“Ini takkan terjadi kepada saya” atau “Bagaimana seseorang boleh terjerat ke dalam perangkap seperti ini?” Sekarang ini sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa scam. Baru-baru ini, seorang guru telah kehilangan wang sebanyak RM1.13 juta kepada Macau Scam. Sindiket ini menyamar sebagai ‘pegawai polis’ di mana mereka mendakwa keretanya telah terlibat dalam satu kemalangan ngeri yang membabitkan pengubahan wang haram. Beliau juga telah mengambil pinjaman peribadi untuk bersedia menjadikan ia sebagai ‘wang ikat jamin’.
Sebenarnya sindiket ini terlatih dengan baik di mana mereka mampu meyakinkan anda untuk mempercayai semua yang mereka katakan. Tujuan kami menulis artikel ini adalah untuk membina kesedaran dan mendidik pengguna agar tiada yang menjadi mangsa scammer Malaysia seperti yang lain. Di sini terdapat beberapa scam yang anda biasa dengar berlaku di Malaysia.
1. Scam LHDN
Sebelum ini kita telah sedia maklum bahawa nombor telefon dari telefon bimbit yang mengatakan mereka daripada agensi Kerajaan, LHDN dan sebagainya dah sah-sahlah scammer kan?
LHDN juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak pernah membuat panggilan dari nombor telefon bimbit.
Tapi tahukah anda, taktik scammer yang terbaru kini menggunakan nombor telefon dari premis tetap untuk mengelirukan orang ramai.
Malah, mereka yang dah ‘terkena’ mendakwa scammer ini siap menggunakan operator dan mempunyai maklumat peribadi orang yang dihubunginya!
Apa yang kita kena lakukan untuk elak penipuan atau scam LHDN?
Jangan percaya dan matikan telefon jika ada individu mendakwa mereka sebagai pegawai bank, polis, LHDN dan meminta anda mendedahkan sebarang maklumat peribadi.Buat semakan nombor telefon tersebut melalui laman web CCID CCID (Commercial Crime Investigation Department) aka Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di pautan berikut: http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/Bertanya sendiri dengan pihak polis, LHDN atau mana-mana agensi melalui nombor telefon rasmi atau laman rasmi agensi berkenaan.Anda juga boleh menggunakan aplikasi seperti TrueCaller untuk menyaring nombor telefon scammer.
2. Scam KWSP
Duit KWSP ini macam yang anda tahu merupakan duit simpanan untuk hari tua nanti. Kebiasaannya, golongan yang dah pencen dan yang dah mengeluarkan simpanan mereka ini yang menjadi sasaran scammer. Selain itu, para scammer ini juga menyasarkan golongan yang nak mengeluarkan duit i-Sinar dan i-Citra. Berikut merupakan antara taktik penipuan KWSP yang digunakan oleh scammer:
Panggilan daripada “Ejen KWSP”
Sekiranya anda mendapat panggilan daripada seseorang yang claim dirinya sebagai seorang ejen KWSP, anda boleh letak terus telefon. KWSP tak pernah melantik mana-mana ejen untuk menguruskan simpanan anda. Jadi, anda jangan layan sekiranya scammer ini call dan menyatakan dia boleh bantu anda untuk membuat pengeluaran atau meminta IC.
Melalui SMS
Kalau anda mendapat mesej yang mengandungi nombor OTP walaupun anda tak pernah memohon, ini bermakna scammer sedang menggunakan data peribadi anda.
Aplikasi Palsu i-Sinar
Ada juga scammer yang gigih membuat aplikasi yang nampak real kononnya untuk memudahkan urusan pengeluaran duit KWSP. Sebagai langkah keselamatan, anda boleh menghubungi pihak KWSP untuk memastikan sama ada aplikasi tersebut milik mereka atau tak.
3. Scam Kerja Part Time
“Kerja Mudah Dari Rumah!” “RMXXX-RMXXX Seminggu”. Anda selalu dapat mesej dengan ayat seperti ini? Ini sebenarnya merupakan antara yang sering digunakan oleh scammer skim kerja dari rumah, dengan menjanjikan pendapatan yang besar untuk kerja yang mudah. Dahla sekarang ni memang ramai yang cari kerja part time untuk mendapatkan ‘side income’. Bayangkan anda mendapat pekerjaan tetapi sebenarnya ia hanyalah satu taktik penipuan, pasti anda kecewa.
Terbaharu, seorang pengguna Twitter @aboiii98 telah berkongsi sekeping gambar menunjukkan laporan polis miliknya yang mengatakan dirinya telah ditipu oleh scammer Shopee.
