Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 7 Februari 2019 dan dikemas kini pada 1 September 2020).
Antara beban yang paling banyak dipikul oleh masyarakat masa kini adalah hutang. Pinjaman termasuk kad kredit boleh menjadi tabiat yang tidak sihat. Apabila anda telah terbiasa dengan tabiat berhutang, kemungkinan untuk anda berbelanja lebih daripada kemampuan adalah tinggi.
Cuba bayangkan jika 50% daripada pendapatan bulanan anda digunakan bagi membayar semula hutang anda? Adakah anda mampu menyimpan untuk dana kecemasan atau persaraan? Jangan hanya bergantung kepada dana KWSP atau dana persaraan sebagai sandaran. Apabila jumlah pinjaman semakin meningkat, ia akan membentuk beban yang amat berat. Lazimnya, situasi sebegini dapat diselesaikan dengan penyatuan hutang.
Isi Kandungan
Apakah itu Penyatuan Hutang?
Bilakah anda patut pertimbangkan penyatuan hutang?
Faktor untuk pertimbangkan penyatuan hutang
1. Lakukan usaha wajar ke atas diri sendiri (senaraikan hutang anda)
2. Cari kadar faedah yang lebih baik
3. Kenal pasti kos pemprosesan, yuran & caj tersembunyi
Manfaat penyatuan hutang
1. Fokus membayar hanya satu ansuran sahaja
2. Bantu mengurangkan komitmen bulanan anda
Kelemahan penyatuan hutang
1. Tempoh bayaran panjang dengan kadar faedah rendah
2. Kemungkinan permohonan ditolak
3. Tidak akan menghapuskan hutang
Cara mohon penyatuan hutang
1. Senaraikan semua hutang sedia ada anda
2. Lakukan pengiraan mudah
3. Mohon dengan pemberi pinjaman yang boleh dipercayai
Kesimpulan
Apakah itu Penyatuan Hutang?
Penyatuan hutang bukannya penghapus hutang atau penyelesaian hutang. Ia adalah satu cara untuk menghimpunkan pelbagai hutang yang anda ada ke dalam satu pinjaman peribadi baru. Bagi mereka yang mempunyai kadar hutang yang tinggi, tindakan ini bertindak sebagai bantuan penyelesaian hutang. Pembekal pinjaman akan menyatukan kesemua hutang anda ke dalam satu akaun.
Penyatuan hutang dan pengstrukturan semula hutang kelihatan serupa walaupun sebenarnya kedua-dua pilihan ini adalah berbeza. Apabila anda memilih untuk menyatukan hutang, anda akan menandatangani dokumen pinjaman baru dan memperoleh akaun baru. Jumlah kesemua pinjaman terdahulu akan menjadi jumlah utama bagi pinjaman yang baru dengan kadar faedah yang sama.
Dalam terma yang lebih mudah, ini bermaksud bahawa anda menggunakan wang dari pinjaman peribadi baru anda bagi menyelesaikan hutang sedia ada. Untuk memastikan bayaran balik pinjaman bulanan berada dalam had kemampuan anda, kadar faedah bagi pinjaman yang disatukan sekurang-kurangnya mestilah lebih rendah daripada kadar purata pinjaman yang anda ada.
Bilakah anda patut pertimbangkan penyatuan hutang?
