top of page
Search
Writer's pictureNorman Abdullah

Panduan Pelaburan Saham: Cara Buka Akaun CDS & Trading


Ramai yang berminat nak mulakan pelaburan saham, tetapi ramai yang masih tersekat pada langkah pertama kerana tidak tahu cara buka akaun CDS (Central Depository Service @ depositori pusat) dan trading (perdagangan @ jual-beli)


Tanpa akaun CDS dan trading, memang mustahil untuk mulakan pelaburan saham.

Sebab itulah ada orang kata, jangan sembang lebat pasal pelaburan saham kalau akaun CDS dan trading pun tiada lagi.


Jadi, nak melabur saham, kenalah buka akaun CDS dan trading terlebih dahulu.

Sebelum kita pergi lebih lanjut berkenaan cara buka akaun CDS dan trading, mari berkenalan dahulu dengan kedua-dua akaun ini.


Central Depository Service (CDS) Account @ Akaun Depositori Pusat


Akaun CDS adalah akaun yang dibuka dengan Bursa Malaysia dan merupakan tempat menyimpan saham-saham yang dibeli.


Akaun CDS boleh dibuka oleh individu berumur 18 tahun ke atas dan juga oleh syarikat, persatuan, pemegang amanah dan badan berkanun.


Kalau dulu, apabila membeli saham, pelabur akan diberi sijil yang mengandungi maklumat berkaitan saham-saham yang dibeli.


Sekarang, sijil sudah tidak wujud lagi, sebaliknya semua maklumat disimpan secara elektronik menerusi akaun CDS.


Secara umumnya, akaun CDS boleh dibahagikan kepada dua jenis; direct (terus) dan nominee (penama)


Jika membuka akaun CDS direct, nama pelabur akan terus dicatatkan pada akaun tersebut.


Dengan akaun CDS direct, dividen daripada syarikat yang dibeli akan terus dimasukkan ke dalam akaun pelabur dan pelabur boleh menghadiri mesyuarat tahunan (Annual General Meeting, AGM) yang dianjurkan syarikat tersebut.


Pelabur juga boleh terus membeli kaunter IPO (Initial Public Offering, Tawaran Permulaan Awam), yang mana merupakan kaunter-kaunter yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia.

Akaun CDS nominee pula tidak mencatatkan nama pelabur sebagai pemilik akaun, sebaliknya nama syarikat broker yang dilantik sebagai penama.


Dividen yang diberikan syarikat tidak akan dimasukkan terus ke akaun pelabur, sebaliknya akan diuruskan oleh syarikat nominee dengan mengenakan caj tertentu.


Akaun CDS nominee tidak membolehkan pemilik sebenar akaun menghadiri AGM syarikat secara terus, sebaliknya perlu memohon keizinan syarikat nominee.


IPO juga tidak boleh dibeli melalui akaun CDS nominee.


Walaupun banyak kekurangan, kenapa akaun CDS nominee diwujudkan?


Ini apa yang saya tahu; kebanyakan orang kaya yang ingin ‘menyembunyikan’ kekayaan mereka akan menggunakan akaun CDS nominee untuk menyimpan saham-saham mereka.

Saham-saham tersebut akan diletakkan atas nama syarikat penama, bukannya secara terus atas nama mereka.


Lagipun, seorang pelabur individu dibenarkan membuka hanya satu akaun CDS di bawah namanya (akaun CDS direct), tetapi boleh membuka beberapa akaun CDS lain di bawah nama syarikat penama (akaun CDS nominee)


Jika nak buka akaun CDS direct lebih dari satu akaun, kena buka dengan syarikat broker yang berasingan.


Tambahan lagi, pelabur atau spekulator yang ingin menggunakan kemudahan collateral atau margin yang lebih berisiko untuk mendapatkan keuntungan segera perlu menggunakan akaun CDS nominee.Baca juga:  5 Peraturan Melabur Yang Mesti Difahami



rading Account @ Akaun Perdagangan/Jual-beli


Akaun trading dibuka dengan syarikat broker, dan merupakan akaun yang digunakan untuk berjual-beli saham.


Modal akan dimasukkan ke dalam akaun trading terlebih dahulu, kemudian duit tersebut digunakan untuk membeli saham dan maklumat saham yang dibeli akan disimpan menerusi akaun CDS.


Apabila saham yang dibeli tadi dijual, hasil jualan akan dimasukkan semula ke dalam akaun trading; itulah fungsi asas akaun trading.


Akaun trading boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, antaranya adalah:


#1 Akaun tunai (cash upfront)


Pelabur perlu memasukkan dahulu duit ke dalam akaun ini sebelum membeli mana-mana saham, dan jumlah unit saham yang boleh dibeli dihadkan kepada jumlah duit yang ada sahaja.


Bayaran untuk pembelian saham dilakukan serta-merta dengan menolak baki duit yang ada.

Kelebihan akaun ini adalah yuran yang lebih murah dan risiko lebih rendah kerana anda dihadkan membeli unit saham mengikut baki duit yang ada sahaja.


