Untuk anak muda yang mula melangkah masuk umur 20 tahun, inilah masanya untuk anda belajar membuat keputusan sendiri dan mengurus kewangan anda. Mungkin ada yang akan kata, “Rilek ah. Muda lagi. Enjoy dulu.” Betul, tapi anda kenalah pandai tahu had atau limit anda di mana.
Usia muda anda adalah sangat berharga sebab apa yang anda buat pada usia muda boleh memberi impak kepada anda pada usia tua nanti. Kami faham mula-mula apabila semua benda kena buat sendiri memang rasa susah atau leceh. Tapi ini adalah sebenarnya sebahagian daripada proses ‘adulthood’. Anda masih muda lagi dan mempunyai masa dan peluang untuk buat yang terbaik. Hadamkan perkongsian kami ini agar anda tidak tersilap langkah nanti.
1. Jana Pendapatan Tetap & Tambahan
Tanpa pendapatan, macam mana nak survive? Berusaha dan cari kerja yang boleh memberikan anda pendapatan tetap. Untuk yang lepas graduate, kadang-kala memang agak mencabar untuk mencari kerja terutamanya pada waktu pandemik ini. Jangan berputus asa, terus hantar CV anda kepada majikan. Kalau anda perlu hantar kepada 50 syarikat, buatlah sampai ada panggilan untuk interview.
Untuk yang mempunyai kerja tetap, kalau ada masa lapang bolehlah jana pendapatan tambahan. Janji anda rajin. Ikutlah kemahiran yang anda ada. Kalau anda pandai buat design, bolehlah cari kerja design freelance, kalau pandai baking, jual biskut secara online. Yang masih cari kerja, sementara menunggu bolehlah buat kerja freelance agar anda masih dapat jana pendapatan. Baca blog artikel ini untuk dapatkan lebih idea untuk tambah pendapatan anda.
2. Belajar Rangka Bajet Bulanan
Bajet bulanan anda sepatutnya menunjukkan jumlah aliran keluar masuk duit anda. Duit yang masuk adalah daripada pendapatan tetap atau tambahan dan simpanan. Untuk duit yang keluar adalah seperti loan kereta, sewa rumah, bil utiliti dan lain-lain. Cuba senaraikan bajet perbelanjaan anda dengan lebih teliti.
Anda boleh cuba bahagikan bajet bulanan ikut formula mudah ini – peraturan 50/30/20. Bahagikan pendapatan anda kepada 50% (keperluan asas), 30% (kehendak, kemewahan atau keinginan) dan 20% (simpanan atau bayaran balik hutang). Atau jika anda lebih suka rekod perbelanjaan menggunakan handphone, sini ada banyak aplikasi kewangan percuma untuk bantu anda rancang kewangan dengan lebih teratur.
3. Fahami Perbezaan Keperluan & Kehendak
Perkara ini berkaitan juga dengan cara anda pelan bajet bulanan. Anda perlu faham beza antara keperluan dan kehendak. Keperluan adalah perbelanjaan yang wajib ada untuk jalani kehidupan seperti biasa. Biasanya ia adalah perbelanjaan berulang. Contohnya seperti makanan, rumah, kenderaan, bil utiliti dan lain-lain. Untuk kehendak pula, ia adalah perbelanjaan yang bantu jadikan hidup anda lebih selesa. Anda boleh hidup macam biasa jika anda tidak mempunyai benda itu. Contohnya seperti gym membership, langganan Netflix, minum di Starbucks dan lain-lain.
Keperluan dan kehendak setiap orang berlainan. Tapi jika boleh, cuba kurangkan belanja kehendak. Atau cuba pilih alternatif yang lebih murah. Yang penting anda belanja ikut kemampuan diri. Tidak perlulah semata untuk ‘catch up with the trend’, anda berbelanja lebih untuk menunjukkan anda bergaya and kaya.
4. Pelbagaikan Tabung Simpanan
Simpanan itu memang sesuatu yang semua orang kena ada. Anda boleh buat tabung simpanan, tabung pelaburan, tabung kecemasan, tabung perkahwinan dan lain-lain. Tapi tabung yang paling penting adalah tabung kecemasan. Sebab kita tidak akan tahu apabila sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Amaun untuk dana kecemasan yang disyorkan adalah sekurangnya 3 sehingga 6 bulan gaji anda.
Sekiranya anda belum ada akaun Tabung Haji, pergi buka akaun Tabung Haji. Amaun minimum untuk daftar adalah RM1,300. Selain itu, bukalah akaun ASB dan simpan duit dalam akaun itu. Jika dah ada kerja tetap, bolehlah buat loan ASB. Contohnya, sijil RM50,000 barulah RM275 sebulan. Rugi kalau anda tiada kedua-dua akaun ini sebab dividen tahunan memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada akaun simpanan. Contohnya dividen tahun 2020 ASB adalah 5.5%. Bayangkan jika anda ada RM1000 dalam akaun, anda akan dapat RM55. Lama-lama banyak wang akan terkumpul.
5. Ambil Perlindungan Takaful
Perlindungan Takaful boleh dijadikan sebagai ‘back-up’ anda sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kesakitan atau ditimpa kemalangan. Anda boleh ambil satu plan perubatan, cukup sekadar untuk menampung kos perubatan ketika kecemasan. Tidak perlulah ambil pakej yang terlalu mahal. Ikut bajet masing-masing. Ada sahaja pakej yang mampu milik dari RM38 sebulan, perlindungan sebanyak RM50,000.
6. Tetapkan Matlamat Untuk Beli Aset
Bila baru mula bekerja, memang agak susah sikit untuk beli rumah. Paling-paling anda sewakan rumah dulu. Tiada apa yang memalukan jika anda sewa rumah. Apabila kewangan sudah mula stabil barulah pelan untuk beli rumah. Kalau mampu, belilah sekurang-kurangnya sebuah rumah. Bayangkan jika anda beli rumah sebelum berumur 30 tahun, ansuran bulanan anda akan jadi lebih rendah sebab boleh ambil tempoh pinjaman yang lebih panjang. Jika anda masih tidak pasti nak beli atau sewa rumah, bolehlah baca blog kami ini.
7. Beli Kenderaan Ikut Kemampuan
Sebenarnya tidak salah untuk beli kereta atau beli motor. Sebab ia boleh bantu memudahkan pergerakan kita kerana tidak semua tempat mempunyai akses pengangkutan awam. Jadi, masa muda-muda lagi belilah kenderaan ikut kemampuan. Jangan semata-mata nak show off. Untuk yang mula bekerja, kereta Viva atau Myvi sudah memadai. Sebab selain bayaran ansuran, anda perlu ambil kira kos minyak, parking, tol, road tax, servis kereta dan lain-lain.
8. Tambahkan Ilmu Kewangan
Sekiranya anda ingin dapatkan lebih ilmu tentang kewangan, ada banyak sumber percuma yang mudah didapati. Anda boleh baca buku atau blog kewangan. Tapi kalau kurang minat untuk baca buku, boleh sertai seminar kewangan. Sekarang ini dah banyak yang anjurkan majlis ilmu kewangan. Alternatif lain adalah menerusi Facebook group, Telegram group dan blog-blog usahawan. Di sana ada banyak user yang sering berkongsi ilmu kewangan.
Secara rumusnya, adalah penting untuk anda semua tahu tentang kemampuan diri masing-masing. Praktikkan nasihat kami ini dan mula bertindak sekarang untuk masa depan yang lebih cerah! Sekiranya anda rasa blog ini berguna, kongsikan dengan kawan-kawan yang baru mula bekerja.
Comentarios