top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

Cara Kenali Penipuan Pinjaman & Apa Yang Anda Perlu Lakukan Sekiranya Ditipu


(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 10 September 2017 dan dikemas kini pada 28 Julai 2020).

Ada banyak liputan media mengenai penipu pinjaman yang berlaku akhir-akhir ini, terutamanya semasa pandemik COVID-19. Biasanya penipu pinjaman pandai dengan penggunaan taktik kreatif mereka. Pastinya anda pernah dengar taktik penipu seperti meminta untuk bayaran pendahuluan atau pemprosesan, kadar faedah 0% dan kelulusan pinjaman dijamin 100%. Memang kedengarannya adalah tidak realistik tetapi penipu ini mempunyai cara kreatif mereka untuk meyakinkan mangsa dan jatuh ke dalam perangkap mereka.

Ada juga penipu yang menyamar menjadi individu daripada platform pinjaman, termasuklah Direct Lending. Kami telah menerima beberapa laporan mengenai penipu (scammer) yang menyamar jadi Direct Lending. Sindiket penipuan ini menggunakan nama syarikat kami (Direct Lending) tanpa persetujuan dan meminta bayaran pendahuluan untuk memproses pinjaman. Biasanya, peminjam yang mempunyai rekod CCRIS atau CTOS yang kurang baik adalah target mudah penipu scammer.

Isi Kandungan


  • 6 Tanda penipuan pinjaman peribadi

    • 1. Bayar wang pendahuluan sebelum peroleh pinjaman

    • 2. Perlu memberi kad ATM/ kad debit

    • 3. Tidak pernah mohon pinjaman/ jumlah pinjaman lebih daripada apa yang dimohon

    • 4. Tawaran atau skim pinjaman yang terlalu bagus

    • 5. Dipaksa untuk bertindak segera

    • 6. Maklumat peribadi yang diminta adalah mencurigakan


  • Apa yang perlu diperhatikan untuk lindungi diri daripada ditipu?

    • Permohonan pinjaman dengan pemberi pinjaman berlesen

    • Permohonan pinjaman melalui platform pinjaman/ agensi kewangan

    • Iklan dalam talian / SMS atau ‘cold calling’ menawarkan pinjaman


  • Apa yang anda perlu buat sekiranya ditipu?

  • Jadilah peminjam yang bijak

Untuk melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa sindiket yang tidak bertanggungjawab ini, kami ingin menjalankan tanggungjawab kami dalam meningkatkan kesedaran orang ramai. Di artikel ini, kami berkongsi beberapa tanda yang sering wujud dalam penipuan pinjaman yang anda harus perhatikan dan juga apa yang anda perlu lakukan sekiranya telah ditipu oleh penipu pinjaman.

6 Tanda penipuan pinjaman peribadi

1. Bayar wang pendahuluan sebelum peroleh pinjaman


Sekiranya anda diminta untuk bayaran deposit atau wang pendahuluan (upfront fee) untuk dapatkan pinjaman, peminjam tersebut adalah seorang penipu. Penipu scammer ini akan memberi pelbagai alasan dan cuba dapatkan wang deposit daripada anda.

Pemberi pinjaman yang sah TIDAK AKAN meminta peminjam membayar apa-apa wang pendahuluan sebelum anda menerima pinjaman. Malahan, ia adalah haram bagi mereka untuk berbuat demikian.


Sekiranya anda menggunakan ejen pinjaman atau perunding untuk memohon pinjaman peribadi, anda tidak perlu membayar mereka sebarang bayaran. Mereka akan menerima pendapatan mereka sebagai komisen dari bank / koperasi setelah pinjaman diluluskan.

Kebanyakan penipu akan meminta bayaran pendahuluan sebagai caj pemprosesan wajib, bayaran pendahuluan ansuran, insurans atau cagaran. Tetapi yuran ini, walaupun diperlukan, akan ditolak daripada jumlah pinjaman dan anda tidak perlu membayar secara langsung.


2. Perlu memberi kad ATM/ kad debit


Anda dikehendaki untuk memberi kad ATM atau kad debit anda apabila membuat permohonan pinjaman peribadi. Ini kemungkinan besar sebab penipu ini akan meminta duit daripada anda sebaik sahaja pinjaman diluluskan dan dikreditkan ke akaun bank anda.


Penipu akan menggunakan kad ATM untuk mengeluarkan wang atau meminta anda memberi caj pemprosesan, sebelum mereka memulangkan kad ATM atau kad debit kepada anda. Ingat ya, sebarang bayaran pemprosesan sepatutnya ditolak terus dari jumlah pinjaman anda sebelum pihak bank atau koperasi mengkreditkan duit pinjaman ke akaun anda.