#2 Akaun cagaran (collateral)


Akaun ini membenarkan pelabur membeli lebih daripada jumlah duit yang ada dalam akaun trading tersebut, contohnya 2 kali ganda daripada baki.


Sebagai contoh, katakanlah baki dalam akaun trading collateral ada sebanyak RM 1,000, maka pelabur dibenarkan membeli unit saham sehingga RM 2,000

Jumlah pembelian yang melebihi jumlah baki duit perlu ditambah dalam masa T+3 (trading day + 3 hari)


Contohnya duit dalam akaun RM 1,000 tetapi saham dibeli berjumlah RM 1,700, maka lebihan RM 700 perlu ditambah dalam masa T+3.


Jika tambahan tidak dilakukan, forced selling boleh berlaku; saham yang dibeli akan dijual-paksa untuk menampung tambahan tersebut walaupun harga saham tengah rugi.

#3 Akaun margin (financing)


Akaun ini membenarkan pelabur membuat financing (pinjaman) dengan menggunakan nilai saham sedia ada sebagai cagaran dan membeli saham lain mengikut jumlah margin yang ditetapkan.


Sebagai contoh, nilai saham yang telah sedia ada dimiliki berjumlah RM 50,000, dan margin yang diberikan adalah 60%, maka pelabur boleh membeli tambahan nilai saham sebanyak RM 30,000.


Yang bahayanya menggunakan hutang untuk membeli saham melalui akaun margin ini adalah margin call, apabila syarikat broker meminta untuk mengekalkan margin ketika harga saham jatuh.


Dalam contoh tadi, sekiranya nilai saham sedia ada yang digunakan sebagai cagaran jatuh kepada nilai RM 40,000, maka jumlah margin adalah 60% x RM 40,000 = RM 24,000; ada beza sebanyak RM 6,000 daripada nilai margin asal RM 30,000

Maka, untuk menjawab margin call, pelabur sama ada perlu menambah RM 6,000 secara tunai, atau menjual saham sedia ada (yang sedang rugi) untuk menampung margin call tersebut.


Sebab itulah, melakukan pelaburan saham secara hutang sama ada melalui collateral atau margin adalah lebih berisiko.


Jadi, bagi pelabur biasa, lebih baik buat pelaburan secara tunai sahaja.


Satu perkara lagi yang perlu dipertimbangkan tentang adalah sama ada nak buka akaun patuh syariah atau akaun konvensional.


Akaun patuh syariah memastikan pelabur hanya terlibat dengan urusan dan saham patuh syariah sahaja, kerana tidak dibenarkan membeli saham berstatus tidak patuh syariah.

Jika memiliki akaun konvensional pula, boleh membeli kedua-dua jenis saham patuh syariah dan tidak patuh syariah, tetapi jika tidak berhati-hati, boleh tersalah terlibat dalam urusan berkaitan riba.


Contohnya, jika membuat financing atau margin dengan akaun konvensional, sudah semestinya terlibat dengan riba walaupun membeli saham patuh syariah.


Kedua-dua akaun konvensional dan patuh-syariah ada kelebihan dan kekurangannya, nanti boleh tanya pada remisier/dealer yang anda berurusan.


Itulah serba sedikit penerangan berkenaan akaun CDS dan trading secara umum, kalau nak lebih banyak maklumat, kenalah tanya remisier/dealer yang akan dijumpai apabila buka akaun CDS dan trading nanti.

Apabila dah jelas tentang jenis-jenis akaun CDS dan trading, jadi nanti apabila nak buka kedua-duanya, digalakkan buka akaun CDS direct dan akaun trading tunai (cash)


Cara buka akaun CDS dan trading


Sekarang kita pergi ke topik sebenar artikel ini, iaitu cara buka akaun CDS dan trading bagi memulakan pelaburan saham.


Saya akan ceritakan berdasarkan pengalaman saya membuka kedua-dua akaun tersebut sebelum ini.


Untuk buka akaun CDS dan trading, boleh ikut langkah-langkah yang berikut:


Langkah #1 Kenalpasti syarikat broker


Akaun CDS dan trading perlu dibuka melalui syarikat-syarikat broker yang sah, yang mana akan melantik remisier atau dealer untuk berurusan dengan bakal pelabur.


Senarai syarikat-syarikat broker yang sah boleh dilihat di laman web Bursa Malaysia di sini: http://www.bursamalaysia.com/market/securities/equities/brokers/list-of-participating-


Pilih syarikat broker yang berkenan di hati (contoh dulu saya pilih Maybank Investment Bank, sebab dah ada akaun simpanan Maybank dan Maybank2u, maka urusan akan lebih mudah)Baca juga:  3 Perkara Perlu Tahu Tentang Pelaburan Emas


Langkah #2 Dapatkan maklumat berkenaan syarikat broker


Selepas kenalpasti syarikat broker yang berkenan di hati, kenalah dapatkan maklumat selanjutnya terutama lokasi dan nombor telefon.


Boleh dapatkan alamat cawangan-cawangan syarikat broker di laman web Bursa Malaysia, sepertimana pautan yang diberikan di atas.


Boleh pilih mengikut nama syarikat, ataupun nama negeri.


