Kesimpulannya, perkara paling penting yang perlu anda lakukan sebelum melakukan pinjaman adalah mengenal-pasti hutang baik dan hutang buruk. Adakah pinjaman ini akan melebur atau melabur wang anda? Peminjam yang bijak akan menggunakan pinjaman peribadi dengan sebaik mungkin agar ia mendatangkan keuntungan. Rancang pinjaman anda dengan baik dengan menilai kemampuan anda untuk membayar pinjaman tersebut untuk mengelakkan kesempitan wang di masa hadapan. Anda tidak mahu tersebit dengan hutang yang menggunung.
Comments