Penjawat awam membelanjakan lebih separuh daripada gaji mereka untuk membayar hutang.
Data dari Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bahawa penjawat awam menggunakan 52% dari gaji mereka untuk membayar hutang. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mempunyai simpanan kecemasan yang cukup untuk menghadapi situasi genting.
Kajian yang sama turut merekodkan 47% dari jumlah hutang adalah bertujuan untuk menampung gaya hidup dan kehidupan sedia ada seperti memiliki kad kredit, kenderaan dan pembiayaan peribadi. Selain pada itu, penjawat awam juga terbeban dengan hutang perumahan yang menyumbang 49% dari keseluruhan jumlah hutang mereka.
“Gaji penjawat awam tinggi dan selesa” hanyalah omong kosong
Menurut BNM, lebih ⅔ penjawat awam di Malaysia bergaji kurang dari RM5,000. Misal contoh, berdasarkan laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), seorang guru bergred DG29 hanya mempunyai pendapatan sebanyak RM1,698 sebulan. Dengan pendapatan sebanyak itu, adakah anda mampu menampung kos sara hidup di bandar-bandar besar?
Ya betul, penjawat awam tersebut akan menerima kenaikan gaji, sama seperti sektor pekerjaan lain juga. Akan tetapi, kenaikan tersebut hanya diberikan untuk beberapa tahun dan akan dihadkan setelah mencapai jumlah gaji maksimum.
Sukar dapatkan pinjaman dari bank
Bagi yang masih tidak tahu, sebarang penolakan gaji penjawat awam adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Akauntan Negara Malaysia atau Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) – sebuah organisasi yang menguruskan dan memantau penolakan gaji seperti zakat, KWSP, yuran keahlian, insurans dan ansuran pinjaman, termasuklah pembiayaan peribadi.
Disini bermulanya masalah permohonan pembiayaan. Tugas Angkasa adalah untuk memastikan penjawat awam mempunyai 40% gaji bersih selepas segala penolakan. Jadi, jika penjawat awam ingin memohon pembiayaan peribadi dan penolakan gaji melebihi 60%, besar kemungkinan permohonan pembiayaan tersebut akan ditolak. Masalah ini juga akan berlarutan dimana penjawat awam tersebut dikenakan tindakan disiplin kerana mempunyai hutang melebihi jumlah yang dibenarkan.
Tiada Ilmu Pengetahuan tentang urusan kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) percaya bahawa perancangan kewangan yang lemah, kadar pengetahuan kewangan yang rendah dan gaya hidup menyumbang kepada masalah keberhutangan. AKPK juga melaporkan bahawa Malaysia berada di tangga ke-26 dari 30 negara bagi kadar celik kewangan berdasarkan Laporan untuk Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan tahun 2016.
Akan tetapi, kenapa AKPK mengeluarkan kenyataan seperti itu?
Punca masalah ini bukan hanya terletak pada sebelah pihak sahaja. Ada kemungkinan penjawat awam membuat pinjaman disebabkan untuk menampung kehidupan dan mereka tahu ansuran pinjaman tersebut akan diuruskan oleh Angkasa. Institusi kewangan pula meluluskan pinjaman tersebut sewenang-wenangnya kerana yakin Angkasa akan memastikan ansuran bulanan dikreditkan setiap bulan.
コメント