Tetapi, bagaimana pula kalau cawangan-cawangan syarikat broker tersebut terletak jauh daripada tempat tinggal kita?


Contohnya, cawangan-cawangan Maybank Investment Bank hanya terdapat di Kuala Lumpur, Selangor (Klang, Petaling Jaya), Perak (Ipoh), Negeri Sembilan (Seremban) dan Pulau Pinang (Penang)


Bagaimana orang di negeri-negeri lain nak buka akaun CDS dan trading dengan Maybank Investment Bank?


Jangan risau, sesetengah syarikat broker mempunyai share investment/trading center di cawangan-cawangan bank mereka seperti Maybank dan CIMB.


Boleh google dan cari laman web syarikat broker tersebut untuk lihat alamat share investment/trading center yang berdekatan, contohnya di laman web Maybank Investment (Locate us – http://www.maybank2u.com.my/Investment-bank/en/contact-support/locate-branches.page?) dan iTrade@CIMB (Locator – https://www.itradecimb.com.my/index.php?tpl=locator&tpt=itrade2)

Boleh juga telefon ke ibu pejabat syarikat broker tersebut dan tanya di mana cawangan bank yang menjadi share investment/trading center atau mempunyai remisier/dealer untuk buka akaun CDS dan trading.


Langkah #3 Berjumpa dengan remisier/dealer


Selepas dapat kenalpasti lokasi syarikat broker atau share invenstment/trading center, bolehlah pergi ke sana berjumpa dengan remisier/dealer untuk buka akaun CDS dan trading.


Sebelum pergi, boleh telefon dulu untuk buat temu janji agar nanti ada remisier/dealer yang sedia melayan anda.


Jika tak buat temujanji dan nak terus terjah pun tidak mengapa, cumanya dibimbangi remisier/dealer di tempat yang ingin dituju tersebut bercuti atau ada urusan lain, jadi nanti tak dapatlah nak buka akaun CDS dan trading.


Kalau pergi ke pejabat cawangan syarikat broker mungkin tiada masalah sebab terdapat ramai remisier/dealer, tetapi jika ke share investment/trading center, remisier/dealer yang ada mungkin tak ramai.


Jika ke share investment/trading center, perlu tahu yang biasanya remisier/dealer tidak berada di kaunter tempat buka akaun simpanan atau urusan bank biasa.


Jadi, di kaunter pertanyaan, bolehlah bagitahu yang anda nak buka akaun CDS dan trading, nanti kakitangan di situ akan tunjukkan arah untuk jumpa remisier/dealer, mungkin perlu masuk ikut pintu masuk lain atau naik ke tingkat atas.


Langkah #4 Buka akaun CDS dan trading


Apabila dah jumpa remisier/dealer, bolehlah mula buka akaun CDS dan trading.

Ikut pengalaman saya, remisier yang saya jumpa dulu berikan sedikit penerangan berkenaan pelaburan saham, akaun CDS dan akaun trading terlebih dahulu.


Kalau ada apa-apa persoalan, boleh terus tanya pada remisier/dealer yang dijumpai.

Untuk buka akaun CDS dan trading, kena bawa salinan kad pengenalan, penyata bank dan bayaran RM 10.60 (berserta GST 6%)


Selepas isi beberapa borang, serahkan dokumen dan beri bayaran yang diperlukan, maka hampir selesailah urusan buka akaun CDS dan trading.


Yang tinggal, hanya perlu tunggu akaun CDS disahkan oleh Bursa Malaysia dan pengaktifan di online trading platform.


Jangan risau, remisier/dealer akan terangkan langkah-langkah untuk mengaktifkan akaun online trading platform.


Pengesahan akaun CDS dan trading mungkin mengambil masa beberapa hari bekerja, biasanya tidak melebihi 7 hari.


Selepas akaun CDS dan trading disahkan, bolehlah aktifkan online trading platform.

Langkah #5 Mulakan pelaburan saham


Selepas pengaktifan online trading platform, sekarang bolehlah mulakan pelaburan saham.

Oleh kerana tadi buka akaun trading tunai, maka perlulah letakkan dahulu duit dalam akaun trading sebagai modal.


Boleh tanya remisier/dealer bagaimana cara untuk masukkan duit ke dalam akaun trading.

Macam saya, oleh kerana saya buka akaun trading dengan Maybank Investment Berhad, maka saya boleh gunakan Maybank2u untuk pindahkan duit daripada akaun simpanan biasa ke akaun trading.


Apabila modal dah ada dalam akaun trading, bolehlah beli kaunter saham yang dikehendaki.

Ingat, jual beli saham hanya boleh dilakukan ketika hari (Isnin – Jumaat, kecuali cuti umum) dan waktu bekerja (8.30 pagi – 4.30 petang, kecuali waktu rehat tengahari 12.30 – 2.00 petang) sahaja.


Biasa-biasakan diri menggunakan online trading platform; kenalpasti nama kaunter, kod kaunter, harga jual dan harga beli.


Kalau tak pandai nak gunakan online trading platform, boleh minta tunjuk ajar daripada remisier/dealer.


Selamat melabur!

408 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page