top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

Apakah itu CCRIS & CTOS dan Cara Membaca Laporan Kredit CCRIS


(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 15 Januari 2017 dan dikemas kini pada 13 Julai 2020.)

“Pinjaman anda tidak lulus disebabkan oleh rekod buruk CCRIS atau CTOS”. Pernahkah anda ditanya soalan yang sebegini oleh pegawai bank? Dan anda mula fikir, “Apakah CCRIS dan CTOS?”.

Sebelum kami jawab soalan-soalan ini, marilah kami fahami dahulu bagaimana bank atau institusi kewangan membuat keputusan untuk meluluskan pinjaman. Salah satu faktor yang mereka lihat adalah sejarah kredit, iaitu rekod pembayaran pinjaman anda sebelum ini – adakah anda membayar tepat pada masanya? Atau terdapat kelewatan atau tunggakan dari segi pembayaran balik pinjaman? Seperti yang anda andaikan, peluang untuk mendapatkan kelulusan pinjaman adalah lebih tinggi jika pembayaran pinjaman seblum ini adalah tepat masa.

Bagaimanakah pihak bank atau institusi kewangan dapatkan rekod kredit anda? Mereka dapatkan maklumat ini daripada laporan kredit. Di Malaysia, terdapat beberapa agensi pelaporan kredit, ini termasuklah;


  • Biro Kredit yang diselia oleh Bank Negara Malaysia untuk mengawasi CCRIS

  • CTOS dan RAM Credit Information yang didaftar dibawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010

Apakah itu CCRIS?


CCRIS (Central Credit Reference Information System) adalah rekod yang diselia oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia yang mengawasi corak pembayaran pinjaman anda.

Rekod CCRIS termasuklah:


  1. Butiran mengenai pinjaman anda dengan setiap institusi kewangan di Malaysia (ini termasuk semua bank dan institusi kewangan bukan bank seperti AEON Credit atau PTPTN)

  2. Rekod pembayaran pinjaman bagi tempoh 12 bulan yang lepas termasuk sebarang tunggakan

  3. Sebarang pinjaman ‘Special Attention’ atau pinjaman di bawah pemerhatian bank

  4. Pinjaman yang telah melalui penjadualan dan penstrukturan semula

Cara Baca Laporan Kredit CCRIS


Laporan CCRIS adalah kad laporan kredit anda. Maklumat yang dinyatakan dalam laporan tersebut menentukan kelayakan anda untuk memohon kemudahan kredit seperti pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman perumahan, pinjaman kereta, dan sebagainya. Kami akan berkongsi dengan anda cara membaca laporan CCRIS dengan contoh di bawah ini. Maklumat yang terdapat dalam contoh laporan kredit ini adalah semata-mata untuk tujuan ilustrasi dan tidak mewakili mana-mana individu.


Dina Hazlina ada 2 kemudahan kredit seperti ditunjuk di bahagian kredit belum jelas – satu kad kredit dan satu pinjaman sewa beli (kenderaan). Pinjaman sewa beli itu dibuat pada Januari 2000, amaun pinjaman adalah RM35,000. Laporan menunjukkan baki pinjaman sewa beli adalah RM8,500 buat masa kini. Kemudian pada Julai 2008, dia menerima satu kemudahan kad kredit dengan had kredit sebanyak RM5,000 dan buat masa kini, dia ada baki kad kredit RM3,000.

Untuk pinjaman sewa beli Dina, dia kemungkinan menghadapi kesukaran membayar pinjaman tepat pada masa. Akibat daripada pembayaran yang tidak konsisten selama beberapa bulan, dia telah menerima saman pada 31 Januari 2011 (seperti ditunjukkan di bahagian “N” – Status Undang-undang). Maka dia mengambil keputusan untuk menjadualkan semula pinjaman tersebut untuk melanjutkan tempoh pinjamannya (seperti ditunjukkan di bahagian “B” – Status).

Merujuk kepada jadual tersebut, kita dapat melihat di mana Dina telah membayar pinjaman keretanya secara konsisten mulai Disember 2016 hingga Ogos 2017. Tetapi bagaimana kita dapat mengetahuinya? Ini adalah kerana “0” bermakna tiada bayaran lewat / bayaran tertunggak. Kemudian, dari September 2017 dan seterusnya, Dina tidak membuat pembayaran ansuran selama 3 bulan seperti yang tertera di petak November.


Di sini terdapat tip untuk rujukan:

0 – Tiada bayaran lewat / tunggakan

1 – Pembayaran lewat selama 1 bulan

2 – Pembayaran lewat selama 2 bulan

3 – Pembayaran lewat selama 3 bulan

Maka, apabila kita merujuk kepada rekod kad kredit beliau, dia telah membuat bayaran ansuran secara konsisten kecuali untuk beberapa bulan. Dia tidak membuat pembayaran selama 3 bulan dari Mac 2017 – Mei 2017. Dina juga telah lambat membayar 2 bulan semasa September dan Oktober 2017.

