Malaysia telah berjaya membendung penularan COVID-19 setakat ini. Persediaan dan perancangan awal yang dilakukan oleh kerajaan telah menampakkan hasil. Walaupun telah memenangi perang menentang Koronavirus, negara kini berhadapan dengan kemelesetan yang berkemungkinan menjadi lebih parah daripada krisis kewangan yang pernah berlaku pada tahun 2008.
Pandemik ini memberi ketegangan kepada ekonomi negara dan menyukarkan kehidupan rakyat Malaysia di mana mereka kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat kelembapan aktiviti perniagaan atau penutupan perniagaan. Kesukaran hidup akibat dari kesempitan kewangan tidak dapat dielakkan.
Dalam masa yang mencabar ini, anda perlu memiliki kemahiran mengurus kewangan. Di sini terdapat lima cara membantu mengekalkan kestabilan kewangan anda agar ia mampu bertahan menghadapi kemelesetan
1. Mengurangkan tahap gaya hidup anda
Setiap sen menjadi amat berharga apabila kemelesetan melanda. Oleh kerana anda tidak dapat menentukan jangka masa ia berlaku, anda perlu mengurangkan tahap gaya hidup anda dan pada masa yang sama anda perlu berkorban atau menahan diri daripada terus mengekalkan kemudahan yang biasa terdapat dalam kehidupan anda.
Kini adalah masa untuk anda lebih berhati-hati terhadap perbelanjaan anda dengan mengurangkan berbelanja ke atas barangan yang tidak perlu bagi meningkatkan jumlah wang lebihan untuk barangan yang diperlukan sahaja. Anda juga mungkin akan terus mengamalkan strategi ini walaupun selepas keadaan yang sukar ini kerana telah menjadi selesa dengan cara kehidupan berjimat cermat.
2. Rancang belanjawan menghadapi kemelesetan
Apabila anda telah mengecilkan gaya hidup, perbelanjaan lebih kecil menyusul. Belanjawan anda sepatutnya mencerminkan jumlah aliran keluar masuk sebenar tunai. Wang yang anda miliki mungkin daripada gaji dan upah, simpanan, dan pendapatan daripada pelaburan.
Aliran wang keluar adalah sewa, utiliti, barangan runcit, perbelanjaan pengangkutan, dan hutang. Sebaik sahaja anda membuat bajet, anda perlu berdisiplin bagi memastikan ia berfungsi dan akur terhadapnya dengan mengambil kira setiap perbelanjaan dengan mengenal pasti setakat mana yang anda perlu berjimat.
Anda juga boleh mencuba untuk menyenaraikan belanjawan anda dengan lebih teliti dengan menggunakan peraturan 50/30/20. Untuk membantu anda merancang kewangan anda dengan lebih baik, cuba menggunakan aplikasi kewangan percuma.
3. Mencari sumber pendapatan lain
Rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan untuk melakukan kerja-kerja sambilan. Semasa kemelesetan, adalah berfaedah untuk menyertai apa yang dipanggil “ekonomi gig” sebagai pendapatan tambahan untuk gaji semasa anda atau sebagai ganti untuk pendapatan yang telah hilang.
Selain daripada kerja-kerja dalam talian, terdapat juga peluang pekerjaan di sektor-sektor lain yang memerlukan sumber manusia. Permintaan untuk penghantaran makanan, sebagai contoh, kini sedang meningkat. Ada sesetengahnya telah pun melakukan kerja separuh masa dalam penghantaran makanan atau syarikat logistik. Ia mungkin menjadi permulaan kerjaya baru bagi yang lain.
4. Menggunakan wang bantuan kerajaan dengan bijak
Isi rumah di Malaysia menerima pemberian tunai seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Amaun yang diberi bergantung kepada tahap pendapatan setiap individu. Kemelesetan ekonomi terdahulu tidak memerlukan bantuan kewangan tambahan atau subsidi upah. Impak akibat COVID-19 belum pernah berlaku sebelum ini.
Jika anda menerima bantuan kewangan sementara untuk individu, gunakannya dengan baik untuk tujuan yang telah dirancangkan. Anda tidak perlu menggunakan wang yang ada dalam simpanan untuk kecemasan semasa krisis. Jika anda mempunyai wang yang mencukupi maka gunakan ia untuk membayar sesetengah hutang anda yang berfaedah tinggi.
5. Jangan menanggung hutang baru
Menanggung hutang baru semasa kemelesetan adalah satu perkara yang anda perlu elakkan kecuali anda ingin menyatukan hutang-hutang anda yang sedia ada. Dengan menyatukan pelbagai hutang ia dapat mengurangkan kadar faedah dengan pembayaran bulanan yang lebih munasabah untuk jangka masa lebih panjang dan seterusnya ini dapat membantu anda untuk berjimat.
Walau bagaimanapun, pinjaman perumahan, pinjaman kereta atau menggunakan kad kredit adalah tidak disyorkan apabila pekerjaan anda atau potensi pendapatan adalah berisiko. Bayar menggunakan tunai jika anda boleh mengelak daripada menggunakan kad kredit. Ini adalah kerana anda mungkin tidak mampu untuk membuat bayaran bulanan dan menyimpan untuk persaraan sama sekali.
Ekonomi mungkin boleh berubah menjadi bertambah buruk. Anda akan merumitkan keadaan sedia ada dan berhadapan dengan pengaliran wang berterusan. Menanggung beban kewangan tambahan pada masa keadaan kemelesetan adalah terlalu berisiko. Anda perlu lebih berhati-hati kerana senario kes terburuk adalah kebankrapan.
Mampu sara diri
Malaysia berada dalam keadaan hampir-hampir menghadapi kemelesetan ekonomi terburuk dalam sejarahnya. COVID-19 telah membawa kemusnahan paling teruk kepada ekonomi global serta menjejaskan kehidupan seharian rakyat
Pelan tindakan oleh kerajaan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rata-rata diterima baik oleh rakyat Malaysia. Meskipun, pakej rangsangan PRIHATIN sebanyak RM 250 bilion dan Pelan Rangsangan Nasional PENJANA sebanyak RM35 bilion dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh keluarga tetapi bukannya ekonomi. Oleh itu, adalah penting bagi individu untuk bersedia dari segi kewangan untuk kekal bertahan semasa kemelesetan ini.
Berikut adalah pengajaran yang anda dapat pelajari daripada pandemik 2020 ini. Pertama, jangan mengambil mudah terhadap pekerjaan atau cara kehidupan anda. Kedua, anda perlu memahami kepentingan menyimpan untuk menghadapi kecemasan di mana anda tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan daripada kerajaan. Akhir sekali, pengurusan kewangan yang baik akan dapat membantu anda menghadapi kemelesetan. Kami berharap anda akan mendapati tip yang dikongsikan ini berguna untuk membantu anda menguruskan kewangan anda dengan lebih bijak agar anda mampu bertahan menghadapi kemelesetan.
Comentarios