3. Tidak pernah mohon pinjaman/ jumlah pinjaman lebih daripada apa yang dimohon


Anda menerima panggilan atau emel yang mengatakan bahawa anda layak untuk membuat pinjaman dengan kadar faedah yang rendah. Kadang-kadang anda juga diberitahu bahawa ianya hanya khas untuk anda padahal sebenarnya anda tidak pernah memohon sebarang pinjaman peribadi sebelum ini.


Atau mungkin anda memohon pinjaman tersebut, tetapi anda ditawarkan dengan jumlah yang lebih banyak daripada apa yang anda mohon. Berhati-hati dengan tawaran kredit yang tidak diminta ini, dan pastikan sama ada ianya sahih sebelum anda meneruskan proses selanjutnya.


4. Tawaran atau skim pinjaman yang terlalu bagus


Apa yang dikatakan sebagai tawaran atau skim pinjaman yang terlalu bagus? Tawaran seperti kadar faedah atau kadar keuntungan yang terlalu rendah sehingga tidak logik. Contohnya, jika anda diberitahu kata-kata seperti ‘kadar faedah 0%’ atau ‘jaminan wang tunai atau kelulusan terjamin 100%’, terus delete dan block penipu tersebut.

Ingat ya, peminjam yang sah akan memeriksa sama ada anda mampu membayar balik hutang pinjaman anda. Setiap pemberi pinjaman amat peduli untuk mendapatkan kembali wang mereka. Pemberi pinjaman yang sah akan menilai kriteria yang berikut dengan teliti sebelum meluluskan permohonan pinjaman kepada anda.

  1. Pendapatan & pekerjaan

  2. Komitmen yang sedia ada

  3. Umur & tempoh pinjaman

  4. Simpanan & aset

  5. Sejarah kredit (rekod CCRIS dan CTOS, rekod senarai hitam (‘blacklist’) / disenarai sebagai ‘Special Attention Account’ (SAA) atau Akaun Dibawah Pemerhatian Khas/ Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Tetapi ada juga pihak pinjaman koperasi yang memberikan kelonggaran sedikit kepada penjawat awam yang mempunyai rekod kredit CCRIS atau CTOS yang kurang baik, komitmen luar yang tinggi, mempunyai rekod senarai hitam dan AKPK. Baca di sini untuk 5 Pinjaman Bank & Koperasi Terbaik 2020. Pemberi pinjaman dapat menawarkan fleksibiliti ini kerana pembayaran pinjaman adalah melalui pemotongan gaji dan diberi kuasa oleh pengawal selia untuk melakukannya.


5. Dipaksa untuk bertindak segera


Sekiranya pemberi pinjaman atau ejen pinjaman terus memaksa anda untuk membuat keputusan dengan segera kerana tawaran pinjaman istimewa seperti ‘kadar faedah rendah’ dan tawaran tersebut akan berakhir tidak lama lagi, maka anda perlu mengabaikannya. Ini kerana jika lebih pantas penipu menandatangani perjanjian dengan anda, maka lebih cepat anda akan masuk ke dalam perangkap penipuan tersebut.


Jangan sekali-kali kelam-kabut untuk membuat apa-apa keputusan. Anda perlu teruskan hanya jika anda pasti 100% dengan siapa anda sedang berurusan.


6. Maklumat peribadi yang diminta adalah mencurigakan


Kadang-kadang penipu bukanlah menginginkan wang anda, tetapi untuk mencuri identiti anda untuk tujuan penipuan. Mereka akan menyamar sebagai wakil bank atau syarikat pinjaman melalui panggilan telefon, emel atau media sosial untuk menipu anda supaya memberikan maklumat peribadi anda. Ini dipanggil sebagai ‘phishing’.

Jangan berikan salinan kad pengenalan, lesen memandu atau maklumat akaun bank anda melainkan anda tahu siapa dan apa tujuannya. Penipu ini juga boleh menyiarkan iklan menggunakan nama syarikat yang sah, tetapi syarikat-syarikat yang sah ini sendiri tidak menyedari tentang penipuan tersebut.


Apa yang perlu diperhatikan untuk lindungi diri daripada ditipu?


Di sini kami berkongsi dengan lebih terperinci apa yang anda harus perhatikan untuk melindungi diri anda daripada ditipu:

Permohonan pinjaman dengan pemberi pinjaman berlesen

Pemberi pinjaman berlesen (PPW) atau sekarang dikenali sebagai Syarikat Kredit Komuniti dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Syarikat Kredit Komuniti ini dilesenkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Kadar faedah yang ditetapkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 adalah maksimum 12% setahun (pinjaman bercagar) dan 18% setahun (pinjaman tidak bercagar).


Anda harus memeriksa dahulu jika pemberi pinjaman wang anda adalah pemberi pinjaman wang yang sah. Anda boleh memeriksa dengan menggunakan sistem eMAPS, yang disediakan oleh KPKT.


