top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

Duit Ringgit Makin Kukuh ke?


TREND peningkatan dan pengukuhan nilai mata wang ringgit sejak kebelakangan ini adalah sesuatu yang amat baik kepada ekonomi negara kerana hampir 60 peratus daripada dagangan Malaysia melibatkan negara luar, khasnya negara-negara Asia.


Pengukuhan ini juga mencerminkan ekonomi negara dalam fundamental yang teguh, seterusnya bergerak positif kepada asas ekonomi dan pemulihan yang lebih kukuh.

Peningkatan kukuh ringgit berbanding mata wang utama dunia seperti dolar AS , Euro dan mata wang serantau telah menjadikan mata wang ringgit adalah terbaik dari segi peningkatan prestasi di Asia, sejak Januari lalu. Berdasarkan rekod, pengukuhan nilai ringgit berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat 12 peratus sejak lebih 12 bulan lalu. Untuk rekod, ringgit telah didagangkan pada 3.0310/ 0335 berbanding dolar AS pada sesi pagi Isnin lepas.


Pengukuhan nilai ringgit ini bakal menjadikan ekonomi negara kembali ke dalam radar pelabur-pelabur asing untuk menambah pelaburan di Malaysia. Peningkatan begitu memberangsangkan dapat dilihat daripada jumlah peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia. Berdasarkan Laporan Pelaburan Dunia Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang dikeluarkan pada 17 januari lalu, menunjukkan kenaikan jumlah FDI ke Malaysia telah meningkat kepada RM21.35 bilion pada 2010 berbanding dengan RM4.25 bilion pada 2009. Malaysia juga telah muncul sebagai negara paling tinggi merekodkan kemasukan FDI dalam kalangan negara Asia pada 2010 iaitu dengan jumlah kenaikan sebanyak 409.7. Dibandingkan dengan lain-lain negara ASEAN, pertumbuhan aliran masuk FDI pada tahun yang sama ke Indonesia pada kadar 162.7 peratus, Singapura 122.7 peratus, manakala Thailand hanya 14.2 peratus.

Pengukuhan mata wang ringgit bakal memacu negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 hasil daripada keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara yang semakin pulih hasil tindakan kerajaan merencana dan melaksanakan program yang menyokong pemulihan serta kerancakan ekonomi negara melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB).


Pengumuman 19 projek baru ETP menerusi 10 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membabitkan pelaburan kira-kira RM67 bilion merangkumi sektor minyak, gas dan tenaga dijangka mampu menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM36 bilion setiap tahun dan menyediakan kira-kira 35, 000 peluang pekerjaan. Ia akan merancakkan lagi ekonomi negara sekali gus menjadi momentum terbaik untuk meningkatkan pelaburan swasta (pelabur dalam dan luar negara) sebagai pemacu utama ekonomi negara.


Rakyat akan mendapat manfaat apabila pengukuhan nilai ringgit ini juga menyebabkan berlakunya peningkatan kuasa beli, selain memberi keuntungan apabila melakukan transaksi yang melibatkan kadar tukaran mata wang asing. Di samping itu, rakyat negara ini akan menerima faedah dari segi penstabilan harga barangan dan pada masa yang sama, pengukuhan nilai ringgit ini membantu mengehadkan tekanan inflasi. Justeru itu, secara tidak langsung ia akan menyebabkan struktur ekonomi negara berkembang sejajar dengan lonjakan nilai pendapatan rakyat.


Kalau dibaca laporan UTUSAN baru-baru ini, Ringgit Malaysia dijangka akan terus meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Tapi betul kah apa yang kita baca?

Sekarang ini sudah mula ada kebimbangan mereka-mereka yang lebih arif dalam bidang ekonomi dan kewangan mengenai kenaikan mata wang ini. Ini kerana sebenarnya dan realiti sekarang ini bukan Ringgit Malaysia sahaja yang terus meningkat malahan nilai mata wang serantau termasuklah won, peso, baht, rupiah, rupee, dollar Singapore semuanya naik. Ini semuanya berpunca daripada ahli-ahli ekonomi yang meramalkan nilai USD akan terus merosot. Jadi, puak-puak pengurus dana yang memiliki dana berbilion telah mengambil tindakan melabur dalam mata wang lain termasuklah mata wang Ringgit Malaysia.


