“ Bala Pinjaman Wang Segera Ah Long. Tangan kaki ditetak. Telinga jari putus”
Membaca tajuk akhbar ini sahaja sudah cukup mengerikan, namun ini kisah benar. Ini lah penderitaan yang dialami oleh A.Muthukrishan, seorang peniaga daging yang diancam ugutan demi ugutan oleh konco-konco Ah Long setelah dia gagal melunaskan bayaran ansuran pinjaman yang dibuat dengan Ah Long. Pinjaman sebanyak RM50, 000 yang dibuat dengan syarikat pinjaman berlesen sejak tahun 2006 itu, memerlukan dia membayar sebanyak RM200 setiap hari.
Detik hitam hidupnya bermula setelah dia gagal melunaskan baki pinjaman sebanyak RM13, 000. Konco-konco Ah Long ini tadi mula menganggu hidupnya dan membuat ancaman dan ugutan. Dia kemudiannya dipaksa untuk menyerahkan rumah yang dicagarnya. Dia berkeras tidak mahu menyerahkan rumahnya, lantas dipukul dan kedua tangan dan kakinya kemudiannya ditetak. Telinga kanannya dihiris dan ibu jarinya pula dipotong dan dibawa balik oleh konco-konco Ah Long ini untuk dijadikan bukti kepada ketua yang mereka ini telah menjalankan tugas mereka.
Ah Long adalah antara istilah popular bagi ‘ceti haram’. Mereka juga dikenali dengan nama gelaran ‘lintah darat’. Perkataan Ah Long itu sendiri diambil daripada perkataan Cina yang bermaksud ‘Naga’. Ah Long merujuk kepada badan pinjaman atau orang perseorangan yang menawarkan pinjaman kewangan secara haram pada kadar faedah yang sangat tinggi, ada kalanya setinggi 40% kepada peminjam. Keingkaran peminjam untuk membayar balik pinjaman akan disusuli dengan ugutan dan ancaman. Ah Long ini juga tidak akan ragu-ragu untuk melakukan keganasan sekiranya ugutan dan ancaman yang dibuat tadi tidak mendatangkan sebarang hasil.
Sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran Ah Long, antaranya ialah mereka yang tidak boleh memperoleh pinjaman daripada bank atau institusi kewangan yang sah akibat telah di senarai hitam kan oleh pihak bank. Ah Long juga menyasarkan peminjam yang terdiri daripada peniaga kecil yang memerlukan modal untuk memulakan perniagaan, peniaga yang menghadapi masalah kewangan, kaki judi malahan suri rumah juga turut menjadi sasaran mereka.
Strategi Ah Long
Pelbagai cara digunakan oleh sindiket pinjaman wang haram atau Ah Long ini untuk menjerat mangsa mereka. Ada yang menggunakan pendekatan memasukkan kad nama mereka dalam peti pos kediaman dan premis perniagaan. Ada juga yang menampalkan iklan tawaran pinjaman syarikat mereka pada tiang-tiang lampu, tempat awam, di tepi jalan raya dan sebagainya. Siapa yang tidak tertarik jika ada di antara iklan ini yang menggunakan kata-kata yang menarik seperti ‘Pinjam RM1000, Dapat RM1200”. Ada juga di antara Ah Long kini yang menjadi lebih licik dengan menggunakan surat yang dipos kepada syarikat-syarikat tertentu. Mereka ini menyasarkan golongan peniaga kecil dan pemilik syarikat. Kandungan surat itu adalah iklan pinjaman wang serta nombor telefon untuk dihubungi sekiranya berminat.
Bila ditanya kepada mangsa Ah Long, ada yang tertarik dengan tawaran pinjaman yang diberikan kerana kata mereka Ah Long ini kelihatan sangat profesional serta bijak menggunakan bahasa lembut yang menarik minat mereka untuk melakukan pinjaman.
Dalam menawarkan pinjaman kepada pelanggannya pula, syarat yang dikenakan oleh Ah Long amat longgar, hanya bersandarkan penyata gaji sahaja pinjaman boleh dilakukan. Peminjam juga tidak memerlukan penjamin, malahan mereka yang sudah berada dalam senarai hitam oleh pihak bank tempatan juga berpeluang untuk melakukan pinjaman. Had pinjaman yang diberikan juga agak tinggi, namun sebenarnya makin tinggi pinjaman yang dibuat maka peminjam akan berhadapan dengan kadar faedah pinjaman yang juga agak tinggi!.
Daripada sudut proses pinjaman pula, Ah Long menawarkan proses pinjaman yang mudah, tanpa perlu menyediakan kertas kerja dan penyediaan pelbagai jenis dokumen yang lain. Walau bagaimanapun, terdapat mangsa Ah Long yang memberitahu yang mereka perlu menandatangani borang perjanjian yang dikosongkan. Di sinilah taktik sebenar Ah Long itu tadi. Kertas kosong yang mengandungi tandatangan peminjam ini kemudiannya akan dicetak terma dan syarat serta jumlah ansuran yang perlu dibayar. Kajian mendapati ada Ah Long yang mengenakan kadar faedah yang tinggi, antara 6 hingga 30 peratus sebulan sedangkan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, maksimum kadar faedah yang boleh dikenakan ialah 18 peratus setahun tanpa cagaran ataupun maksimum 12 peratus setahun sekiranya ada cagaran.
Setelah segala urusan pemprosesan berakhir, Ah Long ini kemudiannya akan menyediakan wang pinjaman. Urusan pemprosesan boleh diselesaikan dalam masa 24 jam sahaja dan wang pinjaman kemudiannya akan diberikan kepada peminjam. Daripada segi pembayaran semula, ada Ah Long yang menawarkan bayaran balik sehingga RM10 sehari bagi peminjam untuk membuat bayaran ke atas pinjaman yang dibuat. Segala-galanya dilakukan tanpa dokumen hitam putih, hanya perlu cagarkan salinan pasport atau kad pengenalan sahaja!
Baru-baru ini telah terbongkar kes sindiket Ah Long yang membuka pusat perjudian internet di kawasan kediaman dan perindustrian bagi menarik pekerja kilang rakyat tempatan dan asing untuk berjudi dan berhutang dengan mereka. Ah Long ini tadi menawarkan kadar faedah pinjaman wang yang tinggi dan sudah tentunya jika gagal membayar hutang, pendekatan ganas akan dilakukan dengan mengugut dan mencederakan pekerja terbabit. Ada antara mereka yang terpaksa menyerahkan kad ATM mereka bagi membolehkan Ah Long ini tadi mengeluarkan wang gaji mereka untuk membayar balik hutang pada setiap bulan.
Contoh Kekejaman Ah Long
Yorumlar