Pernahkah anda fikir apa yang perlu dilakukan untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia?
Pertama, jangan panik! Ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan bukanlah Perintah Berkurung. Anda harus ketahui perbezaannya terlebih dahulu.
Sebagai persediaan, rancang pembelian anda dan pastikan barang keperluaan asas adalah mencukupi. Antaranya adalah makanan yang tidak mudah rosak atau makanan kering seperti beras, bijirin dan roti. Kepelbagaian makanan seperti mee segera atau pasta juga boleh dijadikan pilihan. Bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk selesema biasa, demam, dan batuk serta vitamin adalah disyorkan.
Bekalan pembersihan dan kebersihan yang diperlukan termasuk sabun untuk cuci tangan, mandian dan pembersihan cucian rumah untuk menjaga kebersihan. Adalah penting untuk anda mencuci tangan menggunakan sabun selama 20 saat dan gunakan hand sanitizer selepas itu.
Secara amnya, perancangan adalah penting untuk menghentikan ‘Panic Buying’. Ini kerana bekalan makanan asas mencukupi dan anda masih boleh keluar untuk membeli barangan keperluan. Bahkan membeli secara berlebihan adalah merugikan kerana barangan ada tempoh hayat. Pembelian yang panik juga mewujudkan manipulasi harga dan bekalan dalam pasaran.
Setelah anda mempunyai keperluan asas yang perlu disediakan untuk dua minggu ini, marilah kami kongsikan idea dan tips untuk perancangan aktiviti di rumah.
1. Belajar Kemahiran Baru
Sumber terbaik yang tersedia untuk anda dalam tempoh ini adalah Internet. Gunakan sepenuhnya. Layari laman sesawang untuk beberapa kemahiran yang anda boleh menguasai dengan mudah dalam tempoh yang singkat ini. Mulakan mencari di YouTube dan Pinterest untuk dapatkan lebih banyak inspirasi.
Atau anda juga boleh mempertajamkan kemahiran anda yang sedia ada. Sebagai contoh, kerana anda menghabiskan banyak masa di rumah, ini berguna untuk mempelajari bahasa baru!
2. Kekal Hidrasi & Aktif
Adalah penting untuk kita berpeluh. Bersenam dapat membantu membina dan menguatkan sistem imun kita. Terdapat banyak senaman yang boleh anda lihat dalam talian. Daripada latihan tikar ke latihan HIIT kardio, senarai ini tidak berkesudahan. Lompat tali adalah cara mudah untuk membakar kalori jika anda menggabungkannya dengan latihan intensiti tinggi seperti ‘pushups’, ‘plank’, ‘squats’, dan sebagainya.
3. Kekal Berhubung Dalam Talian
Siapa yang mengatakan bahawa anda tidak akan dapat mempunyai kehidupan normal dalam tempoh dua minggu ini? Kekal berhubung dengan keluarga dan rakan anda melalui aplikasi sosial. Jika anda mempunyai projek untuk dibincangkan bersama dengan rakan sekerja anda, gunakan Google Hangout.
Rindukan rakan-rakan anda? Rancang masa bersama melalui aktiviti dalam talian, sama ada permainan seperti di PlayStation atau hanya untuk bersua muka dan berbual di WhatsApp atau WeChat video. Tiada ada penghalang jarak di zaman teknologi kini.
4. Luangkan Masa Bersama Keluarga & Anak–Anak
Sama ada dengan pasangan atau anak-anak anda, ini adalah masa untuk anda mengeratkan ikatan dan meluangkan masa dengan mereka. Jangan terlalu tertekan dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini. Sebaliknya, cuba beberapa aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama. Kami faham bahawa ia akan memberi tekanan kepada sesetengah ibu bapa dengan anak-anak kecil tetapi jangan bimbang, berikut adalah beberapa sumber yang boleh anda gunakan. Platform pendidikan untuk kanak-kanak seperti BrainPop, Curiousity Stream, Tynker dan sebagainya menyediakan kandungan berguna.
Anda juga boleh menyediakan beberapa aktiviti lain yang boleh dilakukan di dalam rumah, sama ada senarai buku untuk dibaca atau langganan hiburan seperti Netflix.
Kami berharap idea dan tips ini boleh membantu anda dan keluarga anda berasa kurang tertekan tentang keadaan semasa. Kami ingin mengingatkan semua orang untuk bertenang, kekal selamat dan amalkan tabiat kebersihan yang baik serta mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan ini sepenuhnya.
Comments