Tun Dr Mahathir pun ada berikan peringatan baru-baru ini. Malaysia perlu berhati-hati dengan pengurus-pengurus dana asing yang datang dan terus-terusan menekan indeks sehingga naik lebih 1500 mata. Memang itu kerja mereka. Mereka datang dan terus beli, beli dan beli. Apabila indeks semakin naik nanti, retail investors yang boleh diibaratkan “ikan bilis” ini akan “kelabu mata” melihat kenaikan tersebut.


Di sinilah akan ada kemungkinan masalah besar yang tidak disangka-sangka akan berlaku kalau tidak berhati-hati .


Pada masa itu, retail investors (ikan bilis) akan terus beli, beli manakala pengurus dana asing (jerung besar) akan jual, jual dan jual sehingga harga saham jatuh merudum. Akhirnya retail investors (ikan bilis) yang tak sempat mengaut keuntungan daripada harga saham tersebut boleh menyebabkan mereka-mereka ini akan muflis. Pengurus-pengurus dana asing ini berbondong-bondong akan datang ke rantau sebelah sini disebabkan ekonomi AS dan Eropah pun “hidup segan mati tidak mahu”. Dengan permintaan domestik yang lemah disebabkan orang tiada kerja, kadar faedah kerajaan di sebelah sana pun dibiarkan rendah serendah-rendahnya (untuk menggalakkan kegiatan ekonomi).


Jadi mereka-mereka ini (pelabur dana asing) tak boleh nak buat untung besar dalam jangka masa pendek berbanding rantau di sebelah sini yang mana di sini, ekonomi secara amnya dikira agak stabil walaupun sesetengah negara biasa-biasa sahaja daripada segi kadar pertumbuhannya, tetapi sekurang-kurangnya permintaan dalam negara masih boleh dikatakan agak tinggi. Apabila mata wang dolar Amerika punya devaluation sudah mula meningkat semula dan pelabur dana asing ini akan serta merta dump mata wang-mata wang ini dan membeli semula mata wang USD. Ini semua memang kerja mereka.


Jadi apa yang sebenarnya situasi yang dihadapi?


Tidak dinafikan yang ekonomi negara beransur pulih walaupun sebahagian besar negara di dunia termasuk Amerika Syarikat dan di Eropah masih bergolak dalam penstrukturan ekonomi mereka. Ada di antara negara tersebut yang masih gagal menangani hutang kerajaan, menangani masalah pengangguran dan terpaksa memotong gaji kakitangan kerajaan sehingga 20 ke 30 peratus bagi mengatasi masalah itu. Krisis kewangan yang melanda AS telah masuk hampir 4 tahun.. Jika dahulu masalah ekonomi dunia disebabkan oleh kegagalan syarikat Insurans terbesar U.S dan Lehman Brothers dalam sistem kewangan U.S, kini masalah menjadi semakin buruk dengan kegawatan kewangan di Eropah. Ramai pelabur gusar dengan tindakan pemberian pinjaman kepada Greece. Ini akan menyebabkan lebih banyak wang dicetak dari nilai pegangan deposit atau asset simpanan sebenar. Kesannya, kejatuhan nilai mata wang Eropah pula. Kemudian rusuhan di MENA (Middle East & North Africa) pula. Di Asia, atau lebih spesifik China, mereka kini menghadapi masalah Inflasi. Kita dapat lihat dua benua dengan masalah yang berbeza, Barat yang merupakan negara maju dengan masalah Deflasi dan Asia yang merupakan negara membangun dengan masalah Inflasi! Kita di Malaysia kurang terasa bahang ini sebab ekonomi kita di sini lebih banyak tertumpu pembangunan dalaman dengan banyak polisi-polisi negara yang lebih melindungi syarikat-syarikat tempatan. Selain dari itu, kita tidak mempunyai hutang dengan pihak IMF yang mana tindakan berbuat demikian akan lebih member impak terhadap kadar pinjaman negara.