Berikut adalah tanda-tanda yang menunjukkan bila anda perlu mempertimbangkan penyatuan hutang:
Anda mula terlepas membayar pinjaman bulanan serta tidak mampu menangani beban hutang semasa anda. Ketinggalan membayar ansuran bulanan juga akan menyebabkan baki pinjaman anda bertambah akibat dikenakan caj lambat bayar
Anda mendapati sukar untuk menguruskan pembayaran pelbagai pinjaman daripada beberapa bank berlainan dan ingin fokus hanya kepada satu pembayaran sahaja
Anda ingin berjimat dengan mengurangkan jumlah ansuran bulanan anda
Anda mempunyai tabiat membuat pembayaran minima untuk kad kredit. Dalam jangka masa panjang, anda akan membayar lebih banyak untuk faedah bil kad kredit tersebut
Penyatuan hutang adalah cara untuk melindungi dan mengekalkan nilai kredit yang baik. Anda diberi peluang untuk menebus semula nilai kredit jika anda boleh membuat bayaran tepat pada masanya. Jika anda menghadapi tanda-tanda di atas tetapi tidak pasti jika anda benar-benar memerlukan penyatuan hutang, baca seksyen berikut untuk membantu anda untuk membuat keputusan:
Faktor untuk pertimbangkan penyatuan hutang
Sebelum membuat keputusan untuk menyatukan hutang, anda perlu ketahui dan pertimbangkan beberapa faktor penting. Pastikan anda lakukan penilaian bagi memastikan pinjaman peribadi akan mengukuhkan kedudukan kewangan anda. Penilaian ini penting bagi memastikan situasi kewangan anda akan bertambah baik, bukan sebaliknya.
1. Lakukan usaha wajar ke atas diri sendiri (senaraikan hutang anda)
Tidak dapat dinafikan bahawa anda akan merasa cemas apabila berdepan dengan situasi sebegini. Namun begitu, anda perlu cuba bertenang dan berikan tumpuan sepenuhnya. Sudahkah anda nilai situasi kewangan dengan jelas dan cuba segala cara untuk menyelesaikannya? Ambil masa untuk mengkaji aliran tunai yang betul sebelum membuat keputusan untuk menyatukan hutang.
Ada masanya, apa yang anda perlu lakukan hanyalah baiki perancangan kewangan. Ubah ataupun lakukan pembaharuan perancangan kewangan dengan menyenaraikan kesemua aliran keluar masuk wang anda. Hapus atau kurangkan perbelanjaan anda terhadap beberapa perkara dan peruntukkan lebihan wang tersebut untuk membuat bayaran pinjaman.
Selepas menjalankan penilaian menyeluruh dan anda masih mendapati tiada ruang untuk memperoleh peruntukan untuk membayar pinjaman, barulah anda boleh beralih kepada penyatuan hutang.
2. Cari kadar faedah yang lebih baik
Untuk ketahui jika adalah berbaloi untuk membuat penyatuan hutang, marilah kita lihat contoh di bawah ini. Andaikan Adam mempunyai dua pinjaman yang masih belum selesai dan memerlukan penyatuan. Yang pertama adalah pinjaman peribadi jangka pendek yang tidak bercagar dengan kadar faedah tahunan sebanyak 8% setahun. Kemudian, adalah kad kredit yang mempunyai kadar faedah sebanyak 18% setahun. Jadi, purata kadar faedah bagi kedua-dua pinjaman tersebut adalah 13%.
Oleh itu, Adam perlu mencari pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah daripada purata 13% tersebut supaya Adam boleh mengurangkan kadar faedah yang dia perlu bayar kepada pihak bank. Marilah kami tunjukkan contoh kiraan.
Pinjaman Peribadi Kad Kredit Ciri-ciri PinjamanPeribadi
RM10,000 RM10,000 Amaun RM20,000
8% setahun 18% setahun Kadar Faedah 2.75% setahun
3 tahun 2 tahun Tempoh Pembayaran 3 tahun
RM313 RM500 Ansuran Bayaran RM579
RM1,281 RM1,982 Bayaran Faedah RM859
JIMAT = RM234 sebulan
Berdasarkan contoh yang ditunjukkan, Adam boleh jimat kira-kira RM234 sebulan. Jika dikira setahun, dia boleh jimat RM2,808 dengan melakukan penyatuan hutang. Jika anda seorang penjawat awam, adalah berbaloi untuk mohon Pinjaman Co-op Bank Pertama yang menawarkan promosi kadar faedah serendah 2.75%* untuk tempoh (1-3 tahun). *Maklumat yang ditunjukkan adalah tepat dalam tempoh masa ditulis.