Menurutnya, dia telah kehilangan RM16,000 sehingga habis duit simpanan dan pinjam dari orang sekeliling pula.Semuanya bermula apabila dia telah terjumpa satu iklan di Facebook yang menawarkan kerja separuh masa dengan komisen yang tinggi. Dia kemudian menghubungi individu bernama Sophia di WhatsApp untuk bertanya dengan lebih lanjut akan pekerjaan tersebut sebelum diberi beberapa tugasan yang perlu dia lakukan untuk dapatkan wang komisen yang dijanjikan. Menurut mangsa, tugas pertama yang dia perlu buat ialah membeli beberapa produk di aplikasi beli-belah Shopee dan dijanjikan untuk mendapat keuntungan sebanyak 10% dari hasil pembelian.
Pada transaksi pertama,keuntungan itu dapat diperoleh oleh mangsa. Datang transaksi yang ke-enam, ketika mangsa minta refund wangnya kembali, dia diminta untuk
bayar penalti sebanyak RM3299. Wuish banyak tu! Bila dah bayar, tiba-tiba admin tu pula cakap ‘system down’ pula dan mereka kena tunggu keesokan harinya untuk refund wang milik mangsa. Bermula dari sini mangsa dah sedar dirinya ditipu dan membuat laporan polis.
Nah ini pula laporan polis mangsa. Anda boleh baca cerita penuh mangsa kat sini:
Apa yang kita perlu lakukan untuk elak dari terkena scam kerja part time?
Bagi mengelakkan anda daripada tertipu dengan taktik scammer ini, berikut adalah beberapa tips bagi mengenal pasti sama ada tawaran pekerjaan itu benar atau tidak.
Antara perkara yang anda perlu beri perhatian adalah seperti berikut:
Terus dapat kerja tanpa perlu temuduga.
Penerangan tawaran kerja yang terlalu ringkas.
Tiada maklumat syarikat di internet.
Kena bayar deposit untuk pendaftaran.
Guna alamat E-mel domain biasa.
4. Macau Scam
Ini adalah salah satu scam paling popular di Malaysia kebelakangan ini. Selalunya dalam kes Macau Scam, ia bermula dengan panggilan telefon. Scammer akan menyamar sebagai pegawai dari Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau lain-lain agensi berkaitan contohnya pengutip hutang. Secara amnya, Macau Scam akan berlaku dalam situasi berikut:
‘Spoofing’
Ini adalah teknik di mana pelaku akan menggunakan Suara Melalui Protokol Internet (VoIP) untuk menyamar suara daripada nombor tempatan yang biasa didengari oleh mangsa. Kemudian scammer akan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun pihak ketiga. Ini akan mengakibatkan mangsa panik dan menurut sahaja arahan scammer tanpa usul periksa, hanya untuk mengelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa.
Menyamar sebagai pegawai bank
Sindiket akan menelefon untuk menyamar sebagai seorang pegawai bank. Mereka akan mencipta senario menunjukkan mangsa terlepas membayar kad kredit mereka. Kemudian mangsa akan diarah untuk menghubungi individu contohnya dari Bank Negara Malaysia (BMN). Selepas itu sindiket akan memberi ‘tekanan’ kepada mangsa berpotensi dengan mengatakan jika mereka ini tidak menyelesaikan denda atau membuat pembayaran dalam masa terdekat, mereka terpaksa menanggung akibat yang serius seperti mereka akan di ‘senarai hitamkan’ atau akaun mereka akan dibekukan.
Cabutan bertuah
Mangsa akan menerima panggilan atau mesej mengatakan bahawa mereka telah memenangi cabutan bertuah atau dalam beberapa kes, loteri. Scammer kemudian akan meminta mangsa untuk memindahkan sejumlah wang bertujuan menuntut hadiah.
Penculikan palsu
Scammer akan membuat panggilan telefon kepada mangsa berpotensi dengan memberitahu bahawa orang yang mangsa sayangi telah diculik. Dalam kes tertentu, scammer akan mempersembahkan adegan penculikan di mana melibatkan mangsa yang diculik menjerit meminta tolong sebagai latarnya. Kemudian, scammer akan meminta mangsa membayar tebusan.
Apa yang perlu kita lakukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa Macau Scam?
Apa yang perlu kita lakukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa Macau Scam?
Pertama, jangan panik. Hubungi pihak polis atau institusi kewangan terlibat sebelum anda menuruti segala arahan yang diberikan oleh scammer.
Jangan dedahkan sebarang maklumat peribadi anda kepana mana-mana individu yang tidak dikenali iaitu nombor kad pengenalan, nombor akaun bank atau nombor kad kredit.