Memang betul itu semua tetapi dibandingkan dengan negara-negara lain, kita masih lemah. Selain itu juga, kadar inflasi di Malaysia juga mencanak naik. Kalau ringgit dah kukuh, sepatutnya kadar inflasi boleh dikekang. Tetapi harga hampir semua barang semakin naik terutamanya keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, daging dan isu yang terbaru sekali ayam. Pengukuhan mata wang negara lazimnya membawa kesan kepada dua perkara – mengurangkan daya saing industri eksport negara dan mengurangkan inflasi kerana barangan import telah menjadi lebih murah.


Namun, yang aneh apabila ringgit semakin kukuh, tiada tanda-tanda bahawa kadar inflasi akan berkurangan.


Apa yang menyumbang kepada keadaan ini?


PETROL.


Teruskan membaca.


Harga barang sekarang sudah sedia mahal. Kalau dinaikkan lagi, kesan negatifnya memang sudah dijangka. Petrol adalah satu keperluan umum buat masa ini, di mana ianya menggerakkan kenderaan kita dari satu destinasi ke satu destinasi. Walaupun harga di negara kita masih rendah berbanding negara jiran, ia bukanlah alasan kukuh untuk menaikkan harga mengikut pasaran kerana tidak wajar menteri-menteri ini membandingkan harga minyak Malaysia dengan negara bukan pengeluar minyak seperti Thailand, Singapura dan juga Vietnam.


Mereka tidak membeli kereta pada harga yang tinggi disebabkan cukai kenderaan yang tinggi. Bagi sebuah negara yang membelanjakan sejumlah wang yang besar pada subsidi bahan bakar, Malaysia memang rugi dari satu sudut. Namun, justifikasi harus dinilai mengikut kutipan cukai kenderaan. Kalau perbandingan begini dibuat, maka anda akan lihat bahawa julat angka subsidi sebenarnya tidaklah begitu besar.


Benar, cukai kenderaan boleh digunakan untuk tujuan lain, contohnya kebajikan. Maka kebajikan itu adalah dengan mensubsidi kan cukai kenderaan kepada subsidi bahan bakar.

Isu yang paling penting adalah hasil dari kesan domino terhadap kenaikan harga minyak tersebut kepada harga barang-barang keperluan lain. Kalau harga gula naik, kami tak kisah sangat, tapi kalau sampai harga beras, tepung, ayam, ikan, dan banyak lagi barang-barang keperluan dan makanan yang kita perlu jamah setiap hari yang turut sama naik, apa natijahnya?

Jika trend ini tidak berubah, hierarki masyarakat kita akan bertambah buruk dalam masa-masa akan datang. Perdana Menteri menyasarkan negara akan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Tetapi, apakah maknya itu semua jika pendapatan per kapita yang meningkat hanya melibatkan peratusan kecil kumpulan masyarakat berpendapatan kelas tinggi?


Agihan kekayaan dalam ekonomi moden seharusnya adil untuk segala lapisan masyarakat. Cakap-cakap mengenai ringgit semakin kukuh sedangkan dolar Amerika semakin merosot, adalah hanya di atas kertas. Anda boleh lihat sahaja harga barang keperluan hari ini.


Perkembangan ekonomi begini akan memberi impak negatif terhadap hierarki masyarakat. Golongan menengah akan terus dihimpit turun ke golongan miskin manakala golongan elit akan terus memanjat kekayaan. Sampai satu masa nanti, jurang masyarakat kita hanya dipisahkan dari 2 golongan, iaitu yang kaya dan juga yang miskin. Tanpa golongan masyarakat kelas menengah, inflasi akan menjadi tidak terkawal dan sudah pastinya ia sesuatu yang tidak baik untuk pembangunan sesebuah negara.


Adakah ringgit makin kukuh? YA


Adakah ia mengukuhkan keadaan kewangan anda? FIKIR KEMBALI. 

8 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page