Kami juga boleh dapati tahu kad kredit yang dipohon oleh Dina pada Oktober 2006 telah disenaraikan di bawah Akaun Perhatian Khas (SAA). Ini dapat dilihat di bahagian “Akaun di bawah Pemerhatian Khas”. Jadi, anda mungkin bertanya kenapakah kad kreditnya disenaraikan di bawah SAA? Dina mungkin terlepas membuat pembayaran untuk kad kreditnya selama lebih daripada 3 bulan di mana ini telah meletakkannya di bawah SAA.

Maka anda mungkin perasan bahawa Dina ada memohon kemudahan kredit pada November 2015 dan ia masih dalam status pertimbangan. Pada pendapat anda, adakah permohonan untuk kad kredit yang dibuat oleh Dina akan diluluskan?

Di bawah adalah penerangan tentang setiap label maklumat kredit:         

(1) Kredit Belum Jelas – Bahagian ini menunjukkan kemudahan kredit belum jelas yang telah dipohon oleh peminjam.

(2) Akaun di Bawah Pemerhatian Khas (SAA) – Mereka yang diletakkan di bawah kategori ini menunjukkan kemudahan kredit yang berada di bawah penyeliaan rapi oleh institusi kewangan.

(3) Permohonan Untuk Kredit – Bahagian ini menunjukkan permohonan kredit yang telah diluluskan atau yang masih dalam pertimbangan, yang dipohon dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

A – Tarikh Kelulusan– Tarikh permohonan apabila kemudahan kredit telah diluluskan

B – Status – Ini menunjukkan status kredit untuk permohonan. Sebagai contoh: belum jelas (Semua kredit belum jelas yang diperoleh peminjam), Kemudahan kredit yang dijadualkan semula (Jadual pembayaran asal kemudahan kredit telah dijadualkan semula), Kemudahan kredit disusun semula di bawah AKPK

C – Kapasiti – Keterangan kemudahan kredit yang diperolehi oleh peminjam adalah di bawah nama sendiri, nama bersama dengan individu lain, nama di bawah pemilikan tunggal dan perkongsian atau badan profesional

D – Pemberi pinjaman – Institusi Kewangan yang menyediakan kemudahan kredit

E – Cawangan – Tempat di mana kemudahan kredit dipohon

F – Kemudahan – Jenis kemudahan kredit iaitu pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman perumahan, dan sebagainya.

G – Nombor Akaun/ Permohonan – Nombor rujukan yang diberi oleh institusi kewangan untuk kemudahan kredit

H – Jumlah Baki Belum Jelas – Rujukan amaun baki semasa kemudahan kredit

I – Tarikh Jumlah Baki Dikemaskini – tarikh terakhir jumlah belum jelas dilaporkan.

J – Had/ Jumlah Ansuran – Jumlah yang telah diluluskan oleh institusi kewangan atau amaun kontrak pinjaman yang perlu dibayar oleh peminjam sehingga jumlah keseluruhan amaun telah selesai dibayar

K – Jenis Cagaran – Jenis cagaran atau sekuriti untuk kemudahan kredit

L – Terma Pembayaran Balik Prinsipal – Kekerapan pembayaran balik setiap kemudahan kredit sama ada bulanan atau mingguan

M – Ansuran Tertunggak Sepanjang 12 Bulan Yang Lalu – Merujuk kepada rekod pembayaran kemudahan kredit. Sebagai contoh: 0 (tiada pembayaran yang lambat), 1 (1 bulan tunggakan), 2 (2 bulan tunggakan) dan seterusnya

N – Status Undang-undang – Tindakan undang-undang yang diambil terhadap peminjam akibat kegagalan membayar balik pinjaman

O – Tarikh Status Dikemaskini – Tarikh terkini status tindakan undang-undang

Apabila anda membuat permohonan pinjaman bank (sama ada pinjaman perumahan atau peribadi), bank akan menyemak rekod CCRIS anda untuk mengakses corak pembayaran anda. Walaupun setiap bank mempunyai kriteria kredit yang berbeza, anda boleh dianggap mempunyai rekod CCRIS yang kurang baik jika pembayaran anda tertunggak selama 2-3 bulan dalam tempoh 6 bulan yang lepas atau anda mempunyai pinjaman di bawah pemerhatian bank (SAA – Special Attention Account). Ini kemungkinan besar akan menjejaskan kelulusan pinjaman anda.

Bagi pinjaman koperasi di mana pembayaran adalah melalui potongan gaji, peluang kelulusan pinjaman anda lebih tinggi walaupun anda mempunyai 2-3 bulan bayaran tertunggak.


Bagaimana & Di mana untuk Dapatkan Laporan CCRIS?


