(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 12 September 2019 dan dikemas kini pada 27 Mac 2020).
Berdasarkan rujukan dari Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah Dan Kemudahan Asas 2016, golongan B40 merujuk pada golongan rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah terendah iaitu kurang dari RM3,000 sebulan. Bagi mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup bagi golongan B40 ini, kerajaan telah menawarkan pelbagai skim bantuan kewangan di Malaysia.
Dalam kupasan artikel kali ini, kami akan senarai dan kongsikan kepada anda bantuan kewangan yang boleh anda manfaatkan untuk membantu kemampuan kewangan anda dalam pelbagai aspek kehidupan seharian.
Dahulunya dikenali sebagai BR1M, Bantuan Sara Hidup adalah dalam bentuk wang tunai yang dikreditkan ke dalam akaun penerima dengan tujuan bagi membantu meringankan beban golongan B40.
Syarat kelayakan dan jumlah wang bantuan bagi penerima akan dikemas kini setiap tahun berdasarkan pengumuman dari kerajaan. Bagi tahun 2020 ini, rujukan bagi syarat kelayakan penerima boleh didapati di sini.
2. PeKa B40
Skim PeKa B40 ini adalah Skim Peduli Kesihatan bagi golongan B40. Ini adalah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah. PeKa B40 diwujudkan untuk memberi fokus terhadap masalah kesihatan utama seperti penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental, rawatan kanser, kos alat perubatan dan masalah pengangkutan.
Bagi program ini, RM100 juta telah diperuntukkan dalam Bajet 2019 bagi golongan B40 berdasarkan kriteria penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar dan berumur 50 tahun dan ke atas.
Penyertaan dalam program ini adalah automatik berdasarkan data dari BSH 2019 dan tiada pendaftaran diperlukan. Terdapat 4 manfaat utama yang ditawarkan melalui program ini iaitu penerima perlu menjalani Saringan Kesihatan (Manfaat 1) untuk layak mendapatkan manfaat Bantuan Alat Perubatan (Manfaat 2), Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser (Manfaat 3) dan Insentif Tambang Pengangkutan (Manfaat 4).
Skim mySalam adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi menyediakan perlindungan takaful kesihatan percuma kepada 3.8 juta individu B40 yang juga adalah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 yang berumur 18 hingga 65 tahun dan pasangan penerima juga. Skim ini telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.
Skim ini menyediakan manfaat pembayaran sebanyak RM8,000 sekali jika penerima disahkan menghidapi mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal seperti kanser, penyakit jantung, distrofi otot, Alzheimer dan lain-lain. Tambahan lagi, skim mySalam juga menyediakan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari atau RM700 setiap tahun kepada mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital kerajaan. Sebanyak RM4,000 akan diberikan sebagai bayaran untuk penyakit kritikal.
Bil elektrik yang tinggi adalah satu beban bagi mereka yang kurang berkemampuan. Dengan adanya program ini, bil elektrik bulanan setiap penerima akan dibiayai sehingga RM40.
Penerima yang layak menerima bantuan ini terdiri dari Ketua Isi Rumah yang merupakan golongan miskin dan miskin tegar yang disenaraikan dalam Sistem e-Kasih. Walaubagaimanapun, rebat bil elektrik ini hanya terpakai kepada tarif kediaman atau domestik sahaja dan tidak terpakai bagi taraf komersil seperti kedai runcit.
Inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
5. i-Suri-KWSP
Sebagai salah satu usaha bagi memastikan nasib golongan wanita suri rumah tidak diabaikan, kerajaan telah memperkenalkan insentif i-Suri-KWSP bagi golongan suri rumah yang berdaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) setakat 30 Nov 2018.
Antara faedah yang akan diperolehi adalah elaun sebanyak RM 200 pada tahun 2018 dan RM480 pada setiap tahun yang berikutnya, menerima dividen tahunan KWSP, pengecualian cukai pendapatan sehingga RM4,000 dan bantuan kematian sebanyak RM2,500.
Beberapa syarat kelayakan yang ditetapkan adalah golongan suri rumah yang berdaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) yang belum mencapai umur 60 tahun dan isteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR)/Wanita (KIR).
Selain dari bantuan bagi menangani peningkatan kos sara hidup seharian, kerajaan juga menawarkan dana sehingga RM1 bilion untuk membantu kalangan yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri. Institusi kewangan yang terlibat dalam program dana ini adalah bank komersial seperti AmBank, BSN, CIMB Bank, Maybank dan RHB Bank.
Dana ini mempunyai syarat khas bagi pemohon untuk memastikan hanya mereka yang layak dan berkemampuan akan mendapat kelebihan dana ini. Mulai 1 September 2019, gaji pendapatan maksimum pemohon adalah RM4,360. Harga hartanah maksima adalah RM300,000.
Selain itu, kelebihan dana ini adalah kadar faedah yang rendah iaitu 3.5% setahun. Tempoh pembiayaan pinjaman maksimum sehingga 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun. Pemohon akan diberikan program pendidikan kewangan mandatori dari AKPK iaitu RumahKu untuk membantu pemohon memahami komitmen kewangan.
Secara kesimpulannya, bantuan kerajaan yang disenaraikan dalam artikel ini mungkin tidak mencukupi seperti yang dinyatakan oleh Dr Kenneth Simler, Pakar Ekonomi Dunia baru-baru ini. Tetapi, bantuan yang dinyatakan serba sedikit boleh membantu meringankan beban golongan B40.
Comments