Langkah untuk menggunakan sistem eMAPS KPKT:

  1. Layari -> https://emaps.kpkt.gov.my/emaps/emaps/umum/cari_ppw.cfm

  2. Isikan nama syarikat di ruangan ‘Nama Organisasi’. Sekiranya anda tahu nombor pendaftaran syarikat (SSM), isikan di ruangan ‘ Daftar Organisasi’.

  3. Klik butang ‘Cari’

Jika syarikat tersebut adalah berdaftar dibawah KPKT, maklumat syarikat tersebut akan dipaparkan di atas sistem tersebut. Anda boleh klik pautan syarikat tersebut untuk ketahui lebih maklumat seperti alamat dan nombor syarikat. Sekiranya syarikat tersebut tidak berdaftar atau lesen telah tamat, sistem akan menunjukkan ‘Tiada Padanan Ditemui’.


Di samping itu, semua pemberi pinjaman wang yang sah hanya akan menawarkan pinjaman yang mematuhi dengan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, terutamanya kadar faedahnya tidak melebihi 18% setahun dan perjanjian pinjaman itu adalah sah dengan dokumentasi pinjaman. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai pemberi pinjaman wang berlesen, lihat artikel kami di mana kami membandingkan perbezaan antara pemberi pinjaman wang sah dan Ah Long.

Ada penipu yang berpura-pura menjadi peminjam wang yang sah dan meminta peminjam untuk membayar bayaran pendahuluan atau memberikan ATM atau kad debit untuk kelulusan pinjaman tersebut. Ingat ya, semua peminjam wang yang sah tidak akan meminta sebarang bayaran pendahuluan atau kad ATM kerana ia adalah haram untuk mereka melakukannya.


Permohonan pinjaman melalui platform pinjaman/ agensi kewangan


Sudah menjadi kebiasaan untuk pengguna mencari pinjaman peribadi dengan menggunakan platform pinjaman atau agen pinjaman untuk mencari dan memohon pinjaman yang paling sesuai dengan mereka. Ini adalah kerana kebanyakan masa peminjam mungkin tidak tahu pinjaman yang mana adalah paling sesuai dan berbaloi. Platform pinjaman atau agensi kewangan ini adalah seperti ‘jambatan’ kepada institusi kewangan atau pemberi pinjaman.

Tetapi, terdapat platform pinjaman atau agensi kewangan yang tidak beretika dan mengambil kesempatan ke atas peminjam. Antaranya adalah mereka yang meminta peminjam membayar perkhidmatan perundingan pinjaman. Paling teruk, setelah anda bayar, anda tidak akan dapat menghubungi mereka lagi.


Oleh itu, sila periksa sama ada platform pinjaman atau agensi kewangan anda ada meminta sebarang bayaran ataupun tidak sebelum berurusan dengan mereka. Anda juga boleh melihat ulasan pelanggan sebelum anda berurusan dengan mereka. Dengan penggunaan media sosial dan Internet, ia adalah mudah untuk mengetahui maklum balas pelanggan mengenai mereka.


Iklan dalam talian / SMS atau ‘cold calling’ menawarkan pinjaman


Dari semasa ke semasa, kebanyakan anda pernah menerima panggilan telefon, e-mel, SMS, dan lain-lain yang menawarkan kad kredit, pinjaman peribadi dan banyak lagi. Atau mungkin anda pernah lihat iklan Facebook yang menawarkan pinjaman. Ini tidak bermaksud bahawa setiap tawaran yang anda terima menerusi saluran ini adalah penipuan. Sebahagian daripadanya adalah daripada sumber yang sah seperti bank.


Petua pertama adalah anda perlu jelas dengan apa yang ditawarkan kepada anda. Kemudian, sahkan dari mana asalnya sumber tersebut. Sekiranya anda membuat permohonan melalui laman web, pastikan URL laman web itu adalah sah dan terjamin kerana terdapat situasi di mana penipu membuat akaun media sosial palsu yang sangat mirip dengan sumber sebenar. Kemudian, penipu tersebut menggunakan akaun palsu untuk memaparkan iklan pinjaman palsu di atas media sosial.


Sekiranya anda menerima SMS atau ‘cold call’ daripada individu yang memberitahu anda bahawa dia berasal daripada bank atau institusi kewangan dan menawarkan pinjaman yang anda tidak pernah mohon, periksa nombor telefon tersebut dan berhati-hatilah jika ia adalah nombor telefon bimbit. Sekiranya anda tidak pasti, anda boleh mendapatkan nama dan membuat panggilan ke pejabat untuk mengesahkan jika individu tersebut benar-benar menelefon dari institusi seperti yang dikatakan.