Kos untuk mendapatkan laporan CCRIS anda adalah percuma. Hanya individu sahaja yang dibenarkan untuk memohon maklumat kredit dari Biro Kredit. Di sini terdapat beberapa cara untuk mendapatkan laporan CCRIS anda:

  1. Secara dalam talian – Anda boleh memohon dan menerima laporan kredit dengan mudah dari rumah.

  • Isikan borang (Imbas kod QR ini atau klik -> https://bnm.my/ccrisform)

  • Sediakan dokumentasi anda (I.C untuk residen dan pasport untuk bukan residen, 2 dokumen sokongan seperti lesen memandu, bil utiliti, penyata KWSP atau lain-lain)

  • Lengkapkan borang permohonan anda dan hantar ke -> https://telelink.bnm.gov.my

  1. Melalui cawangan-cawangan – Lawati kios yang terletak di BNMLINK Kuala Lumpur, pejabat-pejabat BNM, dan cawangan-cawangan AKPK untuk mendapatkan laporan kredit anda. Jangan lupa membawa MyKad (I.C) anda atau sebarang dokumen sokongan untuk tujuan mengenal pasti identiti anda.

Apakah itu CTOS?


Secara ringkasnya, CTOS adalah kad laporan kredit anda.

CTOS memperoleh maklumat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), penerbitan prosiding undang-undang, maklumat akhbar dan selainnya. Laporan CTOS mengandungi status muflis individu, status kes, tindakan undang-undang, pemilikan perniagaan dan selainnya.


Sebarang kegagalan untuk membayar balik pinjaman, bil utiliti ataupun bil telefon, serta apa-apa tindakan litigasi terhadap anda termasuklah status bankrap akan tersenarai dalam laporan CTOS. Scenario sebegini akan mengurangkan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman.


Untuk mendapatkan rekod percuma Laporan Asas Kredit CTOS, anda hanya perlu mohon untuk mendapatkan ID pengguna CTOS. Kemudian, anda akan menerima laporan CTOS daripada aplikasi CTOS.


Apakah itu RAMCI?


RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI) adalah agensi pelaporan kredit sama seperti CTOS. Laporan RAMCI melaporkan informasi kredit dan skor kredit.

Ini termasuklah maklumat perundangan dan kebankrapan, ‘trade bureau’ (maklumat bukan perbankan) and jika ada carian laporan yang telah dilakukan. Maklumat ini mungkin penting kerana ia dapat memberi pengesanan awal tentang penipuan identiti. Laporan Asas RAMCI berharga RM10.60.



Perbezaan antara CCRIS, CTOS dan RAMCI


Secara amnya, CCRIS, CTOS dan RAMCI adalah sama di mana semua laporan ini melaporkan sejarah kredit individu. Pihak bank akan membuat penilaian kredit bukan sahaja berdasarkan laporan CCRIS tetapi juga laporan CTOS/RAMCI.

Tapi, terdapat perberzaan antara CCRIS dengan CTOS atau RAMCI. Perbezaan utamanya adalah CCRIS diselia oleh Bank Negara. CTOS dan RAMCI diselia oleh syarikat persendirian. Selain itu, CCRIS dapatkan maklumat kredit daripada institusi kewangan tetapi CTOS dan RAMCI dapatkan maklumat daripada sumber awam yang juga melaporkan tungakkan daripada syarikat utiliti, peminjam wang berlesen atau syarikat penyedia skim bayaran ansuran seperti Courts, Singer, Coway dan lain-lain.


Adakah saya akan disenarai hitam oleh CCRIS atau CTOS?


Tidak, CCRIS dan CTOS tidak akan menyenarai hitam anda.  Mereka hanya akan memberikan rekod kredit anda kepada institusi kewangan termasuk koperasi untuk penilaian kredit sebelum mereka meluluskan permohonan pinjaman anda. Laporan CCRIS atau CTOS adalah satu rekod sahaja untuk memudahkan institusi kewangan membuat penilaian dan keputusan untuk meluluskan pinjaman.


Apakah yang perlu saya lakukan jika rekod CCRIS atau CTOS saya kurang baik?


Jangan risau, anda masih ada peluang lagi untuk membersihkan rekod CCRIS atau CTOS anda. Baca artikel kami tentang 7 cara untuk membersihkan rekod negative CCRIS dan cara untuk meningkatkan peluang kelulusan pinjaman.


Untuk peminjam yang mempunyai rekod buruk CCRIS atau CTOS dan berada dalam situasi yang amat memerlukan wang, ada sesetengah pinjaman koperasi yang menerima permohonan sebegini terutamanya untuk peminjam yang bekerja di sektor kerajaan. Peluang kelulusan untuk pinjaman koperasi adalah lebih tinggi kerana pembayaran adalah melalui potongan gaji. Maka, risiko pembayaran balik adalah lebih rendah. Oleh itu, pinjaman koperasi adalah cara yang selamat untuk mendapatkan pembiayaan kecemasan. Ada pemberi pinjaman wang yang mengatakan bahawa mereka boleh menerima peminjam yang mempunyai rekod buruk CCRIS atau CTOS. Berhati-hatilah dan fahami terma dan syarat pinjaman ini sebelum menerima tawaran mereka.


61 views0 comments

Recent Posts

See All

Komentarze


bottom of page