Jika anda berasa curiga, semak dan hubungi organisasi berkaitan tentang nombor telefon rasmi mereka.
Dalam kes penculikan, semak sekali lagi lokasi di mana ahli keluarga anda berada sebelum membuat apa-apa transaksi.
5. Scam Pinjaman
Kadar faedah 0%” atau “Kelulusan pinjaman 100% dijamin”. Dengar seperti terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, bukan? Sementara tawaran ini mungkin tidak berapa realistik tetapi dalam masa terdesak, scammer yang berkemahiran tinggi boleh memujuk mana-mana mangsa dengan mudah. Selalunya dalam kes penipuan pinjaman, scammer berlagak sebagai seorang daripada institusi kewangan atau platform pinjaman kewangan peribadi.
Sindiket kemudian akan meminta bayaran pendahuluan dibuat atau fi pemprosesan sebelum mendepositkan jumlah pinjaman ke dalam akaun bank mangsa. Selalunya sasaran mudah scam pinjaman adalah mereka yang mempunyai rekod CCRIS atau CTOS yang tidak baik dan yang terdesak memerlukan tunai. Semak artikel kami tentang 6 tanda penipuan pinjaman peribadi yang anda perlu beri perhatian.
Apa yang perlu kita lakukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa Scam Pinjaman?
Jika anda membuat permohonan pinjaman dengan pemberi pinjaman wang berlesen atau dikenali sebagai komuniti kredit, semak jika mereka memiliki lesen KPKT melalui sistem eMAPS. Jika ia syarikat yang
sah, alamat perniagaan berdaftar mereka dan nombor telefon syarikat sepatutnya muncul dalam sistem.
Jika anda membuat permohonan pinjaman melalui platform pinjaman atau agensi kewangan, semak jika ada apa-apa fi atau caj yang dikenakan. Sebuah platform pinjaman yang sah tidak akan meminta peminjam untuk membayar sebarang fi atau caj.
Jika anda ingin membuat permohonan selepas melihat iklan dalam talian, SMS atau ‘cold calling’, periksa terlebih dahulu apa yang ditawarkan oleh sumber dan dari mana sumber tersebut datang. Jika anda ragu-ragu dengan individu yang anda berurusan, anda boleh periksa dengan Portal Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID). Portal ini dapat membantu anda mengenal pasti jika terdapat sebarang kes yang telah dilaporkan terdahulu dengan nombor bank akaun atau nombor telefon yang telah anda daftarkan.
6. Scam Cinta
Mencuri hati anda dan kemudian mencuri wang anda. Itulah sebenarnya bagaimana scam cinta berfungsi. Biasanya scammer akan menyediakan profil palsu di laman janji temu dan media sosial. Mereka menggambarkan diri mereka sebagai individu yang menarik dengan menggunakan gambar model atau influencer pada profil mereka. Jadi, scammer ini akan berinteraksi dengan mangsa yang berpotensi terutamanya wanita yang kesepian dan terdesak. Mereka kemudian akan memperdaya anda dengan kata-kata manis mereka dan berharap anda akan jatuh cinta dengan mereka.
Kemudian, untuk menunjukkan cinta mereka kepada mangsa, scammer akan mendakwa yang dia menghantar hadiah mahal kepada mangsa. Tetapi hadiah itu kebetulan tersekat di kastam di lapangan terbang. Jadi, pihak scammer akan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang untuk mendapatkan hadiah tersebut. Bahkan sesetengah scammer pergi ke tahap mewujudkan dokumen palsu bagi memperdaya mangsa untuk mempercayai scammer.
Apa yang perlu kita lakukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa Scam Cinta?
Jangan kongsikan maklumat peribadi dengan orang yang tidak dikenali iaitu nama penuh anda, alamat tempat tinggal ataupun tarikh lahir anda.
Jangan memindahkan wang kepada orang yang anda tidak kenali atau tidak pernah berjumpa dengannya. Jangan dedahkan nombor akaun bank anda, nombor kad kredit/kad debit anda.
Anda perlu lebih berhati-hati apabila berada di laman web janji temu atau media sosial. Hanya gunakan laman web yang boleh dipercayai.
Jika anda berasa ragu-ragu, cuba gunakan carian Google secara imej untuk mengesahkan individu tersebut.
Percaya kepada naluri anda. Jika anda berasa sesuatu yang tidak betul atau mencurigakan, anda mungkin betul.