Selain itu, terdapat juga kes di mana individu yang mengaku sebagai ejen AKPK menawarkan perkhidmatan pengurusan hutang. Contoh bagaimana penipuan ini berfungsi adalah dengan meminta peminjam untuk memohon pinjaman peribadi untuk menyelesaikan hutang yang masih belum selesai. Kemudian penipu itu membantu mangsa memohon kepada AKPK. Mangsa diberitahu bahawa Program Pengurusan Hutang (Debt Management Programme) tersebut adalah pinjaman khas dari Bank Negara. Akhirnya, mangsa tersebut telah membayar kira-kira RM20,000 kepada penipu itu untuk ‘perkhidmatannya’. Oleh itu, harap anda semua boleh berhati-hati. Penipu sebegini ini adalah sangat kreatif dengan taktik kotor mereka.

Sekiranya anda mempunyai keraguan terhadap individu yang anda sedang berurusan, anda boleh layari ke Portal Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia. Portal ini diusahakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) atau dikenali sebagai Commercial Crime Investigation Department (CCID). Setiap maklumat mengenai kes yang telah dilaporkan sebelum ini disimpan di dalam portal tersebut. Oleh itu, jika anda merasakan ada pihak yang mencurigakan yang ingin anda periksa, apa yang anda boleh lakukan adalah dengan memasukkan nombor akaun bank atau nombor telefon ke dalam portal CCID.


Langkah untuk menggunakan Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil:

  1. Layari -> http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/

  2. Pilih kategori ‘Nombor Akaun’ atau ‘Nombor Telefon’

  3. Masukkan maklumat suspek penipu

  4. Isikan ‘Captcha’ seperti yang dipaparkan

  5. Klik butang ‘Semak Maklumat’

Atau anda boleh muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’. Aplikasi ini hanya boleh digunakan oleh pengguna Android. Langkahnya senang sahaja. Anda hanya perlu masukkan nombor akaun atau nombor telefon suspek di aplikasi tersebut dan klik semak. Hasil maklumat semakan akan dipaparkan sekiranya ada rekod seperti yang ditunjukkan di gambar di bawah.


Andaikan agensi kewangan yang anda berurusan adalah sah tetapi mereka mengenakan bayaran. Dalam keadaan seperti ini, cuba perhatikan dan periksa sama ada akaun bank yang diberikan kepada anda adalah akaun peribadi atau akaun syarikat. Begitu juga dengan nombor telefon, periksa sama ada ia adalah nombor telefon syarikat berdaftar atau nombor telefon individu. Anda boleh periksa maklumat tersebut jika anda mempunyai akses.


Apa yang anda perlu buat sekiranya ditipu?




Sekiranya nombor akaun atau nombor telefon yang dimasukkan mempunyai rekod laporan penipuan di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan transaksi telah dilakukan, anda perlu ikuti langkah tindakan yang dihuraikan ini.

  1. Membuat laporan polis – Menyertakan segala bukti yang anda ada seperti resit transaksi, perbualan Whatsapp, info penipu tersebut dan sebagainya. Ada banyak kes yang mangsa diugut oleh penipu apabila mangsa tidak mahu membayar duit deposit atau ingin membatalkan permohonan pinjaman. Laporan polis boleh berfungsi sebagai bukti sekiranya mangsa diugut. Anda boleh buat laporan melalui WhatsApp atau SMS (013-2111222) dari 8 a.m sehingga 12 a.m. setiap hari.

  2. Hubungi penasihat kewangan – Dapatkan bantuan nasihat sekiranya ia melibatkan jumlah kewangan yang besar. Contohnya seperti AKPK. Sekiranya anda telah melakukan transaksi kewangan dengan penipu, besar kemungkinan adalah sukar untuk mendapatkan balik wang pinjaman anda. Jadi, cuba minta khidmat nasihat dan lihat apa yang anda boleh lakukan seterusnya.

  3. Maklum & kongsi pengalaman anda – Jangan rasa malu untuk kongsikan pengalaman anda di media sosial agar kejadian ini tidak berlaku ke atas orang lain. Mana tahu, pos yang anda kongsikan di Facebook boleh jadi viral dan orang ramai bantu cari dan dedahkan identiti penipu?

Jadilah peminjam yang bijak

Berhati-hati sekiranya pinjaman yang ditawarkan kepada anda mempunyai satu atau lebih tanda amaran yang dihuraikan. Pastikan anda menyemak dengan teliti siapa anda sedang berurusan sebelum meneruskan tindakan lanjut.


Kami ingin mengingatkan sekali lagi bahawa pemberi pinjaman yang sah tidak akan meminta sebarang wang pendahuluan atau perkhidmatan daripada peminjam. Jadilah peminjam yang bijak dan hanya pinjam daripada peminjam yang sah!


13 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page