Di samping itu, kadar tetap pinjaman peribadi adalah penting bagi tujuan perancangan dan pemantauan. Anda akan mengetahui kadar tepat yang perlu diketepikan bagi membuat bayaran ansuran bulanan yang lebih murah pada tarikh yang ditetapkan. Kadar faedah yang lebih rendah adalah faktor utama dalam memilih kaedah penyatuan hutang.
Jika anda tidak boleh memperoleh kadar yang rendah, ubah perancangan anda kerana ia bertentangan dengan tujuan utama penyatuan hutang. Anda akan mencipta lebih banyak hutang berbanding menyelesaikan masalah. Pada masa yang sama, tingkatkan tabiat pembayaran sehingga anda menemui pembekal pinjaman peribadi yang sesuai.
3. Kenal pasti kos pemprosesan, yuran & caj tersembunyi
Jangan terpedaya dengan pembekal pinjaman yang menjanjikan kadar terendah dengan tempoh bayaran paling mudah. Ketahui butiran berkenaan pinjaman peribadi seperti kos pemprosesan dan sebagainya, lebih-lebih lagi caj tersembunyi.
Semak juga jika terdapat apa-apa caj tersembunyi. Jika tawaran daripada pemberi pinjaman nampak terlalu baik untuk ia menjadi kenyataan seperti kadar faedah 0% atau 100% kelulusan pinjaman terjamin, maka berkemungkinan besar anda berurusan dengan penipu. Lindungi diri anda dengan mengetahui tanda-tanda amaran penipuan pinjaman peribadi.
Tambahan pula, anda juga perlu ketahui bahawa tempoh bayaran panjang bererti kos faedah tinggi. Jadi, tetapkan tempoh pinjaman agar selari dengan keupayaan anda untuk membuat bayaran. Lebih cepat anda langsaikan pinjaman, lebih pantas anda memperoleh ketenangan.
Manfaat penyatuan hutang
Berikut terdapat dua manfaat yang jelas kenapa anda patut mempertimbangkan untuk menyatukan hutang.
1. Fokus membayar hanya satu ansuran sahaja
Ia terasa seperti satu perkara yang rumit untuk mengawasi dan membayar semua pinjaman yang ada di beberapa bank berlainan. Terutamanya apabila anda terjebak dengan sesuatu sehingga menyebabkan anda terlepas dari membuat pembayaran bulanan anda. Di sinilah apabila penyatuan hutang bertindak sebagai penyelesaian untuk membantu menggabungkan semua pinjaman anda ke dalam satu jumlah ansuran. Dengan cara ini memudahkan anda untuk memberi tumpuan membayar satu ansuran dan menguruskan tarikh akhir pembayaran anda dengan lebih berkesan.
2. Bantu mengurangkan komitmen bulanan anda
Sebab kedua yang nyata kenapa anda patut menyatukan hutang adalah untuk mengurangkan bayaran ansuran bulanan anda. Apabila anda menyatukan semua pinjaman sedia ada anda yang berkadar faedah tinggi dan menyatukannya dengan pinjaman peribadi dengan kadar faedah lebih rendah, ansuran bulanan anda akan berkurangan. Dalam jangka masa panjang, anda akan membayar kurang dan berjimat ke atas kadar faedah.
Kelemahan penyatuan hutang
Penyatuan hutang adalah kaedah berkesan untuk mengeluarkan peminjam daripada tersepit dalam hutang yang menimbun. Tetapi, kaedah penyatuan hutang menggunakan pinjaman peribadi turut mempunyai kelemahan yang tersendiri.
1. Tempoh bayaran panjang dengan kadar faedah rendah
Bagi mereka yang mempunyai hutang yang banyak, kadar faedah rendah dan lanjutan tempoh bayaran sahaja yang akan meringan bebanan terhadap komitmen pinjaman. Anda akan berdepan dengan hutang dalam tempoh yang lebih panjang dan membayar kos faedah lebih tinggi sehingga tamat. Kesannya, lanjutan tempoh bayaran sedikit sebanyak menghapuskan kelebihan kadar faedah rendah.