7. Skim Cepat Kaya
Ini adalah sejenis pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tidak realistik atau pulangan tinggi dengan melabur melalui tempoh masa yang singkat didakwa mudah dan bebas risiko. Skim seperti ini tidak didaftarkan di bawah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau mana-mana pihak berkuasa lain yang berkaitan. Sasaran utama penipuan ini adalah kakitangan kerajaan, pesara dan pelajar.
Antara Skim Cepat Kaya termasuk:
Skim Pengambilan Deposit Tanpa Lesen
Skim Piramid atau Ponzi
Jualan Langsung
Pelaburan Dalam Pasaran Komoditi
Urusniaga Mata Wang Asing Tanpa Lesen (Forex)
Apa yang perlu kita lakukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa Skim Cepat Kaya?
Berurusan hanya dengan institusi kewangan yang boleh dipercayai dan firma
pelaburan yang berlesen. Semak senarai institusi berlesen di laman web Bank Negara Malaysia.
Amalkan untuk berhati-hati semasa berurusan dengan pelaburan melalui dalam talian.
Periksa dengan pihak berkuasa terlebih dahulu dan pastikan agar anda tidak memaksa diri untuk melabur dalam apa-apa jenis pelaburan yang anda rasa tidak selesa untuk melakukannya.
Jangan menjadi tamak. Jika urusan nampak terlalu sempurna untuk ia menjadi suatu kenyataan, mungkin ia benar.
8.SCAM PARCEL
Scammer akan membuat panggilan, e-mel atau SMS mangsa dengan mendakwa bahawa pembawa penghantaran atau perkhidmatan penghantaran tidak dapat menghantar bungkusan ke rumah anda. Walaupun anda tidak memesan apa-apa dalam beberapa minggu kebelakangan ini, scammer boleh meyakinkan anda bahawa bungkusan adalah daripada rakan atau keluarga anda.
Contohnya, dalam kes e-mel, ia selalunya distruktur untuk menampilkan ia daripada satu syarikat yang anda pernah membuat pembelian atau dari syarikat penghantaran. Scammer kemudiannya akan bertanyakan anda tentang maklumat peribadi seperti informasi kad kredit/debit untuk meneruskan dengan penghantaran. E-mel akan disertakan dengan pautan untuk anda klik bagi menerima bungkusan. Sebaik sahaja anda klik, anda berkemungkinan akan memuat turun ‘malware’ ke dalam komputer anda. Ini akan memberi peluang kepada scammer untuk mengakses maklumat peribadi anda serta kata laluan dan memberikan mereka peluang untuk menggodam akaun perbankan Internet anda.
Apa yang perlu kita lakukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa Scam Parcel?
Berhati-hati dengan rakan yang anda kenali di Internet terutamanya melalui media sosial. Jangan percaya dengan mudah dan menerima bungkusan sebagai tanda persahabatan.
Jejaki bungkusan anda jika anda telah membuat sebarang pembelian dalam talian baru-baru ini. Perhatikan ‘tracking code’ untuk mengetahui bila anda akan menerimanya.
Jangan berkongsi maklumat peribadi tanpa mengesahkan sumbernya. Pastikan individu yang anda berurusan itu adalah sah.
Jangan sesekali klik pada pautan daripada e-mel yang tidak diminta, terutamanya daripada individu atau syarikat yang anda tidak biasa atau kenali. Berhati-hati apabila anda menerima e-mel seumpama ini. Sila laporkannya sebagai ‘spam’ jika anda menerimanya.
Dalam kes aktiviti yang mencurigakan, periksa dengan pihak kastam atau perkhidmatan penghantaran.
Sentiasa berwaspada & lindungi diri anda
Secara keseluruhan, kita perlu berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada supaya kita tidak terpedaya dengan taktik dan helah scammer. Ambil peluang ini dan ingat orang tersayang terutamanya ibu bapa jika mereka tidak celik teknologi; agar mereka dapat memberitahu anda apabila mereka menerima panggilan telefon atau mesej yang mencurigakan.
Kami berharap anda akan mendapati artikel ini berguna untuk membantu anda kekal selangkah di hadapan. Ingat untuk sentiasa berwaspada dan melindungi diri daripada ditipu. Sentiasa periksa serta mengesahkan dengan pihak berkuasa jika anda tidak pasti tentang sesuatu perkara.
Memerlukan pinjaman peribadi yang boleh dipercayai?
Ekin Consultant Agency adalah platform pinjaman peribadi Bank dan Koperasi. Kami sedia membantu anda mendapatkan pinjaman peribadi yang sesuai dengan keadaan kewangan anda. Semak kelayakan anda dengan kami hari ini!
Comments