2. Kemungkinan permohonan ditolak
Jika anda mempunyai nilai kredit yang rendah sewaktu membuat permohonan penyatuan hutang, kemungkinan untuk permohonan pinjaman peribadi anda ditolak adalah tinggi. Faktor ini dipengaruhi oleh komitmen terdahulu. Oleh ini, anda mungkin akan disyorkan untuk mengambil pinjaman yang kurang memuaskan berbanding dengan mereka yang mempunyai nilai kredit yang baik.
3. Tidak akan menghapuskan hutang
Penyatuan hutang dapat memudahkan atau memusnahkan kedudukan kredit anda. Harus diingatkan bahawa pinjaman yang baru tidak akan membebaskan anda daripada tanggungjawab untuk membuat bayaran tepat pada masanya. Hutang tersebut tetap akan dituntut sehingga bakinya mencecah angka 0.
Sesetengah peminjam tidak belajar daripada kesilapan. Melainkan anda bertekad untuk mengubah tabiat berbelanja dan mengamalkan disiplin kewangan bagi memenangi kepercayaan pemiutang, anda tidak akan mencapai impian untuk memperoleh kebebasan kewangan.
Cara mohon penyatuan hutang
1. Senaraikan semua hutang sedia ada anda
Senaraikan semua hutang terkini yang anda ada. Pilih hutang yang anda ingin satukan. Semak kadar faedah, tempoh pinjaman dan baki tertunggak. Rujuk dengan pemberi pinjaman jika anda tidak pasti bagaimana untuk mendapatkan maklumat tersebut.
2. Lakukan pengiraan mudah
Merujuk kepada contoh yang telah kami tunjukkan sebelum ini tentang Adam. Andaikan Adam mempunyai:
Pinjaman Peribadi Kad Kredit
Amaun: RM10,000 Amaun: RM10,000
Kadar faedah: 8% setahun Kadar faedah: 18% setahun
Tempoh pembayaran: 3 tahun Tempoh pembayaran: 2 tahun
Jika anda mencampurkan (8% + 18%), kadar purata faedah menjadi 13% setahun. Maka penyatuan hutang adalah berbaloi apabila kadar faedah untuk pinjaman peribadi anda lebih rendah daripada jumlah kadar purata faedah ke atas hutang sedia ada anda. Dalam kes Adam, kadar faedah untuk pinjaman baru Adam mesti lebih rendah daripada 13% agar Adam dapat berjimat dengan lebih.
3. Mohon dengan pemberi pinjaman yang boleh dipercayai
Jika anda telah membuat keputusan untuk menggunakan pinjaman peribadi bagi membayar hutang kad kredit atau lain-lain komitmen pinjaman, tetapi anda tidak tahu pinjaman peribadi yang mana satu yang sesuai dengan anda; semak dengan Direct Lending – platform pinjaman peribadi atas talian.
Sistem semakan kelayakan pintar kami boleh memberikan anda cadangan terbaik untuk pinjaman peribadi Bank dan Koperasi dengan segera. Kami boleh membantu anda untuk cari, membuat perbandingan dan memohon pinjaman peribadi. Perkhidmatan kami adalah 100% percuma.
Jika anda seorang kakitangan awam, anda boleh mempertimbangkan pembiayaan daripada Coopbank Pertama di mana kadar keuntungan hanya 2.85% untuk tempoh pembiayaan selama 10 tahun. Ini mungkin akan menjadi produk yang sesuai untuk menyatukan hutang anda yang lebih mahal.
Kesimpulan
Walaupun penyatuan hutang adalah satu alat yang berguna apabila digunakan dengan betul, namun jika anda tidak mengubah tabiat perbelanjaan; anda tetap tidak akan dapat menyelesaikan hutang. Anda hanya memohon untuk menyatukan hutang apabila anda mempunyai komitmen pinjaman yang tidak terurus. Jika hutang anda dalam jumlah kecil yang boleh dibayar dalam tempoh 6 bulan hingga 1 tahun, anda mungkin tidak perlu merumitkan keadaan, kerana anda hanya akan dapat berjimat sebahagian kecil sahaja dengan penyatuan hutang.
Comments